20 hingga 22 Februari 2025
Program ABC² @ BATAM 2025 (Alliance, Benchmarking, Collaboration & CSR) telah dianjurkan oleh Unit Pengantarabangsaan di bawah Unit CISEC, Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB). Program ini berlangsung pada 20 hingga 22 Februari 2025 dan turut disertai oleh wakil daripada Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Kolej Komuniti Jasin (KK Jasin). Delegasi PMJB diwakili oleh Pengarah, Dr. Supa’at bin Hj Zakaria @ Jawahir, Ketua Unit CISEC, Pn Zarina bt Yunus serta beberapa pensyarah lain antaranya Pn Wizni Khairah, Pn Rut Douni dan Pn Siti Khadijah bt Ayop.
Program ini merangkumi beberapa aktiviti utama seperti lawatan 'benchmarking' dan majlis menandatangani LOI dengan Universitas Ibnu Sina, Institut Teknologi Batam (ITEBA) dan Politeknik Negeri Batam. Selain itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dijalankan di Sekolah Menengah Kejuruan Ibnu Sina, Institut Teknologi Batam, Sekolah Menengah Atas (SMA) Putra Persada dan Rumah Anak Yatim Panti Asuhan Miftahul Hasanah.
Program ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antarabangsa (Alliance), meningkatkan prestasi pendidikan melalui penandaarasan (Benchmarking), membangunkan kerjasama dalam pendidikan vokasional dan teknikal (Collaboration) serta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Secara keseluruhannya, Program ABC² @ BATAM 2025 telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan memperkukuhkan jalinan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan vokasional dan teknikal serta memberi impak positif melalui aktiviti CSR. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan kesinambungan hubungan strategik antara institusi pendidikan Malaysia dan luar negara.