BANGUNAN INDUK MAKTAB MAHMUD
TENAGA PENGAJAR MAKTAB MAHMUD 1970AN
Setelah berada di SK Mahang selama 5 tahun, Aku telah membuat permohonan menjadi Guru Bahasa Inggeris di Maktab Mahmud, Alor Setar. Hatiku telah cenderung untuk memberi khidmatku kepada agama dan bangsa. Peluang ini terdapat di Maktab Mahmud kerana ia adalah sebuah Sekolah Agama milik kerajaan Negeri Kedah. Ramai lulusannya berkhidmat dalam bidang agama di Kedah dan merata-rata negeri lain juga.
Aku ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris di Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2.
ALHAMDULILLAH...! Barkat Aku memberi khidmat kepada Maktab Mahmud, Aku pun lulus Peperiksaan Higher School Certificate yang kuambil pada tahun 1970, dengan mendapat Sijil Penuh. Sebelum itu, semasa mengajar di Mahang Aku telah dua kali mencuba nasibku, tetapi hanya lulus sebahagian, tidak mencukupi untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
Setelah lulus Peperiksaan HSC, sibuklah Aku memikir bagaimana hendak mendapat dana untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Masalahnya ialah Aku ada Isteri dan anak yang memerlukan saraan hidup, sedangkan kalau Aku ke universiti Aku sudah tiada bergaji lagi. Di samping itu Aku juga sedang menanggung Ibu dan Ayahku di kampung, selain dua orang Adik yang sedang bersekolah. Akhirnya do'aku telah dikabulkan Allah. Aku mendapat pinjaman dari MARA (sebanyak $5400 untuk 3 tahun) dan Maktab Mahmud juga bersedia membayar Aku separuh gaji (kira-kira $200 sebulan). Syarat yang dibuat oleh Maktab Mahmud ialah memerlukan Aku berkhidmat dengan mereka sebagai Guru Siswazah selama 5 tahun.
Diringkaskan cerita, Aku pun masuk belajar di Universiti Pulau Pinang (yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Universiti Sains Malaysia). Tahun 1974, Aku pun berjaya meraih Ijazah Sarjana Muda Sastera Kelas Dua Atas. Aku pun balik berkhidmat semula di Maktab Mahmud dan ditugaskan mengajar di Tingkatan 6 Atas. Mata Pelajaran yang pertanggungjawabkan kepadaku ialah Sejarah dan Bahasa Melayu. (Sebenarnya di Maktab Mahmud ada juga Aliran Ekonomi dan yang mengajarnya ialah Cikgu Yusof Othman, yang kemudiannya menjadi Pengetua Sekolah Alam Shah).
Pada tahun 1978, setelah empat tahun Aku berkhidmat dengan Maktab Mahmud, Aku telah mendapat pelawaan dari Universiti Sains Malaysia (USM), untuk berkhidmat dengan mereka sebagai Tenaga Pengajar di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Setelah berunding dengan Maktab Mahmud (kerana kontrakku dengan mereka masih ada setahun lagi), akhirnya Aku dilepaskan oleh mereka.
Antara murid-muridku di Maktab Mahmud yang berjaya ialah:
Datuk Prof. Fakhruddin Abdul Mukti: Rektor UniSHAMS
Prof. Dr. Abdullah Hj. Abdul Ghani, Pensyarah UUM
Datuk Wan Muhammad Sheikh Aziz: Pengarah JAKIM
Datuk Abdullah Md. Din: Mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kem. Pend. Malaysia
Datuk Othman Husain: Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang
Datuk Prof. Madya Ellias Zakaria: Pensyarah USM
Dr. Abu Hashim: Pengarah Kesihatan Kubang Pasu, Kedah.
Hj. Mat Ya: Pensyarah Politeknik SAMS, Alor Setar.
Dan beberapa ramai lagi.