Penguasaan BM dan BI murid dari segi keyakinan, kefasihan, berfikiran tajam, kemahiran berhujah secara spontan, berkemahiran mengutarakan hujah-hujah yang bernas dan teratur, betul, tepat dan gramatis ditingkatkan melalui peningkatan minat dan penyertaan murid dalam aktiviti kebahasaan.
Enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk bersaing pada peringkat global sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah setiap murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran berkomunikasi dalam dwibahasa, beretika dan memiliki kerohanian yang tinggi, dan beridentiti nasional. Semua ciri ini perlu ada pada setiap murid sebagai wadah pembangunan murid yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Selain itu, murid berupaya mengaplikasi ilmu pengetahuan, berfikir secara kreatif dan inovatif serta mengamalkan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.
Program atau aktiviti kokurikulum akademik (koakademik) yang dilaksanakan pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan menggunakan BM dan BI. KPM berhasrat untuk menjanakan suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan dalam kalangan murid.