TENAGA PENGAJAR PUSAT PENGAJIAN ILMU PENDIDIKAN, USM
KAMPUS UNIVERSITY OF WISCONSIN-MADISON
Pada tahun 1978, setelah empat tahun Aku berkhidmat dengan Maktab Mahmud, Aku telah mendapat pelawaan dari Universiti Sains Malaysia (USM), untuk berkhidmat dengan mereka sebagai Tenaga Pengajar di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Setelah berunding dengan Maktab Mahmud (kerana kontrakku dengan mereka masih ada setahun lagi), akhirnya Aku dilepaskan oleh mereka.
Selepas setahun berkhidmat di USM, Aku dikehendaki melayakkan diri dengan belajar pada tahap Sarjana (Master), kerana pada masa itu Ijazah Sarjana adalah kelayakan minimum untuk menjawat jawatan sebagai Pensyarah Universiti.
Diringkaskan cerita, pada bulan Julai 1979, Aku pun berangkat ke University of Wisconsin-Madison dengan ditemani oleh Isteri dan tiga orang Anak (yang sulung berusia 12 tahun, yang kedua 8 tahun dan yang bongsu 18 bulan). Aku diberi biasiswa di bawah Skim Latihan Kakitangan Akademik, USM dan dibantu sebahagiannya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Cuti belajar untukku ialah selama 24 bulan. Aku berjaya menamatkan pengajianku dengan memperolehi Ijazah Master of Arts in Educational Policy Studies pada Disember, 1980. Awal Januari 1981 baliklah Aku ke Malaysia.
Dalam perjalanan pulang Aku mengambil kesempatan bersantai dengan ahli keluarga di Los Angeles; kami berpeluang melancong ke Hollywood (melawat Studio Universal), Sea World, San Diego dan Disneyland. Selepas tiga hari kami pun menyambung perjalanan dan mengambil kesempatan singgah di Pulau Hawaii untuk tiga hari.
PELAJAR BERJAYA, GURU TURUT GEMBIRA
Tidak ada guru yang tidak berkongsi kejayaan muridnya. Sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, pelajar-pelajarku berkecimpung dalam dunia pendidikan, sebagai Guru Graduan di seluruh pelusuk Tanah Air, termasuk Sabah dan Sarawak. Hanya beberapa orang saja yang berjaya memelihara kontak denganku. Seorang dua telah meninggalkan kerjaya guru dan masuk politik. Mungkin juga ada yang menjadi usahawan berjaya.
ANTARA MEREKA YANG BERJAYA
Datuk Mahdzir Khalid: Menteri Pendidikan Malaysia);
Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah: Pensyarah USM
Dr. Anna Kristina Abdullah: Pesyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.
Dr. Habibah Latih: Pensyarah di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM.
Dr. Wan Rozali Wan Hussin: Pensyarah, di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM
Seorang pelajarku dari Brunei Darussalam, Hj. Sha'ari Mukhsin, tidak dapat kupastikan apa jawatannya di Negaranya, tetapi Aku yakin tentulah menduduki tempat yang penting di Negara Brunei.
Hanya sekadar beberapa nama inilah yang dapat kuingat, walaupun Aku yakin ramai yang berjaya dalam hidup mereka.
Khidmatku di USM ialah selama kira-kira 18 tahun dan berakhir pada 1997, termasuk tambahan 1 tahun kontrak selepas umur bersaraku pada 13 Mei, 1996.
Aku kemudiannya berkhidmat secara kontrak dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), juga sebagai Teacher Trainer selama 6 tahun.