1️⃣ Tular di media sosial berkenaan status halal produk minyak masak jenama Asri yang telah dikeluarkan oleh syarikat Leong Hup yang telah didakwa sebagai penternak babi terbesar di Melaka.
2️⃣ Hasil daripada semakan kami, produk minyak masak jenama Asri bukan keluaran Syarikat Leong Hup sebagaimana yang ditularkan. Produk tersebut merupakan keluaran Syarikat Asri Vegetable Oil Products Sdn. Bhd. dan syarikat tersebut merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang mash sah. Untuk makluman juga, syarikat Leong Hup Agrobusiness Sdn. Bhd. bukan sebuah syarikat penternak babi sebagaimana yang ditularkan.
3️⃣ Sehubungan dengan itu, pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menularkan sebarang berita berkaitan dengan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti terlebih dahulu.
1️⃣ Tular di media sosial berkenaan status halal produk frankfurter ayam jenama Rahmat yang telah dikilangkan oleh syarikat Leong Hup Agrobusiness Sdn. Bhd. yang telah didakwa sebagai sebuah syarikat penternak babi yang terbesar di Melaka.
2️⃣Hasil daripada semakan kami, syarikat berkenaan bertindak selaku Original Equipment Manufacturer (OEM) kepada frankfurter ayam jenama Rahmat. Penggunaan nama jenama Rahmat adalah bersempena nama Encik Rahmat bin Ibrahim iaitu Pengarah Syarikat Mantap Ekskusif Sdn. Bhd. Syarikat Leong Hup (Malaysia) Sdn Bhd pula tiada kena-mengena dengan penternakan babi manakala produk frankfurter ayam jenama Rahmat merupakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang mash sah.
3️⃣ Oleh itu, para pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menularkan sebarang berita berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kesahihannya.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM telah menerima satu mesej yang telah dihantar secara berangkal dan dikongsikan oleh banyak pihak berkenaan status halal produk minuman Coca-cola dan Pepsi Cola yang dikatakan kononnya adalah arak.
2️⃣Hasil penelitian yang dibuat isu tersebut, telah disebarkan tanpa sebarang asas dan usul periksa. Produk Coca-cola adalah dikilangkan oleh syarikat Coca-cola Bottlers (Malaysia) Sdn.Bhd manakala produk Pepsi Cola adakah keluaran Syarikat Etika Sdn. Bhd. Kedua-duanya produk tersebut yang dihasilkan di Malaysia adalah merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
3️⃣ Suka diingatkan bahawa produk dan perkhidmatan yang dipersijilkan halal sama ada oleh JAKIM, MAIN dan JAIN telah melalui proses penilaian dan analisis ramuan secara menyeluruh dan keseluruhan rantaian penghasilan produk melalui proses penilaian yang lengkap dan teliti selari dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020, standard halal serta pekeliling yang berkuatkuasa.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima banyak pertanyaan melalui media sosial berkenaan isu penyerahan sijil Halal Champion negeri Pahang bersempena Program Halal On Track @ Pahang pada 19 Oktober 2024 yang lalu.
2️⃣Untuk makluman semua, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diberikan kepada syarikat Genting Malaysia Berhad adalah meliputi premis-premis makanan yang dikelolakan oleh syarikat berkenaan di Genting Highlands seperti Jom Makan Street Food Restaurant & Kitchen dan Jom Makan SkyAvenue Restaurant & Kitchen. Pensijilan halal ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan premis judi seperti isu yang tersebar.
3️⃣ Selain itu, syarikat berkenaan juga sangat komited dalam mematuhi keperluan dan piawaian pensijilan halal Malaysia yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa sehingga dinobatkan sebagai Halal Champion negeri Pahang.
4️⃣ Justeru itu, para pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita tanpa usul periksa. Elakkan daripada mengelirukan pengguna lain di luar sana.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima pertanyaan berkaitan sebuah video yang dimuat naik di media sosial berkenaan status halal produk ayam jenama Lotus's.
2️⃣ Setelah diteliti, video tersebut ternyata adalah hasil gabungan beberapa klip video, termasuk gambaran di satu lokasi ternakan ayam yang tidak diketahui. Klip video tersebut turut disunting bersama rakaman lain yang pernah tular sebelum ini, termasuk dakwaan bahawa produk ayam tersebut tidak halal kerana dikhuatiri tidak disembelih mengikut syarak.
3️⃣ Untuk makluman, isu berkaitan penggunaan mesin head puller yang dikatakan menyebabkan kulit leher ayam tertarik panjang sehingga menimbulkan keraguan telah dijelaskan oleh pihak JAKIM melalui maklum balas berikut:
https://www.facebook.com/share/p/VvnxVd3ddT2MykeE/?mibextid=WaXdOe
4️⃣ Tambahan lagi, produk ayam jenama Lotus's yang diperkatakan ini memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Pihak JAKIM bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah melakukan siasatan dan pemantauan di rumah sembelihan yang membekalkan produk ini. Hasil siasatan mendapati, syarikat tersebut mematuhi sepenuhnya keperluan dan piawaian pensijilan halal Malaysia.
5️⃣ Oleh itu, tindakan individu yang menyunting dan menularkan video tersebut adalah tidak bertanggungjawab serta telah mengelirukan masyarakat.
6️⃣ Para pengguna dinasihatkan agar tidak perlu bimbang dengan dakwaan yang tular. Sentiasalah berhati-hati ketika memilih produk di pasaran, dan pastikan produk yang dipilih memiliki SPHM yang sah. Produk yang dipersijilkan halal adalah dijamin halalan toyyiban.