Kerja projek ditakrifkan sebagai tugasan, pembinaan atau siasatan secara teratur dan menjurus kepada matlamat yang spesifik. Aktiviti kerja projek dilaksanakan selepas murid menguasai kemahiran yang telah dipelajari.
Kerja Projek Kurikulum Standard Sekolah Menengah Asas Sains Komputer Tingkatan 3 (KPKAT3) merupakan salah satu komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang wajib dilaksanakan oleh murid secara individu semasa di Tingkatan 3.
Guru melapor perkembangan penguasaan murid selepas melaksanakan projek dengan menggunakan Templat Pelaporan PBD, Borang Pentaksiran Individu atau Muka Hadapan Kerja Projek dan Borang Pentaksiran Keseluruhan yang disediakan dan skor murid dihantar kepada Lembaga Peperiksaan (LP) yang mewakili 30% wajaran daripada markah keseluruhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Asas Sains Komputer.
Kerja Projek KSSM ASK Tingkatan 3 (KPKAT3) membolehkan murid:
Mendapat pengalaman bermanfaat semasa menjalankan KPKAT3 dengan mengaitkannya dengan dunia sebenar.
Membudayakan pembelajaran berasaskan inkuiri untuk memahami sesuatu konsep bagi menyelesaikan masalah yang berkesan dengan mengkaji masalah daripada pelbagai sudut melalui teknik penyoalan, siasatan, perancangan dan ramalan, analisa dapatan, merekod dapatan serta membuat rumusan.
Menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik.
Mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan membudayakan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah.
Menyelesaikan masalah dengan keupayaan sendiri secara mengenal pasti masalah dan menilai kesesuaian kaedah penyelesaian masalah yang digunakan.
Mengesan dan membetulkan kesalahan algoritma dalam penyelesaian masalah yang dirancang berpandukan pemikiran logik.
Menggunakan algoritma dan menghasilkan atur cara berdasarkan pemikiran komputasional seperti yang dirancang.
Mereka bentuk sistem untuk menyelesaikan masalah dengan cara memahami tingkah laku manusia.
Menggunakan pemikiran komputasional untuk menyelesaikan masalah kompleks berteraskan komputer.
Menghasilkan dokumentasi dan produk atur cara dalam bentuk pelbagai media digital secara kreatif dan inovatif.
Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengkomputeran secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
Kerja projek ini hendaklah berasaskan kepada gabungan semua bidang pembelajaran yang telah dipelajari dan diintegrasikan sekurang-kurangnya dengan satu mata pelajaran lain. Guru perlu membimbing dan memantau perkembangan kerja projek murid. Kerja Projek murid merangkumi:
Dokumentasi
Produk atur cara dalam bentuk pelbagai media digital
Pembentangan Kerja projek murid hendaklah dilaksanakan secara individu.
Pentaksiran kerja projek murid ditaksir berdasarkan Rubrik Pentaksiran Kerja Projek KSSM ASK dalam Jadual 1 seperti yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM ASK Tingkatan 3 bagi membolehkan elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai ditaksir secara konsisten, teratur dan terarah.
Mendapat taklimat tentang KPKAT3 dan rangka kerja projek daripada guru mata pelajaran.
Menerima sesalinan Arahan Kepada Murid (Lampiran 12), membaca, memahami dan melaksanakan KPKAT3 seperti yang diarahkan.
Membina pernyataan masalah berdasarkan tema atau tajuk yang telah ditetapkan di peringkat sekolah untuk KPKAT3 tahun semasa.
Mencari sumber rujukan sekurang-kurangnya dua rujukan berkaitan pernyataan masalah.
Membina objektif KPKAT3 merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai bersesuaian dengan tema atau tajuk yang telah ditetapkan.
Mengenal pasti kaedah yang sesuai dengan KPKAT3.
Mengumpul dan menganalisis data daripada sumber yang berkaitan.
Menyenarai bahan-bahan yang telah dirujuk.
Menganalisis data dan membuat perbandingan daripada pelbagai bahan dan sumber untuk penyelesaian masalah KPKAT3.
Menulis dokumentasi mengikut format yang ditetapkan.
Membentangkan KPKAT3 secara individu.
Laporan projek KPKAT3 hendaklah ditulis tangan atau bertaip dalam kertas saiz A4 bersaiz huruf 12 pt dan jenis tulisan Times New Roman atau Times Roman atau jenis yang mudah dan sesuai dibaca.
Penulisan sumber rujukan hendaklah mengikut format yang betul (Lampiran 13).
Penerangan grafik muka hadapan laporan projek KPKAT3 adalah seperti berikut:
Muka hadapan pelaporan KPKAT3 mengikut contoh yang disediakan iaitu Borang Pentaksiran Individu
Perlu dikokot dan tidak perlu ring binding.
Tidak perlu memasukkan senarai kandungan dalam pelaporan.
Murid menyediakan perancangan, mengumpul sumber, mengaplikasi, berkomunikasi, membuat refleksi, mengamalkan etika kerohanian yang betul, berkesan, beradab dan boleh dicontohi serta laporan kerja projek yang lengkap, tepat, tersusun, realistik, menunjukkan keaslian dan boleh dicontohi dengan menjana idea berdasarkan ilmu Asas Sains Komputer dan nilai yang dipelajari.
Murid menyediakan perancangan, mengumpul sumber, mengaplikasi, berkomunikasi, membuat refleksi dan mengamalkan etika kerohanian yang betul, berkesan dan beradab serta laporan kerja projek yang lengkap, tepat, tersusun dan realistik berdasarkan penilaian ilmu Asas Sains Komputer dan nilai yang dipelajari.
(masih disunting)
Pelaksanaan KPKAT3 membolehkan murid mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari untuk menyelesaikan masalah dalam konteks kehidupan sebenar. Selain pengukuhan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari di dalam bilik darjah, penerapan nilai juga berlaku dalam kalangan murid semasa melaksanakan KPKAT3. Pentaksiran KPKAT3 juga membolehkan usaha penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan ke arah meningkatkan penguasaan pembelajaran murid dalam usaha melahirkan murid yang mempunyai pemikiran komputasional seperti yang dihasratkan dalam kurikulum ASK.