LATAR BELAKANG

Daerah Port Dickson merupakan daerah yang kedua terkecil di Negeri Sembilan. Terkenal sebagai bandar pantai peranginan dengan bandar Port Dickson terletak di tepi pinggir laut. Selain pusat pelancongan Port Dickson juga berperanan sebagai pelabuhan impot dan ekspot. Seiring dengan pembangunan pesat pendidikan di Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan satu organisasi pendidikan di setiap daerah di setiap negeri iaitu Pejabat Pelajaran Daerah termasuklah di daerah Port Dickson. Pejabat Pelajaran Daerah Port Dickson mula beroperasi pada Jun 2003 dengan menumpang sebahagian bangunan di Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam yang terletak di KM 1 Jalan Seremban – Port Dickson.

Encik Abdullah Bin Mohammad merupakan Pegawai Pelajaran Daerah pertama yang dilantik menerajui PPD Port Dickson. Sebelum itu hanya wujud jawatan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah sejak tahun 1998 dan penyandang pertamanya ialah Tuan Haji Shaari Bin Awaluddin. Di awal penubuhannya PPD Port Dickson hanya mempunyai tujuh orang pegawai dan kakitangan sokongan sahaja termasuk Pegawai Pelajaran Daerah. Pada Februari 2006, Encik Abdullah Bin Mohammad telah berpindah ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Tempat beliau telah diganti oleh Tuan Haji Abdul Hamid Bin Akub pada Mac 2006 sehingga Februari 2007. Bagi memastikan kelangsungan pentadbiran terus diurus dengan baik maka pada Mac 2007 Puan Hajah Kalsom Binti Khalid telah dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah yang baharu. Namun atas keperluan perkhidmatan pada September tahun yang sama beliau juga bertukar ke jabatan. Namun kekosongan tersebut terus diisi oleh En. Mohammad Azwar Iq’bal Bin Tahir pada Oktober 2007.

Dengan pertambahan bilangan kakitangan serta memastikan keselesaan tempat bertugas maka perancangan untuk menyediakan pejabat pentadbiran sendiri telah dibuat. Akhirnya pada Jun 2011 PPD Port Dickson telah berpindah ke bangunan pentadbiran baharu bersebelahan Klinik Kesihatan, Lukut yang terletak di KM 9 Jalan Seremban – Port Dickson. Pada ketika ini terdapat 50 buah sekolah rendah dan 13 buah sekolah menengah dalam kawasan pentadbiran PPD Port Dickson. Tanggal 29 April 2018 En. Mohammad Azwar Iq’bal telah bersara wajib. Pada Mac 2019 En. Muzir Bin Ab Manan telah dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah yang baharu setelah hampir 11 bulan berlaku kekosongan jawatan berkenaan. Pada tahun 2019 juga berlaku pengstrukturan perjawatan secara besar-besaran di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia dan PPD Port Dickson juga tidak terkecuali. Melalui pengstrukturan tersebut berlaku pertambahan barisan pengurusan tertinggi yang terdiri daripada empat orang Timbalan Sektor iaitu Sektor Perancangan, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Pembangunan Murid. Disamping itu bagi memantapkan pengurusan pentadbiran, jawatan Penolong Pegawai Tadbir juga telah diwujudkan. Pada ketika ini PPD Port Dickson telah diterajui oleh Tuan Haji Kamanizam Bin Tindek yang mula menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Daerah pada Mac 2021.

BARISAN PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH