OBJEKTIF UMUM KOKURIKULUM
Aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah, dan setiap murid harus melibatkan diri. Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah, mengikut kesesuaian sesuatu aktiviti. Dengan andaian bahawa murid-murid tidak mendapat pengalaman tertentu di bilik darjah, maka aktiviti kokurikulum dapat menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.
Sebagai satu bidang pendidikan, penglibatan semua murid dan anggota masyarakat adalah perlu, berasaskan kepada anggapan bahawa:
1. Semua murid harus mempunyai keseimbangan antara perkembangan mental (akademik) dengan perkembangan sahsiah yang bersepadu (sosial, jasmani dan rohani);
2. Semua murid mempunyai minat dan bakat yang boleh dikembangkan;
3. Semua murid boleh dididik, dan boleh pula mendidik diri sendiri dan rakan sebaya;
4. Sekolah bertanggungjawab melahirkan murid-murid untuk keperluan masyarakat dan negara;
5. Masyarakat turut bertanggungjawab memainkan peranan mendidik murid-murid.
OBJEKTIF KHUSUS KOKURIKULUM
Objektif utama aktiviti kokurikulum adalah untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Antara Objektif yang hendak dicapai ialah seperti berikut:
1. Meningkatkan disiplin murid melalui penyemaian dan pemupukan nilai dan sikap positif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
2. Memberi kesempatan kepada murid-murid memperoleh pengetahuan, pengalaman, kemahiran asas, kebolehan mengurus dan kebolehan memimpin serta berdikari
3. Sebagai persediaan masa depan untuk murid-murid melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan
4. Menyedarkan dan mengukuhkan interaksi dan integrasi di kalangan murid melalui kegiatan tertentu untuk mencapai matlamat perpaduan negara.
5. Membantu dalam mewujudkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara dalam gerak kerja kokurikulum
6. Menjadikan murid-murid individu-individu yang sentiasa bersifat inovatif dan kreatif dalam sebarang tugas.
7. Membina dan meningkatkan kerjasama dan sumbangan hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat;
8. Mewujudkan sekolah berwatak.