Anda ditugaskan untuk membina satu atur cara mudah yang menerima tempahan menu sebuah restoran, mengira dan memaparkan tempahan serta jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan. Hasilkan satu dokumentasi pelaporan yang lengkap berdasarkan penyataan masalah di atas.
Penyataan masalah di atas ialah contoh suatu masalah dunia sebenar yang dibawa kepada pelajar. Secara umum, kita melihat masalah di atas tampak besar dan seperti mustahil untuk diselesaikan. Hakikatnya, penyataan masalah ini boleh diselesaikan menggunakan teknik-teknik pemikiran komputasional yang telah dipelajari oleh para pelajar.
Di sinilah pelajar perlu mengaplikasikan seluruh teknik pemikiran komputasional yang telah dipelajari selama ini. Maka, tindakan terawal yang boleh diambil ialah menggunakan TEKNIK LERAIAN (DECOMPOSITION) iaitu meleraikan masalah yang 'besar' ini kepada bahagian-bahagian masalah yang lebih kecil.
Satu per satu. Itulah caranya. Masalah yang besar dan tampak mustahil di mata kita ini sebenarnya boleh diselesaikan apabila kita menggunakan teknik leraian (decomposition) dengan meleraikan masalah ini kepada bahagian-bahagian masalah kecil. Mari kita lihat, apa yang boleh kita leraikan daripada masalah utama di atas. Caranya ialah membaca satu per satu ayat, arahan atau penyataan masalah yang diberikan untuk kita dan senaraikan secara ringkas tetapi tepat.
Membina satu atur cara mudah
Atur cara itu boleh terima tempahan menu dari pelanggan
Atur cara itu boleh mengira tempahan dari pelanggan
Atur cara itu memaparkan tempahan yang dibuat oleh pelanggan
Atur cara itu memaparkan jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan
Persoalan yang perlu dijawab di sini ialah - tersusunkah susunan di atas? Cukup atau kita tertinggal perkara yang penting? Di sinilah perlunya kita mengkaji tabiat, tingkah laku dan kaedah interaksi antara manusia dan sebuah atur cara. Kunci untuk menyusun langkah-langkah ini terletak pada bagaimana manusia itu berinteraksi dengan mesin seperti monitor menu. Anda ingat lagi, apakah yang anda lakukan apabila anda mahu membuat tempahan makanan di kantin sekolah? Apakah yang anda lihat dahulu? MENU.