GURU-GURU MUDA Di SKM
KESELURUHAN GURU SKM
Kudapati tak ada apa-apa pun yang membuatku teruja di Mahang. Pekannya sederhana sahaja, terdiri daripada kira-kira 20 buah kedai di kiri kanan jalan raya. Hampir-hampir semua milik orang Cina. Ada beberapa buah kedai runcit, dua buah kedai makan India Muslim, dua buah kedai tukang jahit, sebuah kedai perabot Sikh, sebuah kedai perabot Cina, sebuah kedai makan Hailam (dikunjungi juga oleh orang-orang Melayu kerana pada masa itu belum lagi ada kesedaran di kalangan masyarakat tentang hakikat halal haram.
Aku ditugaskan mengajar Darjah 6. Darjah ini agak digeruni oleh guru-guru sebab di akhir tahunnya ada Peperiksaan Masuk ke Sekolah Menengah. Kalau prestasi murid tidak bagus, guru mendapat penilaian yang negatif. Aku tak kisah, sebaliknya gembira kerana cabarannya ada. Aku berazam nak buktikan kemampuanku -Insya' Allah. Sayang sedikit kelasnya diletakkan sebelah petang, sesuatu yang agak pelik juga, tetapi Guru Besarnya lemah orangnya tidak mampu menunjukkan kewibawaannya.
Dari awal lagi Aku telah merangkakan strategiku, termasuk mengadakan kelas tambahan pada masa cuti penggal.
Malangnya, selepas beberapa bulan datang pekeliling Kementerian Pelajaran memberitahu Peperiksaan Masuk ke Sekolah Menengah telah dibatalkan oleh Kerajaan. Ini berikutan pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Aneka Jurusan pada tahun itu di sekolah-sekolah menengah. Tetapi ini tidak pula bermakna Aku mengendurkan usaha pengajaran dan pembelajaranku.
Dalam kelasku ada beberapa orang murid yang sangat pintar. Seorang bernama Kalsom Abdullah, sentiasa "top of the class" di dalam peperiksaan. Malangnya, setelah tamat Darjah 6 dia tidak menyambung ke sekolah menengah, kerana patuh kepada kehendak ibunya, yang mahukan dia belajar aliran agama di sekolah agama rakyat. Murid ini agak kurang stabil kedudukan keluarganya kerana ibu bapanya telah bercerai. Baru-baru ini (dalam tahun 2018) dia telah teringat untuk menziarahku, setelah 53 tahun berpisah. Sukacita kumendengar yang anak-anak berjaya menyambung pelajaran ke universiti, termasuk ke Jepun.
Antara pelajar-pelajarku selainnya di Mahang yang bijak dalam pelajaran mereka ialah Mohd. Daud Yahya dapat masuk ke Maktab Tentera dan kemudiannya ke Universiti Malaya dalam bidang perubatan. Malangnya, pada tahap akhir pengajiannya dia telah mengalami ganguan emosi yang berakhir dengan ia tercicir.
Yang agak memeranjatkan Aku ialah Sarif Jab (Allah Yarham) , anak Pak Jab Drebar. Dalam kelas prestasinya sederhana saja, tetapi akhirnya dia berjaya belajar hingga ke University of Strathclyde di Scotland, sehingga berjaya meraih ijazah PhD dalam bidang kimia. Sarif kemudiannya berkhidmat di Pusat Pengajian Kimia di Universiti Sains Malaysia.
Abdullah Sani Muhammad memilih kerjaya tentera dan telah mencapai pangkat Lt. Kolonel dalam TUDM.
Seorang mantan muridku di SK Mahang, menjadi usahawan yang berjaya. Beliau ialah Hj. Abdul Hamid Bin Hj. Abdul Kadir, pemilik Aakasha Travel and Tours, yang mempunyai dua lokasi, iaitu di Putra Jaya dan di Sungai Petani.