Durasi: 15 minit
Durasi: 15 minit
Salam dan helo! Selamat datang ke Modul 2 daripada 5 modul dalam kursus ini.
Klik untuk imbas kembali apa yang anda pelajari dari modul yang lepas.
Dalam modul 1, anda telah meneroka 5 kompetensi utama SEL; Kesedaran Kendiri, Pengurusan Kendiri, Kesedaran Sosial, Hubungan Interpersonal dan Membuat Keputusan dengan Bertanggungjawab.
Modul 2: Pembelajaran Sosial dan Emosi untuk Kesejahteraan Guru
Dalam Modul 2, anda akan melihat bagaimana kemahiran dan kompetensi SEL boleh membantu anda mencapai kesejahteraan sebagai seorang guru.
Di dalam modul ini, guru akan:
memahami bagaimana SEL menyumbang kepada kesejahteraan diri
memahami impak kemahiran SEL untuk diri sendiri dan kesannya kepada murid
menggunakan teknik SEL untuk kesejahteraan diri
😡 Pernahkah anda merasa sangat marah sehingga meninggikan suara di dalam kelas di depan murid?
😩 Pernahkah anda merasa sangat tertekan sehingga tidak bersemangat untuk mengajar di kelas?
🥺 Pernahkah anda merasa seperti anda sendiri dan tidak mempunyai sistem sokongan yang membina?
Cabaran guru
Sebagai seorang guru, anda sudah pasti pernah berdepan dengan cabaran dalam kelas. Bolehkah anda fikirkan tentang cabaran tersebut?
Sebagai contoh, mungkin cabaran anda adalah pengurusan kelas yang tidak efektif atau ketidakhadiran murid. Mungkin juga cabaran anda adalah murid yang tidak sopan dan tidak menghargai sekolah atau tugasan guru yang menyebabkan masa pengajaran dan pembelajaran terganggu.
Apakah 2 cabaran terbesar anda di dalam bilik darjah? Klik tanda '+' untuk kongsikan cabaran anda di bawah.
Dalam kehidupan, kita akan merasai emosi atau mempunyai fikiran yang menyebabkan rasa tidak selesa. Malah, mungkin perasaan ini timbul semasa anda sedang memikirkan tentang cabaran di sekolah tadi.
Perasaan dan emosi ini adalah NORMAL. Namun, dalam keadaan di mana emosi mencabar telah timbul, kita perlu mencari strategi pengurusan emosi yang berkesan untuk membantu kita kembali tenang. Satu amalan baik adalah untuk membayangkan metafora langit dan cuaca. Jom kita cuba fahami amalan ini. Tonton video di bawah.
Kemahiran SEL: Teknik ini dipanggil pembauran atau 'diffusion'.
Ambil 1 minit untuk kita cuba bersama teknik di bawah.
Bayangkan diri anda seperti langit biru yang cerah - tenang, tak berubah.
Bayangkan fikiran, emosi dan perasaan anda pula adalah seperti cuaca dan awan - sentiasa berubah, datang dan pergi.
Sekarang, fikirkan tentang cabaran anda sebagai seorang guru. Beri perhatian kepada apa-apa perubahan emosi yang berlaku tanpa meletakkan apa-apa makna kepada perubahan tersebut. Sebagai contoh, mungkin anda rasakan pengurusan kelas adalah sesuatu yang mencabar, mungkin anda terfikir tentang bagaimana ada anak murid yang tidak bermotivasi dalam kelas.
Perhatikan dan fikirkan apa yang menyebabkannya berlaku. Anda tidak perlu fikirkan tentang tindakan anda atau apa yang boleh anda lakukan untuk hentikannya ataupun melabel emosi anda sebagai emosi yang negatif dan buruk.
Perhatikan fikiran dan emosi yang timbul. Lepaskannya.
Apakah perasaan anda sekarang?
Tahukah anda? Guru adalah antara profesion yang paling memerlukan pembelajaran sosial dan emosi.
📋 Lihat soalan di bawah. Jawab ✅ atau ❌ untuk diri anda.
Adakah anda rasa penat di tempat kerja?
Adakah anda rasa terganggu atau cepat marah dengan kerja yang kelihatan seperti tak berkesudahan?
Adakah anda rasakan sekolah telah menggangu keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi?
Pernahkah anda rasa gelisah, keliru, marah, sedih di dalam kelas?
Pernahkah anda rasa seperti ingin meninggalkan profesion ini?
Pernahkah anda rasa hilang sabar apabila berinteraksi dengan murid atau penjaga murid?
Adakah anda rasa stres/tekanan dengan kerja anda?
Jika anda respon ✅ kepada mana-mana soalan di atas, kemahiran pembelajaran sosial dan emosi boleh membantu anda menguruskan emosi, fikiran dan tindakan anda!
Mengajar adalah suatu kerjaya yang mencabar dan memerlukan sokongan untuk mengurus aspek sosial dan emosi seorang guru. Guru perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran yang boleh membantu mereka menapis stres dan keresahan serta menenangkan mereka apabila diperlukan.
Dalam kata mudah, guru perlukan pembelajaran sosial dan emosi!
Video: Cara memperkenalkan konsep pengurusan emosi menggunakan Aisberg Emosi
SEL untuk kesejahteraan hidup
Bayangkan semua tugasan yang perlu diselesaikan minggu ini. Mungkin ini adalah minggu bertugas anda, penilaian dalam bilik darjah juga sedang berlaku, laporan lawatan kelab perlu dihantar dan kertas kerja aktiviti kokurikulum perlu disiapkan.
Apabila anda berdepan dengan tekanan di tempat kerja, kebimbangan, kesedihan dan kemurungan, rasa sendiri dan ingin berputus asa, adakah anda tahu teknik dan strategi sihat untuk menguruskan diri anda untuk memilih tindakan yang terbaik?
SEL adalah pendekatan yang membantu kita membina kemahiran dan daya tahan diri untuk berdepan dengan cabaran supaya kita boleh teruskan kehidupan dengan bermakna.
SEL adalah suatu proses pembelajaran sepanjang hayat yang membantu kita memahami kesan emosi dan fikiran kepada tindakan kita yang kemudiannya mempengaruhi hubungan dengan orang lain di persekitaran kita.
Lihat diagram gelung pemikiran yang ditunjukkan. Apabila kita ada kesedaran kendiri, kita tahu bagaimana fikiran yang negatif mempengaruhi emosi yang kita rasai dan ini akan mempengaruhi tindakan yang diambil. Tindakan yang salah atau memudaratkan akan memberi impak kepada orang di sekeliling dan ini akan menyumbang kepada cara pemikiran kita. Dengan adanya kesedaran ini, kita boleh melatih diri untuk menukar cara berfikir, melihat perspektif yang berbeza dan mengawal emosi.
SEL memberikan kita kemahiran untuk berdepan dan mengatasi situasi dan emosi yang mencabar.
Kemahiran SEL adalah suatu kemahiran yang BOLEH dan MESTI diajar kepada anak murid supaya mereka membesar dengan kemahiran pengurusan emosi yang sihat. Tujuan utama SEL adalah untuk membina kompetensi dalam diri, memupuk sifat baik hati, empati, kemahiran menyelesaikan masalah, mendengar dengan aktif sesama manusia. Kemahiran-kemahiran ini mampu untuk membina dunia yang lebih baik.
Contoh kemahiran penjagaan diri yang baik adalah dengan mengetahui strategi sihat untuk menguruskan stres. Ramai di antara kita yang berdepan dengan situasi stres yang berpanjangan yang boleh memudaratkan kesihatan. Stres yang berpanjangan boleh menyebabkan kenaikan berat badan, jerawat di muka, angin yang tidak baik (moody) dan memberi kesan kepada kesihatan jantung.
Berikut adalah 6 strategi yang boleh anda cuba untuk memastikan tahap stres anda terkawal.
Refleksi
Bolehkah anda fikirkan situasi di mana anak murid anda boleh memanfaatkan stretagi pengurusan stres di atas? Bagaimanakah anda boleh memperkenalkan strategi pengurusan stres yang sihat supaya mereka mengambil tindakan yang tidak memudaratkan diri?
Anak murid anda memerlukan anda untuk menjadi guru yang sihat, cergas, tenang dan mendapat rehat yang secukupnya. Ambil masa untuk mencari ketenangan diri supaya anda boleh menjadi versi terbaik seorang guru yang boleh anda banggakan.
Strategi 1 minit
Ambil 1 minit untuk kita cuba bersama teknik mencari ketenangan di bawah sebelum kita ke Modul seterusnya.
Tarik nafas yang dalam sekurang-kurangnya 5 kali. Bayangkan siapa atau apa yang membuatkan anda rasa bersyukur.
Bayangkan anda sedang mengucapkan terima kasih kepada orang tersebut kerana menjadi seseorang yang penting dalam hidup anda.
Bila anda sudah bersedia, buka mata. Jika boleh, tuliskan perkara yang membuatkan anda rasa berterima kasih dalam bentuk nota atau senarai.
Apabila anda berasa penat atau tidak bersemangat, berhenti sebentar dan tarik nafas yang panjang. Fokuskan fikiran anda kepada perkara yang menimbulkan rasa kesyukuran dan berterima kasih.