1️⃣ Tular di media sosial berkenaan isu larangan ucapan 'Merry Christmas' pada kek berikutan Memorandum dari Syarikat Berry's bertarikh 14 Disember 2023 bertajuk "Not Allowed To Write The Word of Merry Christmas or X'Mas On Cakes".
2️⃣ Untuk makluman semua, isu ini adalah isu yang berbangkit dan sebelum ini ianya pernah dijawab oleh pihak JAKIM pada 25 Disember 2020 dan 1 November 2023.
https://www.islam.gov.my/.../2387-kenyataan-media-jabatan...
3️⃣ Sekali lagi ingin dimaklumkan bahawa tiada halangan bagi premis pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menulis sebarang bentuk tulisan berkaitan ucapan perayaan pada kek atau seumpamanya.
4️⃣ Justeru itu, buat semua pemegang SPHM, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada JAKIM atau JAIN/MAIN terlebih dahulu jika terdapat sebarang kekeliruan berkaitan pensijilan halal Malaysia.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM menerima banyak pertanyaan berkaitan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi syarikat Alagappa Flour Mills Sdn. Bhd
2️⃣ Untuk makluman pengguna, penarikan balik SPHM syarikat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang adalah disebabkan oleh ketidakpatuhan pihak syarikat terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020. Walau bagaimanapun, status halal produk yang dikilangkan oleh syarikat sebelum 12 Mac 2024 adalah tidak terjejas. Penarikan SPHM tersebut juga telah dimaklumkan sendiri oleh pihak syarikat melalui kenyataan bertulis yang dikeluarkan dan pihak syarikat telah membuat tindakan pembetulan dan disusuli permohonan semula SPHM berdasarkan pautan berikut:
https://www.facebook.com/share/p/dSRncDYwjwsMuVMm/?mibextid=oFDknk
3️⃣ Bahagian ini juga turut meneliti di ruangan komen yang terus menjatuhkan hukum haram kepada produk-produk yang ditarik atau tidak dipersijilkan halal. Suka untuk diingatkan bahawa sesuatu produk yang tidak dipersijilkan halal atau tidak mempunyai SPHM bukan membawa maksud produk tersebut adalah haram. Namun, sekiranya satu-satu produk tersebut menerima SPHM maka, ia pastinya telah memenuhi keperluan yang digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan standard halal serta peraturan yang berkuat kuasa.
4️⃣ Justeru itu, teruskan amalan terbaik yang dipraktikkan dalam membuat pemilihan produk atau perkhidmatan yang dipersjilkan halal kerana produk dan perkhidmatan yang mempunyai SPHM pastinya halal, selamat lagi baik.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM ingin menjelaskan bahawa pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia berhak menetapkan tindakan ke atas pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang didapati gagal mematuhi prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
2️⃣ Antara tindakan yang boleh dikenakan adalah pengeluaran Notis Ketidakakuran Pensijilan Halal Malaysia; atau penggantungan SPHM; atau penarikan balik SPHM; atau pembekuan akaun permohonan SPHM; atau memaklumkan status syarikat kepada umum selari dengan klausa 33, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
3️⃣ Untuk makluman semua, mana-mana produk atau premis yang telah ditarik balik SPHM boleh mengemukakan semula permohonan SPHM sekiranya pihak syarikat telah benar-benar bersedia dan membuat penambahbaikan terhadap ketidakakuran yang menjadi faktor SPHM mereka ditarik. Permohonan SPHM yang dikemukakan tersebut akan menjalani semula prosedur permohonan SPHM yang telah ditetapkan.
4️⃣ JAKIM selaku badan pensijilan halal MAlaysia yang diiktiraf di bawah ISO/IEC 17065 menegaskan bahawa semua produk yang telah diberikan SPHM pastinya melalui proses semakan dan analisis sumber bahan atau ramuan dengan teliti juga telah diaudit secara lapangan untuk melihat keseluruhan sistem jaminan halal yang diimplementasi di premis. Ia juga termasuk permohonan bagi produk yang dimohon semula selepas ditarik balik. Prosedur ini penting untuk dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan syrak dan standard halal yang telah digariskan.
5️⃣ Sehubungan dengan itu, para pengguna dinasihatkan agar meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap semua produk, premis atau perkhidmatan yang telah dipersijilkan halal kerana ia telah melalui prosedur pensijilan halal yang terperinci malah telah dipastikan halal dan selamat untuk dimakan atau digunakan.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM telah meneliti kandungan berita yang ditulis melalui portal maklumat hibur Malaysia, "Oh My Media" berkaitan status pengurusan permohonan halal oleh premis "Uncle Roger".
2️⃣ Penulisan berita tersebut telah memetik kandungan video yang dimuat naik oleh salah seorang pempengaruh makanan, Foodie di aplikasi tiktkok yang telah hadir mempromosi premis tersebut semasa hari pembukaan premis di Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
3️⃣ Ungkapan "JAKIM cepat sikit, kenapa lama sangat?" melalui video yang dihasilkan ternyata bersifat provokatif yang boleh mengundang salah faham orang ramai berkenaan tempoh permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan memberi implikasi negatif terhadap imej Jabatan ini sebagai pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia.
4️⃣ Untuk makluman pengguna, antara syarat dan kriteria permohonan SPHM sebagaimana yang dinyatakan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM 2020) adalah syarikat hendaklah beroperasi sepenuhnya sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum membuat permohonan. Berdasarkan syarat dan kriteria tersebut, premis makanan jenama "Uncle Roger" yang baru beroperasi didapati belum layak memohon SPHM kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
5️⃣ Sehubungan dengan itu, JAKIM menggesa pihak yang bertanggungjawab menghasilkan kandungan video tersebut supaya membetulkan semula kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini. Jabatan ini sentiasa terbuka dan mengalu-alukan pihak syarikat untuk hadir ke Jabatan ini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan SPHM.