Klasifikasi Roti dan Masakan Beryis
Roti boleh diklasifikasikan mengikut jenis dan kumpulan. Tahap penghidratan, kandungan lemak, penggunaan yis dan kaedah penyediaan doh akan menentukan kumpulan klasifikasi roti yang digunakan dalam sesuatu resipi. Setiap klasifikasi dapat menghasilkan pelbagai jenis roti dan masakan beryis.
Roti manis ialah jenis roti yang mempunyai rasa manis yang menonjol serta mempunyai tekstur lembut dengan atau tanpa isian. Roti manis termasuk dalam kategori rich dough (adunan dengan kadar gula dan lemak yang tinggi dan melebihi 10%).
Roti putih ialah jenis roti yang memiliki warna putih dengan kandungan gula dan lemak di bawah 10% dan bertekstur empuk.
Roti kontinental atau country bread boleh diperbuat dengan atau tanpa gula dan lemak di dalamnya. Roti kontinental berasal dari negara-negara Eropah yang kebanyakannya diperbuat daripada empat bahan utama, iaitu tepung, yis, garam dan air. Contoh roti jenis ini adalah french bread, roll, cobburg dan vienna. Roti ini juga dikenali dengan istilah crusty bread. Tekstur kulit roti biasanya keras dan garing.
Rye bread merupakan roti bertekstur keras yang diperbuat daripada tepung rai (rye flour) dengan proses fermentasi yang panjang, iaitu 12 hingga 24 jam dan biasanya ditambahkan dengan bahan yang berasa masam seperti cuka makanan dalam adunannya dan dikenali dengan istilah sour dough.
Whole wheat atau tepung gandum lengkap adalah roti yang diperbuat daripada biji gandum yang dikisar, atau dari campuran biji-bijian lain seperti oat, barli dan biji bunga matahari.
Masakan beryis
Masakan beryis boleh dihasilkan melalui doh dan juga bater. Terdapat banyak bahan campuran yang boleh ditambahkan ke dalam adunan doh atau bater seperti buah-buahan campuran, perisa buah-buahan, coklat dan juga pewarna makanan. Hasil masakan beryis adalah seperti wafel, pankek dan kuih apam kukus.
Roti dan masakan beryis yang dibeli dalam pembungkus plastik tidak digalakkan untuk dibuka sehingga ingin dinikmati. Ini kerana pembungkus plastik membantu untuk mengekalkan kesegaran, kelembutan dan kelembapan roti.
Sekiranya pembungkus roti atau masakan beryis telah dibuka, pastikan plastik pembungkus diikat atau ditutup rapi kembali seperti asal. Pastikan tiada kandungan udara berlebihan dalam plastik pembungkus semasa menyimpan semula roti atau masakan beryis.
Setelah dibuka bungkusan asal, digalakkan supaya lebihan roti atau masakan beryis disimpan di dalam bekas kedap udara supaya roti dan masakan beryis kekal segar.
Roti perlu disimpan berasingan daripada bahan makanan yang lain kerana roti dan masakan beryis dapat menyerap bau dan rasa daripada bahan makanan lain seperti bawang.
Roti dan masakan beryis juga boleh dibekukan dalam peti sejuk beku sekiranya ingin disimpan dalam waktu yang lama.
Sebelum dibekukan, masukkan roti dan masakan beryis ke dalam beg plastik atau bekas kedap udara.
Roti dan masakan beryis yang dibekukan boleh bertahan di antara tiga hingga empat bulan.
Walau bagaimanapun, terdapat perubahan kepada kualiti roti dan masakan beryis sekiranya disimpan dalam jangka waktu yang terlalu lama. Roti dan masakan beryis yang dibekukan dapat mengelakkan daripada berkulat pada permukaan roti dan masakan beryis.
Kaedah Membuat Roti
Melarutkan yis
Yis dilarutkan sama seperti dalam proses menghasilkan roti dan masakan beryis berasaskan doh. Kedua-dua jenis yis juga sesuai digunakan.
Mengadun bater
Bahan kering diadunkan bersama dan kemudian dicampurkan dengan cecair dan lemak. Tidak semua masakan beryis berasaskan bater menggunakan lemak. Adun sebati sehingga tiada ketulan tepung di dalam bater. Kadar kepekatan bater bergantung pada kandungan cecair dalam bater. Resipi bagi masakan beryis juga memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada hasil masakan beryis menggunakan bater cair atau bater pekat.
Memasak
Bater yang telah disediakan boleh dimasak dengan pelbagai cara mengikut jenis masakan beryis yang dihasilkan. Terdapat bater yang digoreng minyak penuh atau digoreng dengan minyak sedikit. Terdapat alatan memasak yang spesifik bagi menghasil masakan beryis seperti mesin memasak wafel dan juga mesin penggoreng donut.
Mise En Place
Kenal pasti resipi dan bahan yang diperlukan.
Sediakan bahan-bahan utama bagi penyediaan roti dan masakan beryis.
Timbang dan sukat bahan dengan tepat
Sediakan inti lebih awal mengikut keperluan resipi.
Sediakan yis yang telah difermentasi mengikut keperluan resipi.
Rendam bahan makanan sekiranya perlu.
Susun bahan-bahan dalam bekas yang sesuai.
Sediakan mangkuk adunan bagi tujuan pengembangan.