Durasi: 20 minit
Durasi: 20 minit
Pengenalan
Apa sahaja yang berlaku di dalam bilik darjah mempengaruhi reputasi sekolah secara keseluruhan. Contohnya, kelas di luar kawalan memberikan tanggapan yang seluruh sekolah tidak teratur. Namun, sering kali kemahiran menguruskan kelas dilihat sebagai suatu kemahiran guru secara individu tanpa memikirkan kesannya kepada seluruh sekolah.
Modul 3 akan melihat kepada cara anda boleh membina persekitaran pembelajaran yang kondusif melalui pengurusan kelas berlandaskan kemahiran sosial dan emosi.
Salam dan helo! Selamat datang ke Modul 3 daripada 5 modul dalam kursus ini.
Klik untuk imbas kembali apa yang anda pelajari dari 2 modul yang lepas.
Dalam modul 1, anda telah meneroka 5 kompetensi utama SEL; Kesedaran Kendiri, Pengurusan Kendiri, Kesedaran Sosial, Hubungan Interpersonal dan Membuat Keputusan dengan Bertanggungjawab. Dalam Modul 2, anda telah melihat bagaimana kemahiran dan kompetensi SEL boleh membantu anda mencapai kesejahteraan sebagai seorang guru.
Modul 3: SEL untuk pengurusan kelas
Di dalam modul ini, guru akan:
Memahami komponen pengurusan kelas
Meneroka teknik pengurusan kelas melalui pendekatan SEL
Bayangkan...
...tasik yang cantik dan airnya mengalir ke sungai yang deras yang kemudiannya mengalir ke air terjun. Tiba-tiba anda terlihat seorang anak kecil yang berada di dalam sungai yang deras dan menghampiri air terjun. Anda tiada masa untuk berfikir dan terus melompat ke dalam sungai untuk menyelamatkan anak tadi. Anda sempat selamatkan anak tadi tapi belum sempat untuk menarik nafas baru anda melihat seorang lagi anak kecil yang terhanyut. Anda melihat ke arah tasik tadi dan beratus ribu anak kecil yang sedang seronok berenang tetapi ramai yang semakin di hanyutkan ke arah sungai deras. Kenapa tidak ada sesiapa yang berada di tasik untuk mengajar anak-anak menjauhi sungai yang deras ni?!
Metafora ini ingin menunjukkan bagaimana kesihatan mental anak-anak kita sering menjadi suatu pendekatan reaktif. Pembelajaran sosial dan emosi adalah suatu pendekatan proaktif yang menyediakan anak-anak murid dengan kemahiran untuk menguruskan emosi, membina hubungan sihat, membuat pilihan bijak supaya mereka boleh menguruskan diri walaupun dalam situasi yang mencabar.
Pengurusan kelas adalah salah satu pendekatan proaktif untuk memastikan murid memahami dan berlatih menunjukkan tingkah laku yang diharapkan guru untuk suasana yang sesuai untuk proses pembelajaran berlaku.
Kelas yang tidak terurus akan kehilangan masa berharga dalam proses pembelajaran. Di dalam kelas sebegini, murid akan menguji kesabaran guru, melibatkan diri dalam pertengkaran dan situasi yang tidak membina, dan menunjukkan tingkah laku negatif seperti buli. Suasana ini menghalang pertumbuhan sosial dan emosi mereka. Suasana sebegini juga meningkatkan tekanan dan keresahan kita sebagai guru!
Dalam modul ini, kita akan melihat cabaran dalam pengurusan kelas dan strategi yang boleh anda gunakan.
Kelas yang TIDAK diuruskan dengan baik
Tonton video di bawah untuk melihat contoh kelas yang tidak terurus.
Fikirkan situasi serupa dari pengalaman bilik darjah anda. Situasi yang tidak terlalu serius. Apa yang berlaku?
Berikut adalah beberapa soalan tambahan untuk membantu anda imbas kembali kepada situasi tersebut:
Apa yang diucapkan atau dilakukan oleh murid?
Apakah respon anda dalam situasi ini?
Apakah yang berlaku selepas situasi ini?
Tiada guru yang sukakan situasi sebegini di dalam kelas. Namun, kami yakin hampir semua guru pasti pernah melaluinya. Mengakui dan menerima yang situasi sebegini pernah dan mungkin bakal berlaku di masa hadapan adalah langkah pertama untuk kita mula merancang dan megatasinya. Situasi sebegini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya, tetapi kita boleh kurangkan keberangkalian ia berlaku dengan mengamalkan Pembelajaran Sosial dan Emosi untuk membina ruang bilik darjah yang selamat dan bermotivasi tinggi.
Apa itu 'Pengurusan Kelas'?
Apakah beza antara kelas yang diruskan dengan baik dan kelas yang tidak terurus? Apa yang akan anda lihat, dengar, rasa?
Pengurusan kelas merujuk kepada pelbagai kemahiran dan teknik yang guru boleh gunakan untuk memastikan murid terurus, teratur, fokus dan produktif.
Lebih daripada itu, pengurusan kelas juga adalah untuk ketenangan ANDA! Persediaan guru (menguruskan emosi, bahan pengajaran) dan kesediaan guru (berdepan dengan cabaran) adalah perkara penting dalam pengurusan kelas.
Kepentingan peraturan dan tatacara
Peraturan dan tatacara yang jelas boleh membantu anda membina persekitaran pembelajaran untuk memudahcara tingkah laku murid di dalam kelas. Struktur yang jelas boleh memastikan keadilan berlaku dalam kelas dan membina iklim kelas yang selamat.
Guru yang proaktif dan sering berfikir tentang tingkah laku anak murid akan menetapkan tatacara yang jelas untuk memastikan murid tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi yang berbeza.
3 kategori peraturan yang biasa kita tetapkan untuk murid:
Cara berinteraksi (contohnya dengan guru dan sesama rakan)
Memastikan murid bersikap adil dan baik (contohnya menghormati orang lain, berkongsi barang)
Persekitaran yang selamat (contohnya mengemas bilik darjah, meminta pertolongan)
Contoh tatacara utama yang perlu ada untuk setiap kelas:
cara masuk dan meninggalkan kelas/ bilik khas
cara melibatkan diri di dalam perbincangan kelas
menghantar hasil kerja
menggunakan alatan sekolah
membersihkan kelas/ bilik khas
keluar kelas untuk ke tandas
Tatacara yang terbaik adalah tatacara yang membina pengurusan kendiri murid dan memperkukuh sifat berdikari mereka.
Peraturan dan tatacara yang ditetapkan perlulah bersusaian dengan tahap perkembangan murid. Murid yang lebih muda memerlukan bimbingan dan perhatian yang lebih.
Berikut adalah beberapa contoh tatacara yang boleh digunakan untuk memastikan perjalanan kelas teratur dan lancar:
Prasekolah: Mainkan lagu "Jom Kemas" atau "Cleanup" sambil murid menyanyi dan mengemas kelas sebelum lagu tamat.
Sekolah Rendah: Apabila murid menyiapkan tugasan dalam kelas lebih awal, murid diberikan beberapa pilihan untuk mengisi masa supaya tidak menggangu rakan-rakan lain.
Sekolah Rendah/ Menengah: Apabila murid memerlukan pertolongan untuk suatu tugasan, mereka boleh menggunakan strategi 3B (Brain, Buddy, Boss). Cuba dulu menggunakan otak (brain), jika tidak boleh, tanya rakan (buddy), dan jika rakan tidak dapat membantu, tanya cikgu (Boss). Dengan cara ini, murid akan berusaha dahulu dan guru boleh membantu murid yang betul-betul memerlukan bimbingan.
Tatacara boleh kelihatan berbeza dari satu kelas ke kelas yang berbeza. Namun, apabila tatacara diselaraskan menjadi amalan seluruh sekolah, murid mempunyai suatu bahasa umum yang sama dan tahu apa tingkah laku yang diharapkan oleh setiap guru yang masuk ke kelas.
Pembelajaran Sosial dan Emosi boleh dilakukan dengan semudah menggunakan signal 'Waterfall' untuk menarik perhatian
📣 Menarik perhatian: "Kelas/ Ya!"
Apabila memanggil "Class", murid mesti berhenti semua tugasan dan jawab "Ya!" sambil mata memandang guru.
🖐🏽 Masa untuk bersedia: "Give me 5!"
Apabila guru ingin murid bersedia, guru boleh memanggil "Give me 5!" dan murid akan mula mengira dari 5-4-3-2-1 dan dalam keadaan bersedia di akhir kiraan.
🙋🏽Menggunakan signal untuk menarik perhatian
Apabila guru mengangkat tangan, ini adalah signal untuk murid berikan perhatian, berhenti bercakap dan angkat tangan untuk tunjukkan mereka bersedia. Teknik ini berkesan kerana guru tidak perlu menggunakan suara yang kuat.
📝 Kontrak kelas
Kontrak kelas boleh dibuat antara guru dan murid. Di awal tahun atau semester, guru boleh meminta murid untuk senaraikan jenis guru yang mereka perlukan dan berbincang dengan anda bagaimana anda boleh memenuhi permintaan tersebut. Anda pula kongsikan kepada murid jenis murid yang anda inginkan dan jalankan perbincangan sama dengan anak murid anda. Bersama-sama, guru dan murid menandatangangani kontrak kelas ini sebagai tanda setuju untuk buat yang terbaik dan memenuhi apa yang telah dipersetujui.
Masa terbaik untuk menetapkan peraturan dan tatacara kelas adalah di awal tahun. Jika anda belum melakukannya, masa terbaik adalah sekarang! Lebih penting lagi, guru perlu senantiasa mengingatkan dan merujuk kepada peraturan dan tatacara yang ditetapkan supaya menjadi budaya kelas dan sekolah.
4 tip strategi pengurusan kelas proaktif yang boleh digunakan semasa awal sesi persekolah.
Intervensi: Berdepan dengan tingkah laku yang bermasalah
Kadang kala, walaupun kita sudah berusaha untuk menetapkan peraturan dan tatacara dengan jelas, masih ada tingkah laku yang bermasalah.
Namun, kita perlu ingat yang guru-guru sedang berdepan dengan manusia yang sedang membesar dan pelbagai faktor menyumbang kepada tingkah laku negatif. Bolehkah anda fikirkan faktor yang menyumbang kepada tingkah laku murid?
Klik tanda '+' dalam bulatan kuning di bawah untuk berkongsi pandangan anda.
Memahami tingkah laku dengan ABC
Sebagai seorang guru, kita perlu mengenali corak tingkah laku murid supaya kita dapat menjangka tindakan mereka seterusnya. Memahami apa yang berlaku SEBELUM dan SELEPAS suatu tingkah laku adalah sepenting tingkah laku itu sendiri.
Inilah yang dipanggil sebagai tingkah laku ABC (Antecedent iaitu perkara yang berlaku sebelum tingkah laku, Behavior iaitu tingkah laku itu sendiri dan Consequences iaitu kesan kepada tingkah laku tersebut)
Daripada contoh di atas, apakah keberangkalian Aisyah akan mengulangi tingkah lakunya apabila tugasan berkumpulan diberikan?
Apabila kita menghukum suatu tingkah laku tanpa mengendahkan sebab tingkah laku itu timbul, kita tidak menyelesaikan punca utama. Mencari punca tingkah laku bukanlah untuk mencari alasan atau untuk memaafkan tingkah laku tersebut, tetapi untuk memastikan kita tidak memilih hukuman yang memperkukuh lagi tingkah laku yang bermasalah tadi.
Berikut adalah panduan yang boleh guru-guru gunakan untuk mengenalpasti cara untuk menjalankan intervensi dengan lebih berkesan.
Jika boleh, pilih untuk meredakan keadaan.
Sebagai seorang dewasa, kita mungkin cenderung untuk berkonfrontasi dan menunjukkan kuasa dengan terlalu memaksa apabila berdepan dengan tingkah laku yang bermasalah daripda murid. Namun, penting untuk guru-guru berhenti sejenak dan pilih strategi yang boleh membantu meredakan keadaan. Seperti analogi percikan dan api. Di dalam hutan, percikan kecil yang tidak disedari pun boleh mengakibatkan kebakaran yang besar! Inilah sebabnya mengapa anda perlu memilih strategi terbaik untuk meredakan tingkah laku negatif.
Guru boleh meberikan respon kepada tingkah laku yang bermasalah mengikut tahap keseriusan isu yang timbul. Berikut adalah contoh tindakan yang boleh diambil:
Mata - Gunakan pandangan mata anda kepada murid yang sedang mula menunjukkan tingkah laku bermasalah.
Menyatakan - Secara perlahan, nyatakan tingkah laku bermasalah yang anda lihat kepada murid tersebut.
Bertanya - Tanya pada murid yang sedang menunjukkan tingkah laku bermasalah apa yang perlu dia lakukan pada waktu ini.
Arah - Arahkan murid yang sedang menunjukkan tingkah laku bermasalah apa tugasan yang perlu dibuat tanpa menyentuh tingkah laku tersebut. Ingatkan apa yang akan berlaku jika tugasan gagal disiapkan.
Ubah - Guru secara fizikal mengelakkan tingkah laku bermasalah daripada berlaku (memisahkan murid yang sedang bergaduh)
Ada situasi yang memerlukan guru untuk mengambil tindakan minimal, dan ada juga keadaan yang memerlukan guru untuk mengawal dan menggunakan kuasa seorang guru.
Refleksi
Pengurusan kelas bukanlah suatu topik baru untuk cikgu-cikgu tapi suatu topik yang perlu diterokai berterusan. Apakah perkara baru yang anda belajar atau peringatan tentang Pengurusan Kelas yang ada dapat dari Modul ini? Kongsikan pandangan dan pengalaman anda untuk kita belajar bersama.
Klik tanda '+' di bawah untuk menaip refleksi anda.
Strategi pengurusan kelas berbeza untuk kelas yang berbeza. Pengurusan kelas yang berkesan dan bermakna memerlukan guru-guru untuk sentiasa mencuba pelbagai pendekatan yang bukan sahaja membantu murid menguruskan tingkah laku mereka sendiri tetapi membantu anda untuk menjadi seorang guru yang lebih efektif.
Strategi 1 minit
Berikut adalah teknik yang boleh anda gunakan untuk meredakan keadaan yang beremosi tinggi:
Ambil nafas yang panjang dan dalam sebelum respon pada situasi
Gunakan suara perlahan dan tenang
Mengakui dan menamakan perasaan atau emosi yang sedang murid rasai ("Cikgu tahu kamu sedang rasa marah/ takut/ sedih..")
Elakkan pergerakan mengejut dan nyatakan pergerakkan anda untuk tidak mengejutkan murid atau membuatkan mereka rasa resah
Pastikan murid boleh melihat tangan anda (elakkan daripada menyentuh murid)
Tidak mengambil komen atau luahan murid secara peribadi