Ringkasan Pengajaran
Pelajar akan mempelajari asal usul dan aplikasi pengaturcaraan Python dalam kehidupan. Pelajar akan menguasai kemahiran asas bahasa Python melalui konsep input dan output serta penggunaan pemboleh ubah dan operator Matematik.
ASK Tingkatan 1
4.1.1 Menggunakan pemboleh ubah dan operator Matematik dalam aturcara yang dibangunkan.
ASK Tingkatan 2
3.1.1 Menggunakan jenis data (integer, boolean, double, char dan string) dalam kod segmen.
3.1.2 Membezakan antara pemboleh ubah dan pemalar dalam kod segmen.
3.1.3 Menghasilkan kod segmen menggunakan:
(i) Fungsi input dan output.
(ii) Operator perbandingan.
(iii) Operator logik.
3.1.5 Menyelesaikan masalah yang melibatkan gabungan jenis data, pemboleh ubah, pemalar dan operator dalam kod segmen.
3.2.1 Menghasilkan aturcara yang melibatkan:
(i) Struktur kawalan jujukan dalam penyelesaian masalah.
(ii) Struktur kawalan pilihan dalam penyelesaian masalah.
(iii) Struktur kawalan pilihan bersarang dalam penyelesaian masalah.
(iv) Struktur kawalan ulangan dalam penyelesaian masalah.
ASK Tingakatan 4
1.3.1 Menjelaskan hubungan antara jenis data, saiz data dan kapasiti ingatan komputer.
1.3.2 Memilih dan menggunakan jenis data yang bersesuaian:
(i) Integer (int).
(ii) Nombor nyata (float, double).
(iii) Aksara (char)/ rentetan (string).
(iv) Boolean.
1.3.4 Mengisytiharkan, memulakan dan menetapkan nilai pada pemboleh ubah dan pemalar.
1.3.5 Menggunakan penyataan umpukan dan penyataan aritmetik.
1.3.6 Menulis aturcara untuk memasukkan input dari papan kekunci dan memaparkan output.
Peringatan cara untuk mengikut video:
Tonton video
Pause apabila terdapat praktis dalam video
Cuba bina dan uji aturcara Python sendiri
Ulang langkah 1 - 3 sehingga akhir video
Transkrip
Hello World! Selamat datang ke video siri pengaturcaraan Python!
Saya sekarang sedang berdiri di hadapan salah satu imej yang paling hebat dalam sejarah astrofizik. Ini adalah satu-satunya rakaman imej lohong hitam! Imej lohong hitam ini sebenarnya bukanlah foto sebenar yang menggunakan kamera. Imej ini adalah hasil daripada pemprosesan data yang diterima dari satelit dan teleskop gergasi dengan menggunakan pengaturcaraan kod Python. Tanpa kemahiran pengaturcaraan, kita mungkin tidak akan dapat membentuk bayangan ini!
Python adalah salah satu bahasa pengaturcaraan yang paling kerap digunakan di dunia. Python adalah Bahasa pengaturcaraan yang sangat berkuasa dan serba boleh. Ia digunakan oleh banyak syarikat dan organisasi global seperti Instagram, Google, Spotify dan Nasa.
Tahukah anda Youtube dibangunkan sepenuhnya menggunakan Python? Dalam siri ini, kita akan belajar kemahiran asas Bahasa Python. Kita akan cuba membina projek ringkas bagi setiap episod dalam siri ini menggunakan konsep utama yang dipelajari. Untuk tujuan video tutorial siri ini, kita akan menggunakan repl.it sebagai perisian pengaturcaraan. Tetapi anda bebas menggunakan sebarang perisian lain untuk menghasilkan kod Python anda.
Python adalah bahasa pengaturcaraan yang mudah kerana kodnya seakan-akan membaca ayat dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, jika kita mahu memaparkan "Hello", kita hanya perlu menaip print("Hello").
Haa. Mudah kan? Anda dah berjaya menulis kod Python pertama anda!
Dalam pengaturcaraan, suatu yang dipaparkan pada skrin komputer disebut sebagai output. Sebaliknya dipanggil Input. Input adalah maklumat yang perlu kita berikan kepada komputer. Ini adalah cara kita meminta maklumat daripada pengguna.
Kita taipkan Input (“Apakah nama anda?”). Tekan run untuk melihat apa yang terjadi. Hmm, tak ada apa-apa yang berlaku kan? Sebenarnya, sesuatu telah pun berlaku. Jika kita taipkan sesuatu pada skrin selepas menekan run, apa yang telah ditaip menjadi maklumat yang diterima oleh komputer. "Alina” adalah input yang saya berikan kepada komputer. Tetapi maklumat input tadi hilang sebab kita tidak menyuruh Python untuk menyimpan maklumat tersebut dimana-mana.
Komputer adalah sebuah mesin yang hebat dalam mengingati sesuatu perkara. Dalam kes ini, kita mahu komputer mengingati input yang ditaip tadi - “Alina”. Kita boleh menyimpan maklumat ini didalam suatu pembolehubah atau dalam bahasa Inggeris, “variable”. Pembolehubah bertindak seperti sebuah kotak yang menyimpan maklumat yang diberikan kepada komputer.
Sekarang, cuba kita baiki kod tadi. Dalam contoh ini, saya akan simpankan maklumat input kepada sebuah pembolehubah yang saya namakan, murid. Kita boleh gunakan pemboleh ubah ini pada baris ke-2 kod untuk memaparkan maklumat tersebut. Sama seperti kotak sebenar yang mempunyai pelbagai jenis untuk menyimpan barang-barang yang berlainan saiz, pembolehubah juga ada beberapa jenis untuk menyimpan maklumat yang berbeza. Sebagai contoh, integer boleh disimpan dalam pemboleh ubah jenis integer sahaja, tetapi hanya pemboleh ubah jenis float boleh memegang nombor perpuluhan sahaja
Terdapat juga jenis pembolehubah yang menyimpan aksara dan rentetan. Dalam bahasa pengaturcaraan, rentetan dipanggil, “strings”. Bayangkan kita ada kotak yang boleh menyimpan banyak jenis nama di dalamnya seperti Felicia, David, Daniel, Alina. Daripada cuba mengingati nama-nama yang terdapat dalam kotak tersebut, saya hanya perlu berikan nama pada kotak. Saya akan namakan kotak ini...”murid”.
Di sini kita boleh melihat simbol +. Kita juga boleh melakukan operasi Matematik dengan menggunakan Python. Dalam contoh ini, kita telah menambah 2 string bersama dengan menggunakan simbol +. Python juga boleh membantu kita melaksanakan pelbagai jenis operasi asas Matematik seperti tambah, +, tolak, -, darab, * dan bahagi, /. Operasi ini boleh dilakukan jika kita menggunakan simbol yang betul. Sebagai contoh, ini adalah kod untuk mengira luas segi tiga. Formulanya adalah 1/2 darab tapak darab tinggi.
Cuba kita uji kod tadi dengan menekan run. Alamak! Error! Okay, ingat tak masa penjelasan pembolehubah tadi? Pembolehubah ada pelbagai jenis untuk menyimpan maklumat tertentu kan? Ok, bila kita memberikan input kepada Python, Python tak tahu yang kita telah memberikan nilai nombor. Python membuat andaian yang semua input yang akan diberikan adalah dalam bentuk teks.
Jadi, bila nombor telah dimasukkan, pembolehubah dalam Python tadi tak dapat nak mengesan input tersebut dan memberikan kita ralat atau error kerana pembolehubah yang berlainan jenis digunakan dalam operasi yang sama. Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu seragamkan jenis pembolehubah yang digunakan. Kita boleh seragamkan dengan menyatakan jenis yang ingin digunakan sebelum nama pembolehubah tersebut.
Kita boleh bayangkan penukaran ini seperti menukar baju pembolehubah kita.
Dalam kod baru ini, kita telah mengubah tapak dan tinggi kepada integer dengan menyatakan int. Jawapan yang dipaparkan sebagai output pula diubah kepada str atau string kerana perlu digabungkan dengan ayat “Luas segi tiga adalah”.
Jom kita mengimbas kembali apa yang kita belajar tadi:
1. Input dan output.
2. Pembolehubah.
3. Operasi Matematik.
Cabaran untuk anda sebelum kita ke video seterusnya adalah untuk membina kalkulator BMI atau Body Mass Index. BMI adalah ukuran berat badan anda berbanding ketinggian. Untuk mengira BMI, berat perlu dibahagikan kepada kuasa dua tinggi. Cuba bina kalkulator yang meminta berat dan tinggi seseorang dan paparkan jumlah BMI mereka.
Jangan lupa untuk seragamkan jenis pembolehubah yang digunakan!
Selamat mencuba!