Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah, iaitu Tahun 1 hingga Tingkatan 5, dan digantikan dengan Dasar MBMMBI. Jemaah Menteri juga memutuskan bahawa Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Matlamat melahirkan masyarakat yang berupaya menguasai bahasa Malaysia (BM) dan bahasa Inggeris (BI) dengan baik adalah antara fokus baharu dalam sistem pendidikan negara. Seperti digariskan dalam PPPM 2013-2025, penguasaan BM dan BI yang mantap serta kecekapan menguasai pelbagai bahasa adalah penting memandangkan persaingan global yang pesat. Selaras dengan pelaksanaan PPPM 2013-2025, Dasar MBMMBI memfokuskan usaha memartabatkan BM dan memperkukuh BI bagi melahirkan masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, bersatupadu serta dapat menjana daya saing hingga ke peringkat antarabangsa.