Syarikat Luar Negara

PENJELASAN STATUS HALAL PRODUK LADY'S CHOICE CHICKEN SPREAD DAN TUNA SPREAD

1️⃣ Keraguan status halal produk Lady's Choice Chicken Spread dan Tuna Spread keluaran syarikat Unilever Filipina mula tular apabila surat daripada pihak Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei bertarikh 23 Mei 2023 yang mendakwa produk berkenaan tidak halal mula menular di media sosial.


2️⃣ Hasil penjelasan daripada syarikat Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, kedua-dua produk tersebut tiada pengesahan halal dari mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM dan dikate-gorikan sebagai tidak halal sebagaimana yang dinyatakan dalam laman sesawang rasmi Lady's Choice Filipina.

3️⃣ Justeru itu, pengguna disarankan agar mengutamakan produk yang telah dipersijilkan halal oleh JAKIM dan MAIN/ JAIN atau badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

PENJELASAN ISU STATUS HALAL PRODUK JENAMA YEO'S

1️⃣ Tular di media sosial berkenaan status halal produk jenama Yeo's. Isu ini berpunca daripada sebuah video yang disalahtafsirkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mendakwa Syarikat Yeo's bakal mengeluarkan dan mengedarkan air minuman baharu yang disuling dari darah babi di negara ini.

2️⃣ Melalui semakan kami, isu ini pernah dijawab oleh JAKIM pada 26 Jun 2023 namun ditularkan kembali. Untuk makluman semua, syarikat yang dimaksudkan dalam video berkenaan ialah Syarikat Veos yang beroperasi di negara Belgium dan tiada sebarang kaitan dengan produk jenama Yeo's keluaran Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah.

3️⃣ Justeru itu, buat semua pengguna di luar sana, berhati-hatilah sebelum menyebarkan sesuatu berita atau mesej yang tidak diketahui status kesahihannya. Rujuklah pihak yang berautoriti terlebih dahulu untuk sebarang kepastian.