Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2000 (bertarikh 20 April 2000) menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memberi penekanan sewajarnya dalam pelaksanaan program berkaitan Pusat Sumber Sekolah di seluruh negara. Ini bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan seterusnya mengupayakan generasi muda untuk mengharungi cabaran dunia abad ke-21 dengan lebih cemerlang. Sehubungan dengan itu, TVPSS adalah satu projek inovasi Pusat Sumber Sekolah yang menyokong PdPC abad ke-21.
Kementerian Pendidikan sedang dalam usaha mempergiatkan pelbagai inisiatif bagi menyokong corak pembelajaran digital yang menjurus kepada penguasaan kemahiran abad ke-21. Semua sekolah di Malaysia amat digalakkan melaksanakan penubuhan TVPSS seterusnya berusaha membina isi kandungan TVPSS yang bercorak pembelajaran di sekolah agar murid-murid memperoleh pelbagai kemahiran abad ke-21 melalui aktiviti yang menyeronokkan.
TVPSS atau TV Pusat Sumber Sekolah ialah salah satu aktiviti PSS menyokong ciri-ciri pembelajaran abad ke-21 dan merupakan satu projek inovasi Pusat Sumber Sekolah dalam menyokong PdPc.
TVPSS melibatkan aktiviti membina dan menghasilkan isi kandungan pembelajaran berbentuk video yang dihasilkan oleh krew TVPSS yang terdiri daripada kumpulan murid-murid yang dilatih dalam bidang kewartawan dan penerbitan dengan memfokuskan isi kandungan berbentuk pembelajaran dan pendidikan.
Program yang dilaksanakan menerusi TVPSS ini mampu membangunkan potensi dan kemahiran murid-murid melalui aktiviti penerbitan dan kewartawanan yang mencakupi pembelajaran bermakna (deep learning) dengan membina isi kandungan (content) TVPSS yang bermakna. Proses tersebut memberi peluang kepada murid-murid membina keyakinan diri, mengakses dan mencari maklumat dengan tepat serta belajar menggunakan teknologi dengan sebaiknya.