PPPM 2013-2025 menterjemahkan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyediakan sistem pendidikan yang mampu membentuk individu yang dapat meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara. Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mempunyai kecekapan berbahasa dalam BM dan BI.
Penguasaan BM dan BI sebagai bahasa ilmu akan membangunkan murid yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Murid akan dilengkapi dengan pelbagai kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan TMK dengan baik, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai yang tinggi serta berpotensi menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat. Justeru, pelbagai program dan aktiviti memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris dapat membantu mewujudkan 1Malaysia yang mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik, mampu bersaing di peringkat antarabangsa ke arah merealisasikan hasrat menjadi negara maju.
Dalam memastikan kejayaan Dasar MBMMBI, penggemblengan idea dan tenaga semua pihak amat diperlukan bagi membantu KPM memartabatkan BM dan memperkukuh BI. Sebarang cabaran yang dilalui hendaklah dijadikan sebagai ikhtibar dan batu loncatan bagi menambah baik pelaksanaan Dasar MBMMBI. Harapan KPM adalah untuk ibu bapa, guru-guru, pemimpin tempatan, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta berganding bahu dan berusaha gigih bersama-sama menjayakan pelaksanaan Dasar MBMMBI