TEBRAU AIRFIELD

Kem Tebrau, Johor Bahru bakal berusia 80 tahun. Lebih menarik lagi, kem ini merupakan sebuah lapangan terbang semasa Perang Dunia Kedua dikenali Tebrau Airfield. Pembinaan tapak kem bermula pada penghujung Ogos 1941 oleh No 1 Aerodrome Construction Squadron RNZAF (Royal New Zealand Air Force) yang baharu ditubuhkan di Wellington pada Julai 1941.

Pada 27 Okt 1941 kerja pembinaan landasan bermula dengan kerja tanah keringat pekerja tempatan berlarutan siang dan malam kerana musim hujan monsun dan akhirnya pada penghujung Nov 1941 sebuah single runaway sepanjang 1,200 ela dapat disiapkan walaupun tidak sempurna sepenuhnya. Apabila perang dunia kedua bermula pada 8 Dis 1941, kerja pembinaan tersebut tidak diteruskan oleh kerana pasukan diarahkan menyiapkan Bekok Airfield Segamat dan selebihnya ke Singapura. Seterusnya pada 27 Jan 1942 kesemua anggota No 1 ACS telah berundur sepenuhnya ke Seletar.

Dalam masa peperangan tersebut, Tebrau Airfield telah digunakan oleh Imperial Japanese Navy (IJN) sebagai landasan pesawat penyerang berlepas. Penghujung perang tahun 1945, ia telah menjadi sasaran pesawat pengebom jarak jauh US Navy jenis PB4Y -1 Liberator. Setelah Jepun menyerah kalah, kesemua pesawat perang milik Japanese Army Air Force (JAAF) dan IJN diterbangkan ke Tebrau Airfield bagi tujuan perekodan dan penandaan marker oleh pihak Allied Technical Intelligent Air Unit - South East Asia (ATIAU- SEA) diketuai Royal Air Force (RAF). Sejumlah 64 pesawat telah dikenalpasti untuk dibawa balik ke United Kingdom dan akhirnya hanya 4 pesawat yang berjaya dibawa manakala baki telah dilupuskan.

Seterusnya Tebrau Airfield telah berubah fungsi menjadi Depoh Kenderaan Tentera dibawah Far East Land Force (FARELF) menempatkan unit 221 Base Vehicle Depot (221 BVD) Royal Army Ordance Corps mulai 1959 sehingga pengunduran dari Malaysia pada tahun 1969. Mempunyai 1,000 orang kakitangan terdiri daripada pekerja awam, 200 anggota British Army dan 180 Malayan Troops depoh berkenaan berfungsi menerima dan mengagihkan kenderaan terdiri motorsikal, kereta perisai, trak, ambulan dan jentolak bagi kegunaan pasukan Commonwealth di Timur Jauh meliputi Singapura, Hongkong dan India (elemen Gurkha).

Menjelang tahun 1969 berikutan pengunduran British Army, depoh tersebut berubah menjadi sebuah kem tentera dan sehingga kini menempatkan unit-unit di bawah Tentera Darat dan KD Sri Medini. Di antara pasukan infantri yang pernah berada di Kem Tebrau adalah Batalion Ke- 28 RAMD sebelum di tukar designasinya kepada 21 RAMD (baru) dan Batalion Ke-26 RAMD sebelum dibubarkan pada 1 Nov 1994.