SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru telah dibina pada tahun 1952, di kenali sebagai Government Primary School Tanjung Aru. Pembinaan ini diasaskan oleh kerajaan British yang pada waktu itu memerintah negeri Sabah. Blok bangunan yang pertama dibina pada tahun 1952 dikenali sebagai Government Primary School Tanjung Aru menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.
Pada tahun 1954 blok bangunan yang kedua dibina bersebelahan padang sekolah. Bangunan ini siap setahun kemudian iaitu pada tahun 1955.Blok bangunan ini dikenali dengan nama Government Primary English School Tanjung Aru ( GPES ) dan menggunakan bahasa Inggeris sabagai bahasa pengantar.
Menjelang tahun 1970, Government Primary English Tanjung Aru telah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk darjah satu. Menjelang tahun 1976, kedua-dua blok ini telah bergabung dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Sekolah ini mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu merupakan sekolah kerajaan yang tertua di daerah Kota Kinabalu. Bangunan-bangunan sekolah di kenali sebagai Sri Pinang dan Sri Gading dipisahkan oleh padang sekolah. Sehingga kini bangunan asal sekolah masih tidak berubah dan dikenali sebagai “SEKOLAH BERSEJARAH”.
Pada 20 Februari 1995, sekolah baru telah dibina berhampiran sekolah dengan nama Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru 2. Oleh itu, Sekolah Tanjung Aru di tukarkan kepada nama Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru 1 atau STAR1.
Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru 1 telah terpilih untuk melaksanakan Program TS25 Kohot 3 pada hujung tahun 2017. Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
Mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025
SK Tanjung Aru 1 untuk tahun 2025/2026 mempunyai jumlah guru seramai 51 orang dengan di bantu oleh AKS seramai 4 orang serta jumlah murid keseluruhan ialah 785 orang murid. Sebuah sekolah Moden dengan penghantar Bahasa Melayu, masih kekal dengan bangunan-bangunan lama yang bersejarah sebagai tanda kewujudan sekolah dan telah melahirkan ramai murid-murid yang berjaya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.