PERMOHONAN DAN PENDAFTARAN KEAHLIAN PERSATUAN SENIMAN SENI DIGITAL MALAYSIA (ASEDAS) PPM-023-16-26022022 SESI 2024/2026
MyDigitalMaker 2025: 1-Day AI Bootcamp Creative Program merupakan sebuah inisiatif nasional berimpak tinggi yang bertujuan untuk memperkenalkan seni digital dan kreativiti berasaskan kecerdasan buatan (AI) kepada pelajar sekolah menengah. Melalui pendekatan intensif satu hari yang menyeronokkan dan praktikal, program ini direka bentuk untuk memupuk minat terhadap kerjaya digital serta memperkasakan generasi muda dengan kemahiran asas yang diperlukan dalam industri teknologi kreatif masa hadapan.
Program ini adalah kesinambungan kepada kejayaan Karnival Pendidikan Digital Kelantan X International MyDigitalMaker Fair 2024, yang telah menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, badan bukan kerajaan dan sektor industri kreatif digital. Kolaborasi strategik ini melibatkan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Creative Accelerator Center (CAC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) serta rakan industri yang lain.
Program terdahulu yang berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 Jun 2024 telah mencatatkan kejayaan cemerlang. Ia mencatatkan lebih 5,300 penyertaan daripada pelajar dan 416 guru dari 135 buah sekolah seluruh Kelantan, dengan hampir 10,000 tontonan penonton siaran langsung YouTube. Pencapaian ini membuktikan bahawa pendedahan kepada AI, animasi, reka cipta digital, dan teknologi kreatif amat diminati serta relevan dalam kalangan pelajar dan guru.
Lebih 3,000 pelajar berjaya menyiapkan tugasan dalam talian berkaitan AI dan seni digital menggunakan platform seperti Google Classroom dan Canva. Sebanyak tujuh kategori pertandingan digital telah dianjurkan, menerima lebih 700 penyertaan pelajar. Sebanyak 18 bengkel interaktif dan empat sesi panel profesional telah dijalankan bersama pakar industri dan akademia, manakala semua bahan pembelajaran telah diterbitkan sebagai Open Educational Resources (OER) untuk kegunaan guru dan pelajar selepas program.
Melalui pendekatan holistik ini, MyDigitalMaker 2025 bukan sahaja memberi peluang eksplorasi kreatif dalam bidang digital, malah membina jalinan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri. Ia merupakan landasan penting dalam memperkukuh literasi teknologi dan keterampilan digital pelajar serta menjadikan negeri Kelantan sebagai perintis kepada pembangunan pendidikan digital di Wilayah Timur.