Ringkasan Pengajaran
Pengajaran ini akan memperkenalkan struktur kawalan ulangan do-while.
ASK Tingkatan 2
3.2.1 Menghasilkan aturcara yang melibatkan:
(i) struktur kawalan jujukan dalam penyelesaian masalah.
(ii) struktur kawalan pilihan dalam penyelesaian masalah.
(iii) struktur kawalan pilihan bersarang dalam penyelesaian masalah.
(iv) struktur kawalan ulangan dalam penyelesaian masalah.
ASK Tingkatan 4
1.4.3 Menerangkan aliran struktur kawalan ulangan:
(i) for.
(ii) while.
(iii) do-while.
1.4.4 Menulis aturcara menggunakan struktur kawalan ulangan yang melibatkan:
(i) operator increment (++) dan decrement (--).
(ii) class Math (method random).
(iii) Boolean.
Sistem ini berfungsi apabila semua semut bergerak dalam satu baris lurus. Malah, peristiwa malang berlaku apabila ketua semut terperangkap di dalam gelung.
Peringatan cara untuk mengikut video:
Tonton video
Pause apabila terdapat praktis dalam video
Cuba bina dan uji aturcara Python sendiri
Ulang langkah 1 - 3 sehingga akhir video
Transkrip
Hello world! Selamat kembali ke Siri Python Episode 6! Jom kita main satu permainan. Saya fikirkan satu nombor antara 1 dan 3 dan anda teka nombor yang saya pilih. Jika anda teka 1 atau 3, anda salah! Saya sedang fikirkan nombor 2! Hah! Hari ini, kita akan cipta sebuah permainan meneka nombor! Tetapi bukan teka nombor yang saya fikirkan, tetapi teka nombor apa yang komputer fikirkan.
Kalau kita tetapkan nilai nombor sendiri, permainan kita akan berakhir dengan cepat kerana kita sudah tahu jawapannya. Permainan kita pasti lebih seronok jika kita biarkan komputer tentukan nombor secara rawak. Untuk itu, kita akan menggunakan fungsi random dalam Python. Python boleh lakukan banyak perkara, dan apa yang menjadikannya sangat berkuasa adalah jika terdapat sesuatu perkara yang Python tak tahu atau tak pasti, anda boleh mengajarnya dengan “mengimport” pakej fungsi itu.
Di sini, kita akan import pakej “random” yang akan membenarkan Phyton menghasilkan nombor secara rawak. Kod untuk menghasilkan fungsi rawak adalah random.randint (1,10). Ini bermakna bahawa kita akan menggunakan fungsi randint iaitu random integer dari pakej random. Fungsi ini boleh menjana satu nombor rawak dari 1 hingga 10. Cuba laksanakan kod ini dan anda akan melihat bahawa setiap kali kod dilaksanakan, nombor yang berbeza akan dijana. Seterusnya kita akan membina kandungan permainan kita.
Oleh kerana kita inginkan pengguna untuk meneka nombor sehingga berjaya, untuk aksi berulang, kita akan menggunakan gelung ulangan. Dalam video yang lepas, kita telah pelajari struktur kawalan ulangan dengan menggunakan gelung while. Setiap struktur kawalan ulangan mempunyai 4 langkah iaitu pemulaan, penyemakan, tindakan dan kemas kini.
Untuk program ini, ini adalah carta alir kod kita. Perasan tak terdapat beberapa langkah yang sama? Dalam pengaturcaraan, ini dikenali sebagai kelewahan kerana terdapat dua segmen kod yang melakukan perkara yang sama. Kita boleh membetulkannya dengan satu lagi jenis struktur gelung yang dikenali sebagai gelung "Do While". Dalam gelung do-while, kita tiada pemulaan. Pelaksanaan tindakan buat kali pertama akan bertindak sebagai permulaan gelung. Cara paling mudah untuk menjelaskannya ialah apabila anda menyeberang jalan. Dalam gelung while, inilah yang akan anda lakukan: Tengok status lampu isyarat, jika lampu isyarat hijau, jalan, tengok status lampu isyarat lagi.
Walau bagaimanapun, semasa melakukan gelung do-while, inilah yang akan anda lakukan: Jalan, tengok status lampu isyarat, periksa jika lampu hijau atau bukan hijau, henti. Inilah carta alir untuk gelung do-while. Lihat bagaimana gelung do-while, segmen ulangan kod tidak berulang? Kita menggunakan gelung do-while jika kita ingin gelung dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali.
Gelung do-while memastikan bahawa kita akan sentiasa memasuki gelung terlebih dahulu dan kita akan keluar dari gelung apabila syarat keluar gelung dipenuhi. Inilah segmen aturcara untuk gelung do-while. Kita mula dengan gelung While True, iaitu gelung ini pasti akan dilaksanakan. Pada penghujung gelung kita, kita tentukan syarat keluar dari gelung. Kita akan keluar dari gelung jika syarat itu dipenuhi. Cuba kesan perubahan pembolehubah seperti yang anda pelajari dalam video sebelum ini dan anda akan melihat bahawa kita akan menjalankan gelungan sekurang-kurangnya satu kali meskipun cubaan anda berjaya pada kali pertama.
Mari kita imbas kembali apa yang telah kita pelajari hari ini:
1. Kita telah mempelajari tentang fungsi rawak, random.randint.
2. Kita juga telah belajar tentang struktur kawalan ulangan gelung do-while.
Lihat carta alir ini, aturcara ini akan paparkan hasil tambah semua nombor yang telah dimasukkan oleh pengguna. Tetapi, aturcara ini tidak pasti berapa bilangan nombor yang pengguna akan masukkan. Oleh itu, kita tetapkan kemasukkan nilai -1 sebagai syarat penamatan gelung.
Dalam dunia pengaturcaraan, gelung do-while sering digunakan untuk sesuatu yang dikenali sebagai gelung kawalan sentinel. Dalam Bahasa Inggeris, sentinel adalah askar atau pengawal yang tugasnya adalah berdiri dan mengawal situasi. Gelung ini juga akan melaksanakan segala tindakan sehinggalah aksara tertentu dimasukkan.
Tugas anda? Tukarkan carta alir ini kepada aturcara yang sebenar!
SELAMAT MENCUBA!