MENGAJAR DI WENG
Jabatan Pelajaran Kedah telah menghantarku ke SK Weng, di Baling. Sedih juga Aku kerana dihantar ke tempat "Jin bertandang". Apa boleh buat, suka tak suka kenalah terima. Aku dapati tiga orang lagi kenalan di MPSI dulu yang sama-sama dihantar ke Weng, iaitu Mokhtar Shukor (dari Kuala Kangsar), Jamil Abdullah Abdul Wahab (dari Pulau Pinang) dan Hamid Hasan (dari Pulau Pinang).
Kehidupan di Weng betul-betul kehidupan luar bandar. Tak ada bekalan air, tak ada bekalan elektrik (pada malamnya kami memasang lampu gaslin) dan tak ada sebarang jenis hiburan. Bandar terdekat ialah Baling, yang jauhnya 12 batu. Pada hujung minggu, kalau tak balik kampung, ke Balinglah kami berkumpul, bersama-sama kawan-kawan lain dari sekolah-sekolah sekitarnya. Memang ramai kenalan-kenalan lama di MPSI dulu yang telah dihantar bertugas di Baling. Hiburan yang ada hanya sebuah panggung wayang yang menayang gambar-gambar "second run". Pengalaman baruku ialah menonton gambar Hindustani yang menjadi pilihan penduduk tempatan.
Dua tahun lamanya Aku bertugas di SK Weng, lalu dapat bertukar ke SK Mahang. Kampung ini terletak kira-kira 20 batu dari Bandar Kulim.
ANTARA MURID-MURIDKU YANG BERJAYA
Antara murid-muridku di Weng ada beberapa orang yang berjaya. Che'Su Ahmad, Arifin Bakar dan Zulkifli Yusof (kebetulannya mereka rakan sedarjah, iaiatu Darjah 4) menjadi guru graduan. Paling berjaya ialah Rahni Mat Piah yang kemudiannya belajar di Amerika dan sekembalinya ke Malaysia menjadi
Pensyarah di Universiti Sains Malaysia dan mendapat gelaran Profesor.
MEMBELI MOTOSIKAL
Kami menyewa sebuah rumah kosong tidak jauh dari sekolah yang letaknya di tepi Sungai Weng. Sungai in cangkat saja airnya dan amat jernih, kecuali jika hujan di hulu. Rupa-rupanya adalah menjadi amalan penduduk kampung menggunakan sungai untuk semua tujuan - mandi, mencuci pakaian dan juga untuk membuang air besar. Walaupun kami berasa tidak selesa untuk tujuan terakhir itu, apa boleh buat, rumah sewaan kami tiada berjamban. Alternatifnya ialah menggunakan belukar yang berdekatan untuk tujuan tersebut.
SUNGAI WENG, DENGAN AIRNYA YANG CETEK DAN JERNIH.
ZULKIFLI YUSOFF
Beberapa orang kawanku telah membeli motosikal untuk memudahkan berulang alik. Rata-rata pilihan mereka ialah skuter Vespa. Aku telah dipengaruhi oleh seorang sahabatku berbangsa Cina untuk membeli motosikal besar dan jenama yang dicadangnya kepadaku ia Norton. Aku pun mendengar nasihatnya lalu membeli versi 350 c.c. Kufikirkan versi 500 c.c. terlampau berat bagiku.
Lepas 8 bulan Aku mula berasa jemu dengan motosikalku itu apabila rata-rata kutemui orang menunggang versi 500 c.c. Memang pada tahun-tahun 1960an motosikal Norton 500 c.c. adalah "craze" di kalangan orang muda. Tetapi di kalangan guru pula skuter Vespa yang menjadi pilihan ramai. Aku pun "trade in" motosikal Nortonku untuk versi 500 c.c. Jenis yang kubeli itu ialah Norton SS, yang mempunyai dua karburettor.
NORTON SS 500cc
Dari kiri: CHE' SU AHMAD, ARIFIN BAKAR & RAHNI MAT PIAH.
Teruskan pelayaran anda...