Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Asas Sains Komputer (ASK) adalah satu mata pelajaran yang diperkenalkan kepada murid di peringkat menengah rendah mulai tahun 2017. Matlamat utama subjek ASK ini diperkenalkan ialah menyediakan murid yang mempunyai kemahiran pemikiran komputasional yang dapat memberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan.
Dalam abad ke-21, murid bukan hanya bertindak sebagai pengguna teknologi yang berpengetahuan malah menyediakan mereka ke arah pencipta teknologi dan pencetus idea baharu melalui kemahiran berfikir seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), mata pelajaran KSSM ASK diperkenalkan agar murid diajar tentang prinsip-prinsip asas dan konsep pembinaan teknologi digital, mempunyai pemikiran komputasional serta memahami bahawa teknologi digital pada hari ini mampu menyelesaikan masalah masa hadapan.
KSSM ASK bermatlamat menyediakan murid dengan pengetahuan dan kemahiran pemikiran komputasional serta mengamalkan nilai dan budaya TMK bagi melengkapkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran asas sains komputer yang merangkumi kemahiran pengaturcaraan dan algoritma bagi melahirkan murid yang kreatif, inovatif, dinamik dan beretika.
KSSM ASK bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:
Menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik.
Mengguna, mengesan dan membetulkan kesalahan algoritma dan atur cara menggunakan pemikiran logik dan pemikiran komputasional.
Menyelesaikan masalah kompleks melalui pemikiran komputasional menggunakan penyelesaian berteraskan komputer.
Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengkomputeran secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
KSSM ASK memberi fokus ke arah menyediakan murid yang berfikiran komputasional. Kerangka KSSM ASK dibina berasaskan kesepaduan unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui 4 bidang pembelajaran yang digubal iaitu Konsep Asas Pemikiran Komputasional, Perwakilan Data, Algoritma dan Kod Arahan. Bidang pembelajaran ini menghasilkan murid berfikiran komputasional yang mampu menyelesaikan masalah, mereka bentuk sistem serta memahami tingkah laku manusia yang merupakan prinsip asas sains komputer seperti yang diterangkan pada Rajah 2.
Pemikiran komputasional ialah kebolehan untuk memahami dan mengaplikasikan prinsip asas sains komputer. Melalui pemikiran komputasional, kaedah penyelesaian masalah diterjemahkan dalam bentuk yang boleh dilaksanakan dengan berkesan menggunakan penyelesaian berteraskan komputer.
Kandungan kurikulum yang terdapat dalam 4 Bidang Pembelajaran KSSM ASK dapat menghasilkan murid yang mempunyai:
Pengetahuan
Pengetahuan yang ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran KSSM ASK meliputi perkara berikut:
Menyelesaikan masalah kompleks dengan mereka bentuk sistem, membina algoritma dan mengatur cara menggunakan teknologi komputer.
Menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik.
Menginovasi kaedah penyelesaian baharu berdasarkan model sedia ada.
Mewakilkan data menerusi abstraksi seperti model dan simulasi.
Mengautomasikan penyelesaian melalui pemikiran algoritma.
Mengenal pasti, menguji dan melaksanakan setiap kemungkinan penyelesaian.
Kemahiran
Kemahiran yang ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran KSSM ASK adalah seperti berikut:
(i) Kemahiran Penyelesaian Masalah.
• Mempraktikkan pemikiran komputasional dalam penyelesaian masalah.
• Membina rumus bagi penyelesaian masalah agar dapat dibantu oleh komputer.
(ii) Kemahiran Pengurusan Maklumat.
• Mengekalkan integrasi maklumat.
• Menggunakan pelbagai teknik pertanyaan.
• Meningkatkan kemahiran pengurusan maklumat dan mempersembahkan maklumat secara jelas, logik, tepat dan terperinci.
• Mengkategori, menganalisis, menjana dan menilai maklumat.
• Mengenal pasti, mencari, mengumpul, menyimpan, mencapai dan memproses maklumat.
(iii) Kemahiran Manipulatif.
• Memanipulasi data menggunakan kemahiran aritmetik (tambah, tolak, darab, bahagi).
• Kemahiran menaakul.
• Kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif.
(iv) Kemahiran Komunikasi.
• Berkongsi dan menyebar maklumat.
• Menghasilkan melalui pelbagai cara termasuk persembahan grafik, lakaran dan prototaip dengan menggunakan komputer.
• Mengenal pasti, menghurai dan menterjemahkan pelbagai pandangan.
• Menggunakan, mencapai dan memproses maklumat dengan yakin dan cekap.
Nilai
Murid belajar KSSM ASK melalui penerapan nilai, etika dan integriti seperti berikut:
(i) Bersifat jujur, amanah, bertanggungjawab, boleh bekerjasama, cekap dan bijaksana.
(ii) Melahirkan sikap akauntabiliti iaitu satu prinsip di mana murid bertanggungjawab atas segala tindakan mereka dan perlu menjelaskan tindakan yang diambil kepada orang lain. Murid juga perlu mematuhi etika dan undang-undang siber.
(iii) Mempunyai integriti di mana ia memperihalkan perlakuan murid yang mengamalkan semua nilai dan etika dalam melahirkan murid yang berkeperibadian tinggi dan mempunyai jati diri dalam melaksanakan sesuatu tugasan, seterusnya dapat menyumbang bakti kepada negara, bangsa dan berkeyakinan dalam menangani kerumitan.
(iv) Bersikap gigih dalam melaksanakan tugasan yang sukar.
(v) Berkeupayaan untuk menangani masalah terbuka.
(vi) Bertoleransi dalam menerima kritikan.
(vii) Berkeupayaan berkomunikasi dan bekerja dengan orang lain untuk mencapai matlamat atau penyelesaian yang sama.
(viii)Menggunakan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab.
Satu daripada hasrat KSSM adalah untuk melahirkan murid yang mempunyai Kemahiran Abad Ke-21 dengan memberi fokus kepada kemahiran berfikir serta kemahiran hidup dan kerjaya yang berteraskan amalan nilai murni. Kemahiran Abad Ke-21 bermatlamat untuk melahirkan murid yang mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan dalam profil murid seperti dalam Jadual 1 supaya berupaya bersaing di peringkat global. Penguasaan Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) dalam Kurikulum ASK menyumbang kepada pemerolehan Kemahiran Abad Ke-21 dalam kalangan murid.
Berdaya Tahan
Mereka mampu menghadapi dan mengatasi kesukaran, mengatasi cabaran dengan kebijaksanaan, keyakinan, toleransi, dan empati.
Mahir Berkomunikasi
Mereka menyuarakan dan meluahkan fikiran, idea dan maklumat dengan yakin dan kreatif secara lisan dan bertulis, menggunakan pelbagai media dan teknologi.
Pemikir
Mereka berfikir secara kritikal, kreatif dan inovatif; mampu untuk menangani masalah yang kompleks dan membuat keputusan yang beretika. Mereka berfikir tentang pembelajaran dan diri mereka sebagai murid. Mereka menjana soalan dan bersifat terbuka kepada perspektif, nilai dan tradisi individu dan masyarakat lain. Mereka berkeyakinan dan kreatif dalam menangani bidang pembelajaran yang baharu.
Kerja Sepasukan
Mereka boleh bekerjasama secara berkesan dan harmoni dengan orang lain. Mereka menggalas tanggungjawab bersama serta menghormati dan menghargai sumbangan yang diberikan oleh setiap ahli pasukan. Mereka memperoleh kemahiran interpersonal melalui aktiviti kolaboratif, dan ini menjadikan mereka pemimpin dan ahli pasukan yang lebih baik.
Bersifat Ingin Tahu
Mereka membangunkan rasa ingin tahu semula jadi untuk meneroka strategi dan idea baharu. Mereka mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan inkuiri dan penyelidikan, serta menunjukkan sifat berdikari dalam pembelajaran. Mereka menikmati pengalaman pembelajaran sepanjang hayat secara berterusan.
Berprinsip
Mereka berintegriti dan jujur, kesamarataan, adil dan menghormati maruah individu, kumpulan dan komuniti. Mereka bertanggungjawab atas tindakan, akibat tindakan serta keputusan mereka.
Bermaklumat
Mereka mendapatkan pengetahuan dan membentuk pemahaman yang luas dan seimbang merentasi pelbagai disiplin pengetahuan. Mereka meneroka pengetahuan dengan cekap dan berkesan dalam konteks isu tempatan dan global. Mereka memahami isu-isu etika/ undang-undang berkaitan maklumat yang diperoleh.
Penyayang / Prihatin
Mereka menunjukkan empati, belas kasihan dan rasa hormat terhadap keperluan dan perasaan orang lain. Mereka komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan kelestarian alam sekitar.
Patriotik
Mereka mempamerkan kasih sayang, sokongan dan rasa hormat terhadap negara.