Penyediaan guru BM dan BI yang mencukupi, berkualiti dan berkemahiran tinggi merupakan strategi penting MBMMBI. Dalam hal ini, KPM turut melaksanakan perkongsian pintar dengan tenaga pakar dari luar negara. Bagi tujuan membina kapasiti guru BI, perkhidmatan penutur jati BI digunakan sebagai mentor di sekolah rendah di dalam enam (6) zon seluruh negara (2010-2013; 2013-2015). Sebanyak 1,800 sekolah rendah terlibat dalam program ini. Bagi tujuan peningkatan kapasiti pensyarah BI pula, penutur jati juga ditempatkan di lima Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI) iaitu English Language Teaching Centre (ELTC), IPGK Bahasa Antarabangsa, IPGK Dato‘ Razali, IPGK Batu Lintang dan IPGK Gaya (2010-2013).
Kepakaran penutur jati membantu meningkatkan kemahiran pedagogi dan profisiensi guru BI serta dapat membangunkan kemahiran kumpulan tenaga pengajar yang boleh menjadi pakar rujuk. Penutur jati yang berkhidmat di PKBI bekerjasama dengan pensyarah BI bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pedagogi serta kompetensi pensyarah BI.
Program Fulbright English Teaching Assistant atau ringkasnya, ETA ialah satu program kolaboratif antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat dan bertujuan meningkatkan penguasaan dan penggunaan BI dalam kalangan murid.
Mulai tahun 2012 sehingga 2014, seramai 225 orang ETA telah ditempatkan di 100 sekolah menengah dan rendah khususnya sekolah yang berada di Band 5, 6 dan 7 serta berprestasi rendah dalam mata pelajaran BI. ETA mengendalikan pelbagai aktiviti pembelajaran BI bagi meningkatkan minat murid untuk menguasai BI dengan lebih baik. Setiap ETA menghabiskan sekurang-kurangnya dua puluh jam seminggu berinteraksi dengan murid-murid semasa di dalam bilik darjah atau melalui aktiviti kokurikulum bagi meningkatkan lagi peluang murid menggunakan BI dalam situasi yang autentik. Setiap ETA dibantu oleh seorang guru mentor BI yang dikenal pasti di sekolah mereka ditempatkan. Sehingga tahun 2014, Program ETA dilaksanakan di enam (6) buah negeri, iaitu Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak. Hasil daripada maklum balas yang memberangsangkan khususnya daripada murid-murid yang terlibat, program ini akan diteruskan sehingga tahun 2017.
Prestasi murid dalam mata pelajaran BI masih berada pada tahap rendah khususnya di sekolah luar bandar dan sekolah pedalaman. Dalam usaha KPM mempertingkatkan prestasi murid dalam mata pelajaran BI beberapa strategi telah dirancang. Antaranya adalah untuk melantik guru BI yang telah bersara sebagai Guru Kontrak BI secara contract for service (CFS) di sekolah rendah. Bidang tugas Guru Kontrak adalah untuk mengajarkan mata pelajaran BI dan membantu aktiviti pengukuhan berkaitan BI. Pelantikan Guru Kontrak BI bertujuan menampung keperluan guru BI di sekolah-sekolah yang dikenal pasti.