Ringkasan Pengajaran
Pengajaran ini akan memperkenalkan struktur kawalan ulangan For.
ASK Tingkatan 2
3.2.1 Menghasilkan aturcara yang melibatkan:
(i) struktur kawalan jujukan dalam penyelesaian masalah.
(ii) struktur kawalan pilihan dalam penyelesaian masalah.
(iii) struktur kawalan pilihan bersarang dalam penyelesaian masalah.
(iv) struktur kawalan ulangan dalam penyelesaian masalah.
ASK Tingkatan 4
1.4.3 Menerangkan aliran struktur kawalan ulangan:
(i) for.
(ii) while.
(iii) do-while.
1.4.4 Menulis aturcara menggunakan struktur kawalan ulangan yang melibatkan
(i) operator increment (++) dan decrement (--).
(ii) class Math (method random).
(iii) Boolean.
1.5.3 Mengenalpasti nilai bagi pemboleh ubah pada bahagian tertentu aturcara.
Peringatan cara untuk mengikut video:
Tonton video
Pause apabila terdapat praktis dalam video
Cuba bina dan uji aturcara Python sendiri
Ulang langkah 1 - 3 sehingga akhir video
Transkrip
Hello World! Bayangkan saya ada 3 kad di hadapan saya. Salah satu kad ini mempunyai tanda X di belakang. Bagaimanakah saya boleh mengetahui kad yang mana satu mempunyai tanda X? Jawapan anda pastinya untuk “buka kad satu demi satu dan lihat jika terdapat tanda X di belakang kad tersebut”. Ya. Jawapan itu betul. Dan ini sebenarnya adalah pernyataan yang serupa dengan pernyataan aturcara.
Kita boleh tukarkan pernyataan kita kepada bentuk yang lebih serupa dengan pernyataan aturcara seperti berikut: “Sekiranya kad yang disemak tiada tanda X, semak kad seterusnya” ataupun dalam Bahasa Inggeris: “While the card I am looking at does not have X, check the next card”.
Sekarang penyataan kita kelihatan seperti kod pengaturcaraan. Pengaturcaraan banyak menggunakan kosa kata yang biasa kita gunakan setiap hari. Daripada contoh kad tadi, kita boleh melihat bentuk gelung while dengan penyataan Bahasa Inggeris kita. Pengulangan sesuatu tindakan sebanyak X kali adalah perkara yang biasa dilakukan dalam pengaturcaraan sehingga saintis computer mencipta struktur kawalan ulangan untuk memudahkan aturcara ulangan ini.
Cuba kita lihat balik contoh kita tadi. Kita boleh menjelaskan tindakan ulangan tadi seperti berikut “Bagi setiap kad, buka dan lihat jika ianya mempunyai tanda X” ataupun dalam Bahasa Inggeris, for each card, open and see if the card has X on it.
Terdapat 3 cara untuk mengaplikasikan struktur kawalan ulangan. Kita telah mempelajari dua cara iaitu dengan gelung while dan gelung do-while. Hari ini kita akan pelajari variasi ketiga iaitu gelung “for”. Sekarang kita akan cuba untuk memaparkan “hello” sebanyak 3 kali. Dalam gelung while, ini adalah rupa aturcaranya. Nampak mudah kan Kita juga boleh melaksanakan tugas yang sama dengan gelung do-while seperti yang ditunjukkan di sini. Tetapi dalam kes ini, penggunaan gelung do-while adalah kurang sesuai kerana ia membuatkan aturcara kita lebih panjang. Daripada 5 baris dengan gelung while ke 7 baris dengan gelung do-while.
Cara terbaik untuk melaksanakan pengulangan sebanyak X kali, adalah dengan menggunakan gelung for. Carta alir untuk gelung for kelihatan serupa dengan gelung while. Tetapi, jika kita melihat kodnya, gelung for adalah jauh lebih efisyen. Jika gelung while memerlukan 5 baris dan gelung do-while memerlukan 7 baris, gelung for hanya menggunakan 3 baris untuk melaksanakan tindakan yang sama.
Dalam gelung while dan do-while, pembilang digunakan untuk mengira bilangan kali ulangan. Dalam gelung for pembilang dibina (built-in) di dalam gelung itu. Baris 1 menetapkan bilangan ulangan yang dikehendaki Di sini, kita tetapkan bilangan ulangan yang dikehendaki sebagai 3. Baris 2 menghasilkan satu julat nombor yang mempunyai 3 nombor.
Kita gunakan 'i' sebagai pembilang dalam julat tersebut. Setiap kali tindakan berulang, pembilang i akan bertambah dengan satu. Tindakan akan berulang sehingga bilangan ulangan yang dinyatakan, iaitu nombor yang telah ditetapkan dalam pembolehubah ulangan tadi. Baris 3 adalah tindakan yang akan berulang. Tindakan ini akan berulang sebanyak X kali berdasarkan bilangan ulangan yang ditetapkan di baris 2. Perhatikan bahawa dalam gelung for, langkah kemaskini adalah terbina dalam struktur gelung. Inilah yang menjadikan gelung for pilihan terbaik untuk struktur kawalan yang memerlukan ulangan tindakan sebanyak X kali.
Apa akan terjadi jika kita tukarkan tindakan dari print”hello” ke print 'i' ? Anda mungkin akan fikir komputer akan paparkan 1,2,3. Tapi ini tidak akan berlaku. Komputer akan paparkan 0,1,2 kerana pengiraan komputer bermula dari 0. Walaupun ia tidak kira sehingga 3, tapi ia masih lagi paparkan 3 nombor, iaitu ulangan sebanyak 3 kali. For merupakan struktur kawalan ulangan yang amat berkuasa dalam Python.
Ianya bukan sahaja membenarkan kita untuk mengulangi sesuatu tindakan buat X kali, tetapi juga membenarkan kita memproses sesuatu senarai. Lihat contoh ini: Program ini akan mencetak setiap aksara dalam 'perkataan'. Dalam erti kata lain, untuk setiap aksara dalam 'perkataan', kita menyuruh program untuk mencetak aksaranya. P-E-R-K-A-T-A-A-N. Hebat bukan? Ini juga bermakna kita boleh membuat beberapa perkara yang sangat hebat dengan gelung dan huruf seperti menyongsangkan perkataan, menggantikan aksara dalam perkataan dan sebagainya!
Mari kita imbas kembali apa yang telah kita pelajari hari ini. Kita telah belajar tentang gelung for dan bagaimana ia adalah gelung yang amat efisyen. Untuk cabaran kali ini, cuba lihat segmen aturcara ini dan kesan perubahan pembolehubah dalam aturcara. Apakah output untuk perkataan “Python”, bagaimana pula dengan perkataan “Saya suka pengaturcaraan”.
Lihat bagaimana anda boleh mengubahnya untuk membuat “vowel stripper". Anda perlu membina program yang boleh memenuhi kedua-dua perkara berikut:
1. Tanya pengguna untuk masukkan satu rentetan.
2. Keluarkan semua huruf vowel dari rentetan itu (a, e, i, o, u).
Selamat mencuba!