GRAD TAHUN 1974
KAMPUS UNIVERSITY OF WISCONSIN-MADISON
BASCOM HALL, UNIVERSITY OF WISCONSIN-MADISON
STAF PUSAT PENGAJIAN ILMU PENDIDIKAN, USM
Pada tahun 1978, setelah empat tahun Aku berkhidmat dengan Maktab Mahmud, Aku telah mendapat pelawaan dari Universiti Sains Malaysia (USM), untuk berkhidmat dengan mereka sebagai Tenaga Pengajar di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Setelah berunding dengan Maktab Mahmud (kerana kontrakku dengan mereka masih ada setahun lagi), akhirnya Aku dilepaskan oleh mereka.
Selepas setahun berkhidmat di USM, Aku dikehendaki melayakkan diri dengan belajar pada tahap Sarjana (Master), kerana pada masa itu Ijazah Sarjana adalah kelayakan minimum untuk menjawat jawatan sebagai Pensyarah Universiti.
Diringkaskan cerita, pada bulan Julai 1979, Aku pun berangkat ke University of Wisconsin-Madison dengan ditemani oleh Isteri dan tiga orang Anak (yang sulung berusia 12 tahun, yang kedua 8 tahun dan yang bongsu 18 bulan). Aku diberi biasiswa di bawah Skim Latihan Kakitangan Akademik, USM dan dibantu sebahagiannya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Cuti belajar untukku ialah selama 24 bulan. Aku berjaya menamatkan pengajianku dengan memperolehi Ijazah Master of Arts in Educational Policy Studies. Awal Januari 1981 baliklah Aku ke Malaysia.
Dalam perjalanan pulang Aku mengambil kesempatan bersantai dengan ahli keluarga di Los Angeles; kami berpeluang melancong ke Hollywood (melawat Studio Universal), Sea World, San Diego dan Disneyland. Selepas tiga hari kami pun menyambung perjalanan dan mengambil kesempatan singgah di Pulau Hawaii untuk tiga hari.
Balik ke Malaysia, teruslah Aku berkhidmat di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
PELAJAR BERJAYA, GURU TURUT GEMBIRA
Tidak ada guru yang tidak berkongsi kejayaan muridnya. Sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, pelajar-pelajarku berkecimpung dalam dunia pendidikan, sebagai Guru Graduan di seluruh pelusuk Tanah Air, termasuk Sabah dan Sarawak. Hanya beberapa orang saja yang berjaya memelihara kontak denganku. Seorang dua telah meninggalkan kerjaya guru dan masuk politik. Mungkin juga ada yang menjadi usahawan berjaya.
Di antara mereka ialah:
Datuk Mahdzir Khalid ,Mantan Menteri Pendidikan Malaysia
Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, Pensyarah USM
Prof. Madya Wan Rozali Hj. Wan Hussin, Pensyarah USM
Prof. Dr. Habibah Hj. Lateh, Pensyarah USM
Beberapa orang pelajar menjadi Pensyarah Universiti. Antara yang dapat kuhubungi ialah seorang yang menjadi Pensyarah Bahasa Inggeris di UUM; sayang namanya tak kuingat lagi. Anna Kristina Abdullah kini di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) di USM. Dr. Habibah Latih adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM. Prof. Muhammad Kamarul Kabilan adalah Tenaga Pengajar di PPIP. Wan Rozali ialah Pensyarah, kurang pasti Pusat mana,
Seorang pelajarku dari Brunei Darussalam, Hj. Sha'ari Mukhsin, tidak dapat kupastikan apa jawatannya di Negaranya, tetapi Aku yakin tentulah menduduki tempat yang penting di Negara Brunei.
Hanya sekadar beberapa nama inilah yang dapat kuingat, walaupun Aku yakin ramai yang berjaya dalam hidup mereka.