PERUTUSAN PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya Laman Web Rasmi Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson ini dapat dibangunkan untuk manfaat semua pihak.

Kemunculan masyarakat yang canggih dari segi ICT, peningkatan tahap pendidikan, keterbukaan sikap dan mempunyai ekspektasi tinggi menyebabkan kita perlu memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan rakyat. Laman Web merupakan salah satu inisiatif jabatan untuk memberi informasi tepat dan terkini kepada semua lapisan masyarakat.

Berpandukan kepada matlamat untuk menghasilkan anak yang baik lagi cerdik, kita sebagai warga kerja pendidikan bertanggungjawab dan memainkan peranan penting  dalam  menggerakkan dan menjayakan Naratif Baharu Amalan Pendidikan yang telah diangkat sebagai satu inisiatif utama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi memartabatkan dan memperkasakan kecemerlangan pendidikan, PPD Port Dickson berperanan sebagai barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam menyokong peningkatan prestasi sekolah secara menyeluruh. Kita sebagai warga kerja pendidikan, perlulah memberi sokongan yang padu bagi menjayakan tiga subnaratif baharu yang berfokus kepada murid, guru dan kepimpinan pendidikan. Sehubungan dengan itu, pengemaskinian kandungan laman web secara berterusan akan dapat memupuk kefahaman, keyakinan, kebolehpercayaan masyarakat dan pelanggan terhadap mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

“PD WIN 2.0 Muafakat Sejahatera” yang didokong oleh seluruh warga Pejabat Pendidikan Daerah serta sekolah-sekolah di daerah Port Dickson akan terus disemarakkan agar kesepakatan dan amalan musyawarah di dalam setiap pekerjaan yang dirancang dan dilaksanakan akhirnya membuahkan kesejahteraan dalam kalangan semua pihak yang berkepentingan.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan pembangunan laman web ini. Semoga laman web ini akan terus dipertingkatkan selari dengan teknologi terkini bagi memastikan ia terus cemerlang dalam memberikan maklumat pendidikan khususnya kepada warga Port Dickson. Terima kasih juga kepada semua pihak yang berusaha menjelmakan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk menjadikan pendidikan hari ini secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu bagi melahirkan ABC, anak yang baik lagi cerdik.

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian mengunjungi laman web ini.

Sekian.


(PUAN ZAINAB BINTI ABU KASSIM)
Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson