Ringkasan Pengajaran
Pengajaran ini akan memperkenalkan tatasusunan dan list.
ASK Tingkatan 2
3.2.3 Menghasilkan aturcara yang melibatkan gabungan pelbagai struktur kawalan.
ASK Tingkatan 3
4.2.6 Menghasilkan aturcara yang melibatkan gabungan struktur kod arahan bagi menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.
ASK Tingkatan 4
1.6.1 Menerangkan struktur tatasusunan (array) satu dimensi:
(i) Isytihar nilai.
(ii) Umpukan nilai awal.
Klasifikasi makhluk hidup mengelompokkan berbagai jenis makhluk hidup berdasarkan ciri-ciri fizikal, bentuk tubuh dan fungsinya. Proses ini memudahkan para ilmuwan untuk mengenali, membanding dan mempelajari organisma hidup yang berbagai-bagai.
Peringatan cara untuk mengikut video:
Tonton video
Pause apabila terdapat praktis dalam video
Cuba bina dan uji aturcara Python sendiri
Ulang langkah 1 - 3 sehingga akhir video
Transkrip
Hello world! Selamat kembali ke Episod 8 Python! Bayangkan jika saya memberi anda item berikut dan meminta anda untuk mencari setiap item di pusat membeli-belah. Bagaimana anda akan melakukannya? Apa pula yang akan anda lakukan jika saya meminta anda untuk mencari barang-barang tersebut di gudang yang besar di mana semua barangan disimpan dengan cara yang tidak teratur. Yang mana satu tugasan yang lebih mudah?
Anda mungkin akan menjawab pusat membeli belah. Item di pusat membeli-belah disusun mengikut kategori. Barangan elektrik adalah di bahagian barangan elektrik, makanan ada di kedai runcit dan sebagainya. Pengurusan maklumat sebegini memudahkan proses menyimpan dan mengeluarkan maklumat. Ahli sains dan pengaturcara komputer berurusan dengan data dan maklumat sepanjang masa. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mengetahui cara menyimpan data, bagaimana untuk mengakses data dan cara memanipulasikan data.
Pusat pangkalan data untuk laman web seperti Google dan Facebook boleh diukur menggunakan saiz padang bola sepak. Saiz pangkalan data mereka ini sedang mengembang dengan penambahan pengguna setiap saat! Dalam video pertama, kita telah lihat cara paling asas untuk menyimpan data, iaitu dengan menggunakan pemboleh ubah atau 'variable'. Ini adalah cara yang baik untuk jumlah data yang kecil, tetapi cuba bayangkan jumlah data yang besar! Bayangkan betapa banyak pembolehubah yang perlu kita uruskan!
Para Saintis Komputer dan jurutera perisian menggunakan cara yang berbeza untuk menyimpan data supaya kita boleh mengakses, memanipulasi dan memadamnya dengan lebih mudah. Kaedah penyimpanan yang berbeza ini dikenali sebagai struktur data. Struktur data yang paling asas dikenali sebagai 'array' (tatasusunan) dalam Python, mereka dikenali sebagai list. List merupakan satu koleksi item dalam bentuk senarai. Daripada satu pembolehubah menyimpan satu nilai, kita boleh menggunakan satu pembolehbah untuk menyimpan satu koleksi nilai.
Anda mungkin tertanya-tanya, apakah kelebihan menggunakan list? Haa, bayangkan jika anda perlu mengingati skor untuk 5 perlawanan bola sepak. Dengan menggunakan cara pembolehubah, kita memerlukan 5 pembolehubah yang berbeza untuk menyimpan 5 skor yang berbeza. Tetapi, ini boleh dilakukan dengan satu pembolehubah list. Satu list yang mampu menyimpan 5 skor sekaligus. Kita boleh mengakses setiap item secara individu dengan merujuk kepada indeksnya. Ini mungkin kelihatan tidak penting, tetapi bayangkan penyimpanan 1000 skor atau 1 juta skor.
Seperti yang diberitahu dalam video lepas, komputer mula mengira dari nombor 0. Sama juga di sini, nombor indeks bermula dari 0. Jadi, item terakhir senarai 5 item akan berada di indeks 4. Dalam Python, kita juga boleh merujuk kepada item itu dengan indeks negatifnya. Item terakhir mempunyai indeks -1 dan nombor kedua terakhir mempunyai indeks -2 dan sebagainya.
Kita gunakan operator indeks, atau tanda kurung siku untuk mengakses item individu. Mari kita periksa kod ini. Baris 1 akan mengisytiharkan dan memberikan nilai untuk semua item dalam senarai. Baris 2 akan memaparkan item di indeks 2, iaitu nombor 3. Kita juga boleh menukar nilai item individu dengan aturcara pada baris 3. Perhatikan bagaimana apabila kita memaparkan seluruh senarai dalam baris 4, item nombor 2 telah diubah menjadi 10. Akhir sekali, menggunakan kata kunci 'del', kita boleh mengeluarkan item daripada senarai.
Apa yang biasanya kita lakukan dengan perkara dalam senarai? Kita boleh memproses dan melihat setiap item individu dalam satu senarai. Dalam Python, terdapat cara yang mudah untuk memeriksa senarai atau list dengan gelung for. Ingat lagi di video sebelum ini, saya tunjuk cara untuk menggunakan gelung for untuk menyemak aksara dalam satu rentetan? Cara yang sama juga boleh dilaksanakan untuk menyemak setiap item dalam satu list.
Kod ini bermaksud: Untuk setiap item dalam senarai, papar item tersebut. Ataupun dalam Bahasa inggeris (For each item in the list, print the item). Jom tambahkan beberapa fitur tambahan dalam permainan meneka nombor yang telah kita hasilkan sebelum ini. Aturcara baru ini akan menunjukkan kepada pengguna semua tekaan sebelumnya.
Baris 3 mengisytiharkan satu senarai kosong yang baru. Baris 12 menambah atau dalam Bahasa Inggeris 'append' tekaan pengguna kepada senarai kosong. Baris 17 dan baris 18 akan mencetak semua tekaan sebelumnya. Berikut adalah satu lagi ciri yang boleh kita tambahkan dalam permainan meneka nombor iaitu menyemak sama ada sesuatu nombor telah digunakan atau tidak. Kita boleh memeriksa sama ada barang tersebut ada dalam senarai atau tidak menggunakan “if” dalam penyataan.
Perhatikan baris 8 – 10. Baris 10 adalah penyataan aturcara yang bermaksud "langkau seluruh kod dan bergerak ke ulangan gelung yang seterusnya". Terdapat banyak perkara yang lebih menarik yang boleh kita lakukan dengan senarai! Taipkan “Python list operation” dalam Google untuk mengetahui perkara-perkara lain yang menarik yang boleh anda buat.
Mari imbas kembali apa yang telah kita pelajari hari ini:
1. Kita belajar tentang membuat list penuh atau kosong,
2. Menambah nilai ke list.
3. merujuk kepada item dalam list
Untuk cabaran anda kali ini, bolehkah anda membuat program yang akan membantu mencari nombor terbesar dan nombor kedua terbesar dalam suatu senarai. Kod untuk menghasilkan senarai yang di isi dengan nombor rawak telah diberikan di sini. Salin kod ini dan letakkan di bahagian atas projek anda. Mulakan projek anda dari baris 6!
Selamat mencuba!
Maklumat yang terperinci tentang struktur data boleh didapati di SINI.
Terdapat 4 jenis struktur data dalam pengaturcaraan Python, iaitu list, tuple, set dan dictionary.
List adalah koleksi data yang tersusun dan boleh diubah. List membenarkan ulangan data yang sama.
Tuple adalah koleksi data yang tersusun dan tidak boleh diubah. Tuple membenarkan ulangan data yang sama.
Set adalah koleksi data yang tidak tersusun dan tidak berdasarkan indeks. Ulangan data yang sama tidak dibenarkan.
Dictionary adalah koleksi data yang tidak tersusun tetapi berdasarkan indeks dan boleh diubah. Ulangan data yang sama tidak dibernarkan.