PENGAJIAN PENDIDIKAN SEJARAH DAN GEOGRAFI DI MALAYSIA
Reka bentuk kurikulum Sejarah merupakan kesepaduan berbentuk ‘intra’ iaitu yang berlaku dalam pengetahuan sejarah itu sendiri. Pengetahuan sejarah ini meliputi sejarah Malaysia, sejarah dunia dan pembinaan negara bangsa Malaysia. Manakala elemen kemahiran pula mencakupi Kemahiran Pemikiran Sejarah. Seterusnya elemen nilai merangkumi Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik yang digabung jalin mengikut prinsip dan nilai demokrasi, keterikatan emosi kepada negara, perasaan kekitaan, semangat patriotik dan jati diri.
Geografi merupakan disiplin ilmu yang mengkaji tentang organisasi ruang dan persekitaran yang melibatkan saling kaitan dan interaksi antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam sekitar dan antara komponen alam sekitar di peringkat tempatan dan global. Seseorang itu boleh memahami bentuk fizikal dan budaya setiap tempat dan perkaitannya dengan unsur alam sekitar di permukaan bumi melalui ilmu geografi. Kandungan KSSM Geografi bertujuan untuk melengkapkan murid dengan pengetahuan geografi, penguasaan kemahiran geografi dan pemupukan nilai bagi melahirkan warganegara yang berdaya saing, berwawasan serta berkebolehan menguruskan alam dan sumber negara secara bertanggungjawab.
Sarjana Muda Pendidikan Geografi untuk pelajar lepasan matrikulasi/ asasi hanya ditawarkan di UPSI.