Bahan Ramuan
Bahan Ramuan
1️⃣ Tular satu video di media sosial berkenaan dengan pengesanan DNA Porcine dalam dua sampel produk coklat Cadbury iaitu Coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Coklat Cadbury Dairy Milk Roast Almond.
2️⃣ Untuk makluman pengguna, ini adalah merupakan isu yang berulang dan kenyataan media berkaitan isu ini telah dibuat oleh JAKIM pada 24 Mei 2014:
3️⃣ Terkini, kedua-dua produk coklat Cadbury Dairy Milk ini adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah setelah memenuhi piawaian pensijilan halal Malaysia. Untuk rekod pada tahun 2023, JAKIM telah melaksanakan pemantauan bagi syarikat pengeluar produk ini.
4️⃣ Oleh itu, para pengguna tidak perlu bimbang kerana pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa berwibawa. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran atau ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat pensijilan halal, pihak JAKIM akan menggantung atau menarik balik sijil pengesahan halal dengan serta merta.
1️⃣ Tular di media sosial berkenaan isu penarikan balik sijil halal produk jenama McDonald's, Domino's, Starbucks, KFC, Pizza Hut oleh badan pensijilan halal di Amerika Syarikat. Isu ini mula tersebar dalam kalangan netizen kerana dikaitkan dengan penggunaan ramuan "LM10" dalam kandungan bahan mentahnya yang didakwa merupakan lemak babi.
2️⃣ Untuk makluman para pengguna sekalian, tular tersebut telah dijawab sejak 11 Februari 2017 oleh JAKIM. Perlu diambil maklum bahawa kesemua premis tersebut merupakan pemegang sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
3️⃣ Selain itu, perlu diketahui juga bahawa pengurusan dan kawalan bahan mentah bagi setiap premis yang telah dipersijilkan halal adalah berbeza mengikut negara. Bagi Malaysia, premis yang dipersijilkan halal oleh pihak berkuasa berwibawa iaitu JAKIM, MAIN/JAIN adalah memenuhi keperluan, standard dan pekeliling yang berkuatkuasa di mana segala analisis sumber ramuan, halal dan kebersihan telah dinilai dan melalui proses yang amat teliti.
1️⃣ Tular di media sosial berkenaan produk biskut Oreo yang didakwa diperbuat daripada lemak dan susu babi.
2️⃣ Melalui semakan kami, produk Oreo telah dihasilkan oleh Mondelez Indonesia Manufacturing. Produk tersebut telah dipersijilkan halal oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal, Kementerian Agama Republik Indonesia (BPJPH) dan BPJPH adalah merupakan salah satu badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.
3️⃣ Untuk makluman para pengguna, prosedur pensijilan halal telah mengambil kira aspek pemprosesan bahan mentah dalam penghasilan sesuatu produk bagi memastikan prinsip halalan toyyiban terjamin. Oleh itu, para pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu maklumat atau berit yang tiada kepastian.
1️⃣ Tular di media sosial berkenaan dengan serbuk kari jenama Baba's dan Alagappa's yang didakwa mengandungi ramuan yang tidak sewajarnya.
2️⃣ Untuk makluman pengguna, kedua-dua produk ini merupakan Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah sehingga kini. Proses pengeluaran SPHM telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi Makanan.
3️⃣ Disamping itu, syarikat pengeluar juga perlu mewujudkan Sistem Jaminan Halal serta menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang dianggotai oleh seorang Eksekutif Halal bagi memantau perolehan bahan mentah dan proses pengeluaran produk. Ini bagi memastikan produk tersebut terjamin dari segi aspek kehalalan dan juga jaminan kualiti serta kebersihan (Halalan thoyyiban).
1️⃣ Tular di media sosial berkenaan status halal produk jenama Ali Cafe. Isu ini berpunca daripada keratan akhbar yang memaparkan pengeluar Kluang Rail Coffee telah didakwa kerana menjual produk yang mengandungi gelatin babi tanpa melabelkan kandungannya pada label bungkusan produk berkenaan.
2️⃣ Melalui semakan kami, keratan akhbar tersebut telah dikeluarkan pada tahun 2011 dan isunya telah selesai namun kembali ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kini, Kluang Rail Coffee merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Produk Ali Cafe yang merupakan pemegang SPHM pula tiada kena mengena dengan produk Kluang Rail Coffee berkenaan.
3️⃣ Untuk makluman semua, pengauditan halal dilakukan dengan memeriksa seluruh rantaian pemprosesan produk di lapangan dengan teliti oleh pihak berautoriti. SPHM hanya akan diberikan setelah pihak syarikat atau pengeluar mematuhi seluruh prosedur dan keperluan berkaitan halal yang telah ditetapkan.
1️⃣ Tular di media sosial berkenaan status halal produk asid folik yang didakwa dihasilkan daripada hati khinzir. Isu ini timbul rentetan daripada sebuah video yang mengatakan ibu mengandung dan bayi telah memakan hati khinzir.
2️⃣ Untuk makluman semua, asid folik merupakan sejenis vitamin B9 yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan sel darah merah dan sel saraf serta membantu perkembangan janin. Asid folik boleh diperolehi secara terus melalui makanan, produk tenusu, sayuran hijau, buah-buahan serta produk daging seperti lembu dan khinzir. Bagi produk suplemen asid folik yang dijual di pasaran dalam bentuk tablet atau cecair pula, ianya dihasilkan menggunakan asid folik yang diperolehi melalui tindak balas kimia tanpa bahan mentah yang bersumberkan haiwan.
3️⃣ Justeru itu, bagi golongan seperti pesakit anemia, wanita mengandung dan wanita yang merancang untuk hamil yang memerlukan produk suplemen asid folik, pilihlah produk suplemen yang telah dipersijilkan halal oleh JAKIM. Hal ini kerana setiap sumber bahan mentah dan proses penghasilannya telah disemak dan diperiksa dengan teliti sebelum disahkan halal.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM mengambil perhatian terhadap video yang dimuat naik di Facebook dan kenyataan yang dikongsikan di whatsapp mengenai kewujudan produk-produk makanan dan kosmetik yang dihasilkan melalui najis dan air kencing lembu termasuklah rempah-rempah kari dan kurma yang dibeli dari negara India dan digunakan untuk dimasak di premis makanan di Malaysia.
2️⃣ Menerusi pemerhatian yang dijalankan, produk-produk tersebut tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mahu pun Sijil Pengesahan Halal daripada Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM.
3️⃣ Sehubungan dengan itu, para pengguna dinasihatkan agar memilih dan mengutamakan produk dan premis yang telah dipersijilkan halal kerana ia bukan sahaja dipastikan halal malah selamat untuk dimakan atau digunakan. Pastinya, setiap produk atau premis makanan yang dipersijilkan halal telah melalui proses penilaian dan analisis ramuan serta pemeriksaan yang sistematik dan menyeluruh terhadap operasi, proses dan penghasilan produk untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan syarak dan standard halal yang telah digariskan.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM menerima banyak pertanyaan melalui talian telefon, email dan media-media sosial termasuk whatsapp, Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM mengenai status halal jenama Tealive yang kononnya didakwa telah diharamkan oleh JAKIM kerana terkandung sumber bahan yang tidak halal.
2️⃣ Untuk makluman, tular tersebut adalah tular berulang sejak sekian lama dan disebarkan setiap tahun oleh pihak tidak bertanggungjawab. Pastinya isu yang ditularkan tersebut adalah TIDAK BENAR.
3️⃣ Justeru, kami menegaskan bahawa premis makanan/minuman jenama Tealive yang diusahakan oleh syarikat Loob Integrated Sdn. Bhd. merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah bagi premis-premis yang telah dipersijilkan halal.
4️⃣Mana-mana premis, perkhidmatan atau produk yang telah dipersijilkan halal maka, sumber bahan mentah yang digunakan, kawasan pemprosesan juga semua proses penghasilan telah melalui proses pemeriksaan menyeluruh oleh pihak Berkuasa Berwibawa pensijilan halal Malaysia. Ia bagi memastikan pematuhan pemohon terhadap piawaian dan keperluan syariah mahu pun perundangan dan peraturan yang berkuatkuasa sebelum diluluskan.
5️⃣ Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat yang menular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenaranyya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.
6️⃣ Kami juga ingin menasihatkan masyarakat agar menjadi pengguna yang bijak dan bermaklumat supaya tidak mudah dipengaruhi dengan sebaran palsu sebegini.
7️⃣ Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my/v4. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal atau Smart Halal.
1️⃣Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima banyak pertanyaan melalui talian telefon, e-mel, whatsapp dan media sosial berkenaan status halal produk gegelang sotong sejuk beku yang didakwa daripada sumber dubur babi.
2️⃣ Untuk makluman semua, siasatan terhadap isu ini telah pun selesai pada tahun 2022 namun ditularkan kembali oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pada tahun tersebut, JAKIM bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri telah melakukan siasatan terhadap isu ini selepas ia tular di media sosial.
3️⃣Hasil siasatan dan melalui analisis makmal yang dijalankan mendapati bahawa tiada DNA babi dikesan pada produk berkenaan. Malah produk berkenaan juga memperoleh sijil pengesahan halal daripada Shandong Halal Certification Services iaitu sebuah badan pensijilan halal di Negara China yang diiktiraf oleh JAKIM.
4️⃣ Oleh itu, para pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita yang tidak diketahui status kesahihannya. Sekiranya terdapat maklumat mengenai penggunaan representasi atau logo halal yang mengelirukan, pengguna boleh menyalurkan maklumat yang tepat dan jelas kepada JAKIM dan JAIN/MAIN.
1️⃣ Merujuk kepada Laporan Khas Buletin Utama TV3 bertarikh 23 Mac 2024 berkaitan penghasilan marshmallow yang dijual di pasaran adalah bersumberkan daripada gelatin haiwan. Maklumat yang dikongsikan tersebut juga merupakan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh YBhg. Prof. Dr. Sahilah Abdul Mutalib, Timbalan Pengerusi Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
2️⃣ Untuk makluman pengguna yang dikasihi, produk marshmallow antara produk yang mengandungi gelatin dan banyak dijual secara terbuka serta diimport tanpa diketahui status halalnya.
3️⃣ Oleh kerana gelatin adalah bahan ramuan kritikal yang boleh terhasil daripada sumber tidak halal seperti haiwan maka sebagai umat Islam kita mestilah berhati-hati sebelum membeli atau makan produk-produk yang tidak dapat dikenalpasti status halalnya.
4️⃣ Justeru itu, bagi penggemar marshmallow, pastikan produk yang ingin dibeli mempunyai logo halal Malaysia atau logo dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima pertanyaan di media sosial mengenai status halal produk manisan Soft Candy With Jam yang tidak dinyatakan alamat pengeluar sebenar rentetan terdapat maklumat kandungan bahan mentah produk tersebut yang mengandungi ramuan tidak halal iaitu pork gelatine (gelatin babi) pada label pembungkusan produk.
2️⃣ Pada produk tersebut juga tertera logo Halal Food Council International Malaysia & Asia Region dan ia telah mengundang keresahan dan salah faham masyarakat terhadap pensijilan halal Malaysia.
3️⃣ Untuk makluman semua, produk tersebut telah menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh JAKIM. Justeru, penggunaan logo halal tersebut adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini.
4️⃣ Justeru itu, para pengguna dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label pembungkusan produk sebelum melakukan sebarang pembelian. Pastikan produk tersebut mempunyai logo halal Malaysia atau logo halal badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.
5️⃣ Pengguna yang menjumpai produk tersebut di pasaran dinasihatkan mengemukakan aduan lengkap dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui e-mel: pr_halal@islam.gov.my atau kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui laman sesawang: https://eaduan.kpdn.gov.my/
6️⃣ Untuk mengetahui produk-produk yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan senarai badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima banyak pertanyaan melalui whatsapp dan media sosial berkenaan satu gambar yang memaparkan produk-produk yang mengandungi lemak babi serta mendakwa JAKIM telah mengesahkan produk berkenaan sebagai tidak halal.
2️⃣ Untuk makluman para pengguna, JAKIM tidak pernah mengeluarkan senarai produk yang tidak halal sepertimana yang didakwa dalam gambar berkenaan. JAKIM hanya memberi pengesahan halal kepada produk atau perkhidmatan yang telah memenuhi syarat dan keperluan yang telah ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
3️⃣ Oleh itu, buat pengguna di luar sana, adalah diharapkan bahawa sama-samalah kita berhati-hati sebelum memilih sesuatu produk. Semaklah logo halal pada label pembungkusan terlebih dahulu dan pastikan logo halal tersebut adalah logo halal Malaysia ataupun logo halal luar negara daripada badan pensijilan halal luar negara yang telah diiktiraf oleh JAKIM.
4️⃣ Justeru itu, semakan bagi produk-produk yang telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan logo-logo halal badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM boleh disemak melalui Portal Halal Malaysia atau www.halal.gov.my.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM telah menerima satu hantaran video berkaitan produk Nissin Cup Noodle pelbagai perisa yang mempunyai ramuan tidak halal iaitu babi pada label pembungkusan produk.
2️⃣ Penelitian telah dibuat menerusi paparan video dan jelas menunjukkan produk tersebut bukan dijual di pasaran Malaysia berdasarkan nilai tanda harga yang dipamerkan pada rak jualan.
3️⃣ Selain itu, tiada paparan logo halal dipamerkan pada label pembungkusan produk berkenaan.
4️⃣ Sehubungan dengan itu, pihak pengguna dinasihatkan untuk mengutamakan dan memilih produk yang telah dipersijilkan halal oleh JAKIM, MAIN/JAIN atau Badan Pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf oleh JAKIM kerana pastinya produk tersebut telah menenuhi keperluan syarak serta piawaian halal Malaysia.
1️⃣ Bahagian Pengurusan Halal JAKIM menerima banyak pertanyaan melalui whatsapp dan media sosial berkaitan satu hantaran yang memaparkan gambar minyak masak jenama "Nice Day" yang ditandakan dengan perkataan "Non Halal" pada pek pembungkusan.
2️⃣ Untuk makluman semua, pemeriksaan telah dijalankan oleh Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal JAIS sebelum ini di syarikat berkenaan yang terletak di Balakong, Selangor. Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati bahawa tiada tulisan 'Non Halal' ditemui pada pek pembungkusan minyak masak tersebut. Situasi tersebut berkemungkinan berlaku akibat salah faham di antara pihak pengeluar dengan premis yang menjual produk ketika produk tersebut tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
3️⃣ Walaubagaimanapun, produk minyak masak jenama 'Nice Day' keluaran syarikat Sin Hock Soon Edible Oil Sdn Bhd kini telah mempunyai SPHM yang sah berkuatkuasa 16 Mac 2024 selepas SPHM terdahulu tamat tempoh pada Disember 2022.