DI SEKOLAH INILAH SAYA MEMULAKAN ALAM PENGAJIAN SAYA
SPECIAL MALAY CLASS 2 1952
PAK LAH, RAKAN SEKELAS 1951-52
KELAHIRAN:
Aku dilahirkan pada 10 Sha'aban 1360 bersamaan 2 September 1941, tetapi disebabkan kesilapan berlaku semasa mengubah tarikh Hijri ke Masehi, maka terjadilah tarikh lahirku 13 Mei, 1941. Tarikh inilah menjadi tarikh lahir rasmiku, dipakai dalam semua urusan, termasuk penetapan tarikh bersara. Pada masa kelahiranku, Ibu Bapaku tinggal di Kg. Darat, Mukim Beseri. Jepun baru saja masuk ke Tanah Melayu.
Semasa usiaku 5 tahun, kami telah berpindah ke Seberang Perai, kerana Ayahku ada sebidang tanah yang di atasnya ada sebuah rumah iaitu di Kg. Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam. Ayahku adalah pesara guru. Dia mengajar di Perlis sehingga dibersarakan pada tahun 1933. Tanah dan rumah di Cherok Tok Kun itu telah dibelinya dengan wang "gratuity" yang diterimanya semasa bersara itu.
Keluargaku terdiri daripada Aku dan Adikku, Jemilah selain daripada Emak dan Ayahku.
PERSEKOLAHAN:
Semasa umurku 7 tahun (tahun 1948) Aku dimasukkan ke Sekolah Melayu Cherok Tok Kun, yang terletak kira-kira setengah batu jauhnya dari rumahku.Sekolah ini serba sederhana dan menempatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan Darjah 1 dan 2. Bila naik ke Darjah 3, kami dipindahkan ke bangunan lain, yang letaknya setengah batu jaraknya dari sekolah ini, tetapi lebih dekat kepada rumahku.
Pada zaman itu (sebelum Merdeka), Sekolah Melayu hanya sehingga Darjah 6. Tamat Darjah 6, tamatlah persekolahan kanak-kanak Melayu. Sijil Darjah 6 itu tak ada nilai ekonomi. Kanak-kanak hanya dapat meneruskan kehidupan di kampung - sebagai petani atau nelayan (kalau tinggal dekat laut). Seorang dua yang terpandai mungkin dipilih jadi guru.
Ayahku tahu nilai pendidikan. Setelah tamat Darjah 3, Aku dimasukkan ke sekolah Inggeris. Kanak-kanak yang tamat sekolah Inggeris ada berbagai peluang pekerjaan yang terbuka baginya: guru, kerani, pegawai polis dan berbagai jawatan di pejabat kerajaan dan swasta. Bagi mereka yang tamat darjah tertinggi (Standard 9, bersamaan Tingkatan 5 pada masa kini), cerahlah masa depan mereka.
Aku dimasukkan ke High School Bukit Mertajam di bandar yang jauhnya kira-kira 2 setengah batu dari rumah dan tambang bas hanya 10 sen, pergi balik. Antara rakan sedarjahku ialah Abdullah Hj. Ahmad, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia, degan panggilan popular, Pak Lah Badwi.
Ayahku terpaksa mengikat perut, kerana pencennya sebanyah $44 ringgit sebulan tidaklah cukup untuk belanja sekolah dan menanggung keluarga. Dia terpaksa melakukan kerja-kerja tambahan secara kampung.
Diringkaskan, pada tahun 1958, Aku pun lulus Peperiksaan Cambridge School Certificate (bersamaan status Sijil Pelajaran Malaysia, kini.).