Ringkasan Pengajaran
Pengajaran ini akan memperkenalkan fungsi dan prosedur pengaturcaraan.
ASK Tingkatan 3
4.2.1 Menerangkan fungsi struktur berikut dalam aturcara:
(i) function.
(ii) procedure.
4.2.2 Memberi contoh penggunaan penyataan function:
(i) dalaman (built-in).
(ii) dihasilkan sendiri (user-defined).
4.2.3 Menulis penyataan function dan procedure.
4.2.4 Menghasilkan aturcara yang melibatkan:
(i) function.
(ii) procedure.
ASK Tingkatan 4
1.6.2 Menggunakan sub aturcara dan memahami konsep menghantar parameter ke sub aturcara dan mengembalikan data.
1.6.3 Membezakan antara function dan procedure pada sub aturcara.
1.6.4 Menulis aturcara bermodular yang mengandungi struktur tatasusunan.
Setiap organel melakukan sesuatu fungsi khusus. Mereka saling bergantung antara satu sama lain untuk memastikan sel berfungsi dalam keadaan optimum.
Peringatan cara untuk mengikut video:
Tonton video
Pause apabila terdapat praktis dalam video
Cuba bina dan uji aturcara Python sendiri
Ulang langkah 1 - 3 sehingga akhir video
Transkrip
Hello world! Selamat kembali ke Episod 9 Python! OK. Tubuh manusia adalah satu mesin yang sangat menakjubkan. Setiap bahagian tubuh kita mempunyai fungsinya yang tersendiri. Mata adalah untuk melihat dan telinga untuk mendengar. Inilah sebabnya mengapa organisma hidup adalah organisma yang sangat efisien. Kita mempunyai organ yang berbeza untuk fungsi yang berbeza dan bahagian tubuh badan yang berbeza untuk melaksanakan perkara yang berbeza.
Sekarang, cuba kita bandingkan badan kita dengan ameba, sejenis sel yang tidak mempunyai bahagian khusus, dan segala-galanya berada dalam satu sel tunggal. Tidak syak lagi bahawa organisma multisel seperti manusia dan tumbuhan adalah jauh lebih unggul daripada organisma yang bersel tunggal.
Sama juga seperti pengaturcaraan. Perisian dan laman web yang besar mempunyai seksyen kod yang berbeza. Ini membolehkannya melakukan fungsi yang berbeza dan melakukan fungsi-fungsi tersebut dengan baik. Ini dipanggil aturcara permodulan. Tanpa aturcara permodulan ini, proram komputer mungkin akan menjadi ribuan barisan kod.
Sebagai contoh, Google mempunyai dua bilion baris kod yang disimpan di dalam 9 juta fail komputer yang berbeza dan barisan kod ini dikerjakan oleh 25,000 pengaturcara dari seluruh dunia. Dengan aturcara permodulan, setiap pasukan pengaturcara boleh bekerja pada modul yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sahaja tanpa mengganggu perkhidmatan utama program tersebut.
Dalam analogi badan manusia, anda boleh memotong rambut tanpa menjejaskan cara anda berjalan atau bagaimana anda melihat sesuatu. Modul tangan atau rambut dipisahkan dari modul berjalan dan modul melihat badan anda. Aturcara permodulan juga menjadikan carta alir lebih mudah.
Pertimbangkan carta aliran kalkulator ini yang boleh mengira kawasan segitiga dan luas segi empat tepat. Lihat bagaimana langkah pengiraan luas hilang. Ok. Sebenarnya, langkah ini tidak hilang. Kita akan mewakili sub aturcara secara berasingan dalam kumpulan bentuk yang lain. Perhatikan bagaimana dalam sub aturcara, permulaan digantikan dengan nama sub aturcara dan langkah terakhir diganti dengan perkataan 'kembali'?
Jadi, apa yang sebenarnya berlaku ialah program yang “hilang” tadi telah ke langkah-langkah sub aturcara. Apabila program tersebut selesai dijalankan dalam sub aturcara, ia akan kembali ke program asal dan sambung diproses.
Semua sub aturcara perlu ditakrifkan sebelum program utama bermula. Kita menggunakan kata kunci 'def' untuk mentakrifkan sub aturcara. Lihat kod ini pula, pada baris 6, kita hantarkan nombor yang telah dimasukkan kepada fungsi kuasaDua. Fungsi kuasaDua akan menerima nombor ini dan namakannya X. Kita kemudian kembalikan jawapan daripada operasi Matematik x darab x kepada program utama. Program utama akan simpankan jawapan tersebut dalam pembolehubah 'jawapan'.
Maklumat yang dihantar sepanjang program dikenali sebagai 'parameter'. Satu lagi sebab mengapa kita menggunakan sub aturcara adalah kemampuannya untuk digunakan semula. Contohnya, jika kita mahu menjalankan operasi kuasa empat, kita hanya perlu memanggil sub aturcara kuasaDua sebanyak dua kali. Cuba lihat contoh yang ditunjukkan. Bukan itu sahaja, kita juga boleh memanggil sub aturcara di dalam sub aturcara yang lain.
OK. Mari kita imbas kembali apa yang telah kita pelajari dalam video ini:
1. Kita belajar tentang sub aturcara.
2. Kita belajar tentang bagaimana parameter dihantar ke sub aturcara dan kembali ke program utama.
Untuk cabaran video ini, cuba bina kalkulator kesihatan yang akan membolehkan pengguna mengira menggunakan BMI atau kadar denyutan jantung. Anda perlu membina program utama yang menggunakan sub aturcara untuk BMI dan kadar denyutan jantung.
Selamat mencuba!
Bina kalkulator BMI dan denyutan jantung menggunakan sub aturcara.