Penyelidikan dan inovasi merupakan elemen utama dalam menentukan prestasi sesebuah universiti, terutamanya dalam sistem penarafan nasional seperti Malaysia Research Assessment (MyRA) dan penarafan antarabangsa seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) Ranking. Penyelidikan yang berkualiti bukan sahaja meningkatkan reputasi akademik universiti tetapi ianya juga menyumbang kepada pembangunan ilmu dan memberi manfaat kepada kemajuan industri dan masyarakat.
Kualiti penyelidikan yang baik akan memberi impak tinggi terhadap reputasi akademik. Oleh itu, UiTM mensasarkan untuk menghasilkan penyelidikan inovatif dan mampu menyelesaikan permasalahan semasa. Justeru itu, UiTM akan lebih dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa, serta ianya dapat meningkatkan jaringan industri antara penyelidik, industri dan semua pemegang taruh, menghasilkan pelajar cemerlang, dan menarik minat pelabur. Ini membawa kepada lebih banyak kerjasama akademik serta peningkatan dana penyelidikan, yang akhirnya memperkukuhkan prestasi universiti. Universiti yang aktif dalam penyelidikan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang teknologi dan kepakaran.
Berkait dengan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan juga memberi kesan positif di mana pensyarah yang terlibat dalam penyelidikan dapat berkongsi penemuan terkini dengan pelajar, menjadikan pembelajaran lebih relevan dan berasaskan bukti. Ini melahirkan graduan yang lebih kritikal, kreatif, dan berdaya saing di pasaran kerja.
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa penyelidikan adalah tunjang kecemerlangan universiti, mempengaruhi penarafan global, reputasi akademik, dan sumbangan kepada masyarakat. Pelaburan dalam penyelidikan bukan sahaja meningkatkan kedudukan universiti tetapi juga membawa manfaat jangka panjang kepada pembangunan ilmu dan teknologi.
Selaras dengan pemerkasaan inisiatif UiTM bertemakan DNA Penyelidikan UiTM, maka unit PI KPK berusaha menggembeling tenaga bagi menguruskan semua hal berkaitan penyelidikan dan inovasi serta menjalankan inisiatif bagi meningkatkan bilangan penyelidik utama geran penyelidikan, penerbitan berindeks, penyeliaan pascasiswazah, jaringan kolaborasi pintar, bilangan ahli tetap entiti kecemerlangan, harta intelek dan impak penyelidikan kepada komuniti.
Adalah diharapkan bahawa usaha bersepadu dan langkah strategik yang diambil untuk merealisasikan pelan yang dirangka dengan teliti ini akan mencipta gelombang kejayaan dalam bidang kejuruteraan di KPK dan UiTM.
Prof. Ts. Dr. Aidah Jumahat
Dekan Penyelidikan & Inovasi
Terkini di Pejabat Penyelidikan & Inovasi
Berita
📢Peluang Permohonan Anugerah & Pengiktirafan Nasional dan Antarabangsa
❇️ Manfaatkan peluang keemasan ini !