PSYCHOLOGY HELPER
RAKAN PEMBIMBING PEMULIHAN PROSPEK PENJARA
PSYCHOLOGY HELPER
RAKAN PEMBIMBING PEMULIHAN PROSPEK PENJARA
LATARBELAKANG
Pelaksanaan HELPER dalam Jabatan Penjara Malaysia merupakan satu inisiatif Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Penjara Malaysia dalam memperluas dan mempertingkatkan skop aplikasi psikologi kepada perkhidmatan pengurusan banduan/ tahanan/ penghuni yang semakin mencabar sejak kebelakangan ini.
HELPER diperkenalkan dalam jabatan dengan harapan mempertingkatkan keupayaan banduan/ tahanan/ penghuni dari segi penyesuaian dengan segala aspek kepenjaraan. Tahap penyesuaian yang tinggi dalam kalangan banduan/ tahanan/ penghuni bermaksud kesulitan yang dihadapi mereka akan dapat diminimakan. Keadaan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan beban kerja pegawai jabatan, malahan sekaligus membantu hasrat jabatan dalam mencapai Aspirasi Penjara Sejahtera.
KONSEP HELPER
Program HELPER berkonsepkan ‘Rakan Membantu Rakan’ dengan berteraskan asas kemahiran psikologi dan bimbingan. Ia menekankan perkongsian input pengetahuan, nilai-nilai positif pada diri HELPER dan rakan sepenjara serta nilai-nilai kepenjaraan yang dibawa oleh jabatan. Konsep membantu rakan diwujudkan bagi menyediakan mekanisma perkongsian dan penyelesaian masalah dalam kalangan banduan/ tahanan/ penghuni penjara. Selain itu, ia membolehkan banduan/ tahanan/ penghuni berkongsi nilai-nilai positif, dijadikan tempat meluahkan perasaan dan mendapatkan bimbingan serta sokongan daripada HELPER.
IDENTITI LOGO
MERAH | Melambangkan semangat dalam membantu rakan yang memerlukan
KUNING | Melambangkan ketulenan dalam hubungan menolong
PUTIH | Melambangkan keperibadian yang baik dan akhlak yang mulia yang harus dimiliki oleh setiap HELPER
HIJAU | Melambangkan ketenangan yang perlu ada pada HELPER semasa di dalam hubungan menolong
BIRU | Melambangkan komitmen yang jitu di dalam hubungan menolong bagi membantu rakan banduan lain celik akal
TANGAN BERGENGGAMAN | Merujuk kepada komitmen yang diperlukan semasa hubungan menolong diberikan
LINGKARAN HITAM | Melambangkan amalan integriti juga perlu dipraktikkan agar ianya menjadi teras amalan di kalangan HELPER yang diberi kepercayaan di dalam hubungan menolong
BULATAN KELABU | Merujuk kepada hubungan menolong yang dipraktikkan di dalam tembok penjara demi kesejahteraan banduan yang sedang menjalani hukuman
TATACARA PEMAKAIAN LENCANA
Lencana Helper (Woven) hendaklah dilekatkan (Velcro Tape) di sebelah kanan bahagian hadapan baju muster prospek di institusi.
OBJEKTIF HELPER
Program HELPER dalam Jabatan Penjara Malaysia bertujuan membentuk kelompok sokongan yang terlatih antara HELPER dengan rakan sepenjara dan Pegawai Penjara serta Pegawai Psikologi. Objektif utama pelaksanaannya ialah:
Membimbing banduan/ tahanan/ penghuni yang menghadapi permasalahan dari segi kepenjaraan.
Mengaplikasikan konsep 'Rakan Bantu Rakan' dalam kalangan banduan/ tahanan/ penghuni.
Mewujudkan platform perkhidmatan menolong kepada golongan banduan/ tahanan/ penghuni melalui kemahiran menolong.
PERANAN HELPER
Peranan HELPER ialah untuk membantu mewujudkan pengurusan banduan/tahanan/penghuni yang berbentuk lebih humanistik. Antara peranannya adalah seperti yang berikut:
Berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepenjaraan.
Memberi sokongan kepada rakan sepenjara yang bermasalah.
Memberi motivasi untuk mengekalkan perubahan.
Menjadi pembimbing kehidupan rakan sepenjara.
Memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan rakan sepenjara.
Membantu Pegawai Penjara dan Pegawai Psikologi dalam aspek bimbingan psikologi.
SKOP HELPER
Skop HELPER dalam Jabatan Penjara Malaysia berfokus kepada peningkatan kompetensi seperti berikut:
Kompetensi Intrapersonal | menggambarkan bagaimana mengurus diri sendiri, sama ada menerima atau menghargai diri sendiri dan kebolehan untuk mengurus kognitif, emosi dan tingkah laku secara bersesuaian dalam kepenjaraan.
Kompetensi Interpersonal | merujuk tentang bagaimana menguruskan perhubungan sesama manusia melalui interaksi sosial. Proses sosial ini mengandungi elemen empati iaitu kesedaran mengenai perasaan, keperluan dan keprihatinan Pegawai Penjara serta rakan sepenjara.
Kompetensi Budaya | merujuk tentang bagaimana menguruskan penyesuaian terhadap budaya kepenjaraan yang amat berbeza dengan dunia luar. Ia juga merujuk kepada penyesuaian keadaan silang budaya yang wujud dalam kepenjaraan.
Kompetensi Bimbingan | merujuk kepada pengetahuan dan pendekatan HELPER semasa menawarkan bantuan dan bimbingan, kecekapan menggunakan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu isu yang dihadapi oleh rakan sepenjara dan sebagainya.
KRITERIA HELPER
Pelantikan banduan/tahanan/penghuni sebagai HELPER harus memenuhi syarat-syarat seperti yang berikut:
Banduan/ tahanan/ penghuni yang boleh menjadi role model kepada rakan sepenjara dan mempunyai minat untuk menolong rakan sepenjara yang lain. Contohnya Banduan Peringkat Khas.
Banduan/ tahanan/ penghuni yang berkelakuan baik dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib dalam penjara.
Mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pengurusan penjara dan rakan sepenjara dalam institusi.
Mendapat pengesyoran dan dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Institusi serta melepasi saringan ujian psikologi yang bersesuaian oleh Pegawai Psikologi.
SYARAT LANTIKAN HELPER
Telah menghadiri Program Kemahiran Psychology Helper (HELPER) yang ditetapkan oleh Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Penjara Malaysia dengan jayanya.
Program Kemahiran Psychology Helper (HELPER) akan dijalankan oleh institusi penjara dengan di bawah seliaan Pegawai Psikologi Institusi berkenaan. Program ini boleh dikendalikan oleh Pegawai Psikologi Institusi itu sendiri atau institusi penjara yang berdekatan. Ia juga boleh juga dilaksanakan oleh Bahagian Agama Dan Kaunseling, Ibu Pejabat Penjara Malaysia berdasarkan kesesuaian dan keperluan.
Memiliki surat perlantikan HELPER dari Bahagian Agama Dan Kaunseling, Ibu Pejabat Penjara Malaysia.