LATIHAN

JOHOR: Seramai lapan pegawai dan 64 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW) berjaya melaksanakan abseiling yang merupakan komponen ketiga dalam Ujian Kecergasan Tempur (UKT) di Menara Abseiling Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) pada 26 hingga 28 Apr 2021.

Latihan ini bertujuan untuk membina keyakinan yang tinggi dalam diri warga Rej 501 AW serta melatih pegawai dan anggota rejimen dalam aspek menuruni sesebuah bangunan yang tinggi menggunakan tali jika keadaan memerlukan berbuat demikian.

Sepanjang ujian dilaksanakan, anggota Penyelia Abseiling Repelling dan Penyelamat Udara (PARPU) dari Bahagian Bantuan Latih PULADA turut membantu dari segi aspek keselamatan, bantuan peralatan yang digunakan dan demonstrasi latihan yang betul.

Ujian ini bertepatan dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan bagi memantapkan jati diri dan kompetensi sebagai seorang anggota tentera yang terlatih dan profesional.

Ujian Jalan Laju 5km

Seramai 17 pegawai dan 15 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Batalion Ke-3 Rejimen 501 Askar Wataniah telah melaksanakan Ujian Jalan Laju (UJL) sejauh 5 km bertempat di Kem Mahkota , Kluang pada 20 Mac 2021.

UJL ini merupakan salah satu latihan ketenteraan yang wajib dilaksanakan bagi semua peringkat pegawai dan anggota di dalam Tentera Darat sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

Ujian ini bukan sahaja melatih ketahanan mental dan fizikal malahan menguji tahap kerjasama dan semangat setia kawan antara pegawai dan anggota dalam satu kumpulan.

Selain itu, UJL turut menguji aspek integriti di kalangan warga Batalion Ke-3 Rej 501 AW.

Pasukan berjaya menamatkan ujian tanpa sebarang kecederaan dan kehilangan peralatan dan dilaksanakan mengikut norma baharu Prosedur Operasi Standard( SOP) penularan wabak COVID-19 yang telah ditetapkan.

Latihan turut disertai oleh Pegawai Memerintah pasukan.

Berkhidmat Untuk Negara