TAJUK 2 : PENGHAYATAN RINGKASAN MAKLUMAT KURSUS/MAKLUMAT KURSUS/KEMAHIRAN INSANIAH
PENGENALAN
Ringkasan Maklumat Kursus (RMK) dan Maklumat Kursus (MK) adalah sukatan pelajaran yang memberikan informasi penting tentang satu-satu kursus. Biasanya, informasi penting tersebut terdiri daripada perincian tentang hasil pembelajaran kursus, isi kandungan kursus, jam pembelajaran pelajar, kaedah pelaksanaan dan pentaksiran yang terlibat. RMK/MK bertujuan untuk memberikan gambaran secara menyeluruh dan terperinci tentang apa yang akan dipelajari oleh siswa guru dan juga memberitahu mereka tentang hasil pembelajaran yang perlu mereka capai. Ia juga sebagai panduan dan rujukan kepada pensyarah dari aspek kandungan yang perlu diajar, bahan pembelajaran yang perlu disediakan serta kaedah pengajaran dan pentaksiran yang perlu dirancang dan dilaksanakan.
Kemahiran insaniah atau soft skills merupakan kemahiran generik yang merentasi pelbagai domain pembelajaran merangkumi aspek keperibadian dan kerja berkumpulan. Kemahiran insaniah terdiri daripada:
● pemikiran kritis dan penyelesaian masalah
● kemahiran komunikasi
● kemahiran kerja berpasukan
● pembelajaran berterusan
● kemahiran keusahawanan
● etika profesional
● kepimpinan
● kemahiran digital
Kemahiran insaniah ini penting dalam kehidupan seharian dan juga dalam persekitaran profesional kerana ia memainkan peranan penting dalam membina hubungan yang baik dengan orang lain, berjaya dalam kerjaya dan mencapai matlamat secara keseluruhan. Selain daripada kemahiran teknikal yang lebih spesifik kepada bidang tertentu, kemahiran insaniah juga perlu diterapkan dalam kalangan siswa guru sebelum mereka boleh menjadi guru.
OBJEKTIF : Setelah mengikuti sesi ini, peserta dapat;
1. membuat banding beza antara RMK dan MK
2. mengenal pasti aras kognitif, hasil pembelajaran program dan kemahiran insaniah yang terkandung dalam hasil pembelajaran kursus
3. membuat pengiraan JPP pentaksiran
MASA : 2 jam