Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) ialah salah satu kolej di bawah program matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Kolej matrikulasi ini terletak di daerah Tangkak, Johor dengan keluasan tanah 22.7 hektar.
Kolej Matrikulasi Johor terletak di daerah Tangkak dan lokasinya berdekatan dengan jalan utama ke Segamat dan hanya 5 km jarak ke Pekan Tangkak .
Memang tiada siapapun menduga, dari kawasan kelapa sawit dan koko seluas 22.7 hektar di Jalan Payamas kini telah menjadi satu pusat ilmu tempat anak-anak bangsa membuat persiapan awal sebelum melangkah kaki mereka ke mana-mana universiti yang sesuai dengan pengajian mereka.
Kolej ini telah mula beroperasi pada 1 Mac 2002 dan pengambilan pelajar baharu buat kali pertama bagi sesi 2002/2003 telah dilaksanakan pada Mei 2002. Pada tahun tersebut, seramai 950 orang pelajar telah mendaftar di kolej ini dengan kekuatan asal tenaga pengajar yang hampir mencecah 100 orang.
Terdapat enam buah kolej kediaman yang boleh menempatkan kira-kira 3000 orang pelajar pada satu-satu masa. Terdapat dua kolej kediaman bagi pelajar lelaki iaitu Kolej Kediaman Al-Zahwari dan Al-Kindi, manakala Kolej Kediaman Al-Jazari, Al-Razi, Al-Biruni dan Al-Khawarizmi dihuni oleh pelajar perempuan.
Pelbagai kejayaan yang telah dicatat di dalam sejarah KMJ sepanjang penubuhannya baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Sistem matrikulasi mengguna pakai sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK).
KMJ telah mencatat pencapaian yang cemerlang iaitu pada tahun 2003 dengan seramai 342 pelajar mendapat keputusan 4.00 untuk semester 1. Bagi kokurikulum pula, pencapaian paling cemerlang apabila 2 kali menjadi Johan Karnival Kokurikulum Matrikulasi (KAKOM) pada tahun 2005 di mana KMJ telah menjadi tuan rumah temasya tersebut dan pada tahun 2009 sewaktu Kolej Matrikulasi Perlis menjadi tuan rumah.
~ VISI ~
Kolej Matrikulasi Johor penjana pelajar berkualiti ke Institusi Pengajian Tinggi.
~ MISI ~
Beriltizam menyedikan pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah melalui pembelajaran yang kreatif dan inovatif