PELAKSANAAN AUDIT DALAMAN EKSA TAHUN 2026 PADA 19-23 OKTOBER 2026
Pelaksanaan Audit Dalaman EKSA PTSS 2026 akan berlangsung pada 19 hingga 23 Oktober 2026 melibatkan seluruh zon dan jabatan di PTSS.Audit ini merupakan usaha berterusan untuk membudayakan persekitaran kerja yang bersih, kemas, teratur, selamat dan kondusif, selaras dengan aspirasi Kampus Lestari PTSS. Marilah kita bersama-sama memberikan kerjasama, komitmen dan sokongan bagi memastikan persekitaran kampus sentiasa ceria, lestari dan berkualiti.
TAKLIMAT JURUAUDIT DALAMAN EKSA TAHUN 2026 PADA 19 OKTOBER 2026
Taklimat Juruaudit Dalaman EKSA PTSS Tahun 2026 telah diadakan sebagai persediaan bagi pelaksanaan Audit Dalaman EKSA yang melibatkan zon-zon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) pada 19 hingga 23 Oktober 2026. Taklimat ini yang melibatkan 55 orang juruaudit bertujuan memberikan kefahaman kepada para juruaudit tentang kaedah pelaksanaan audit, kriteria penilaian serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan objektif. Taklimat telah diberikan oleh Ketua Juruaudit EKSA PTSS, Pn Noor Laila binti Ashaári. Majlis tersebut juga telah dihadiri oleh Ketua Unit Pengurusan Persekitaran, Pn Jamilah Hussain yang telah memberikan kata-kata aluan untuk program tersebut. Penekanan turut diberikan terhadap kepentingan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek kebersihan, kekemasan, keselamatan, penyusunan ruang kerja, pelabelan dan dokumentasi. Walaupun berlaku perubahan penyelarasan berikutan pertukaran Penyelaras EKSA PTSS, pelaksanaan aktiviti EKSA akan diteruskan dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan amalan EKSA terus dibudayakan serta menyokong persekitaran kerja yang bersih, kemas, selamat dan kondusif.
MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK EKSA PTSS BIL. 1 TAHUN 2026 PADA 15 JUN 2026
Pada 15 Jun 2026 bertempat di Bilik Persidangan PTSS, Mesyuarat Jawatankuasa Induk EKSA PTSS Bil.1 Bagi Tahun 2026 telah diadakan serta telah dipengerusikan oleh Ketua Unit Pengurusan Persekitaran PTSS iaitu Pn. Jamilah Binti Hussain. Turut serta ialah Ketua Penyelaras EKSA PTSS iaitu En. Azrul Nizam bin Abdul Aziz dan semua ahli Jawatankuasa induk EKSA PTSS bagi 2026. Dalam mesyuarat tersebut, di antara perkara yang telah dibincangkan ialah perancangan bagi mengadakan Bengkel Audit Dalaman EKSA PTSS, perancangan melaksanakan program gotong royong yang melibatkan zon-zon EKSA di PTSS serta membincangkan berkenaan cadangan tarikh pelaksanaan Audit Dalam EKSA PTSS bagi tahun 2026.
KEPUTUSAN PENILAIAN AUDIT DALAM EKSA PTSS BAGI TAHUN 2025 DIUMUMKAN PADA 24 APRIL 2026
Pada 20 April 2026 bertempat di Dewan Harumanis PTSS, telah berlangsung Majlis Penyampaian Sijil, Hadiah dan Piala Pusingan Zon EKSA Terbaik PTSS bagi tahun 2025 kepada zon-zon EKSA yang terlibat di dalam Penilaian Audit Dalam EKSA bagi tahun 2025 yang telah berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober 2025. Majlis penyampaian sijil dan anugerah ini telah dijalankan di dalam Majlis Perhimpunan Staf Bulanan PTSS kali pertama bagi tahun 2026. Bagi tahun 2025, Zon EKSA terbaik di PTSS disandang oleh Zon Ad Darimi iaitu dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) manakala bagi Naib Zon EKSA terbaik pula disandang oleh Zon Ibnu Qayyim iaitu dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komputer (JTMK). Zon ketiga terbaik pula disandang oleh Zon Ibnu Sina iaitu dari Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual (JRKV). Bagi Anugerah Workstation Zon EKSA terbaik telah dimenangi oleh Zon Ibnu Khaldun iaitu dari Jabatan Matematik & Sains Komputer (JMSK) serta Jabatan Pengajian AM (JPA). Bagi anugerah Tandas Zon EKSA terbaik dimenangi oleh Zon Al Ansari iaitu dari Jabatan Perdagangan (JP). Akhir sekali, kumpulan Auditor Dalam EKSA terbaik bagi tahun 2025 pula, disandang oleh kumpulan yang terdiri daripada Nur Ismadayu Binti Othman (Ketua), Elina Binti Anwar dan Noor Hidayu Binti Rozni. Semua Sijil, Anugerah dan Piala Pusingan Zon EKSA Terbaik berkenaan telah disampaikan oleh Tuan Pengarah PTSS iaitu Ts. Khairul Anuar Bin Ishak.