PENGHARGAAN
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah khususnya warga SMK Jitra kerana telah memberikan kerjasama serta sokongan sepanjang ROS dan latihan mengajar. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada guru-guru yang sentiasa memberikan tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan dalam memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan baik. Selain itu, penghargaan setulus hati ditujukan kepada pensyarah penyelia yang telah membimbing dengan penuh dedikasi, memberikan panduan, teguran serta dorongan berterusan dalam usaha saya menyiapkan tugasan ini dengan lebih sistematik dan teratur. Penghargaan juga ditujukan kepada rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa berkongsi pandangan, idea serta memberikan semangat untuk terus berusaha. Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada ahli keluarga yang tidak pernah putus memberikan doa, dorongan serta motivasi sehingga saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan penuh komitmen. Semoga segala usaha, sokongan dan bimbingan yang diberikan mendapat keberkatan serta memberi manfaat kepada semua pihak.
PENGENALAN
Sepanjang saya berada di sekolah, saya sedar bahawa pengajaran yang berkesan sangat penting untuk membantu murid faham apa yang dipelajari. Guru bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga perlu menarik minat murid dan memastikan mereka boleh menggunakannya dalam kehidupan seharian. Saya perasan bahawa keberkesanan pengajaran bergantung pada banyak faktor seperti cara guru mengajar, pengurusan kelas, bahan bantu belajar serta sokongan daripada pihak sekolah. Apabila semua faktor ini berjalan dengan baik, suasana belajar jadi lebih menyeronokkan dan murid pun lebih bersemangat. Dalam refleksi ini, saya berkongsi pengalaman dan pemerhatian saya di SMK Jitra, sebuah sekolah yang mempunyai organisasi yang teratur serta budaya yang menekankan kecemerlangan. Beberapa aspek penting akan saya bincangkan seperti penghargaan, maklumat sekolah, organisasi dan pengurusan, serta tugasan ROS.
Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra atau lebih dikenali sebagai SMK Jitra ialah sebuah sekolah menengah harian gred A yang terletak di Bandar Darulaman, 06000 Jitra, Kedah. Lokasi sekolah ini amat strategik kerana berhampiran dengan pusat bandar dan kawasan perumahan, sekali gus memudahkan ibu bapa serta masyarakat setempat untuk menghantar anak-anak bersekolah di sini.
Dari segi sejarah, SMK Jitra telah ditubuhkan sejak beberapa dekad lalu dan terus berkembang sebagai salah sebuah sekolah menengah harian yang dikenali ramai di daerah Jitra. Sepanjang penubuhannya, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang kokurikulum serta kepimpinan.
Selaras dengan perkembangan pendidikan negara, SMK Jitra berpegang kepada Visi: “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera” dan Misi: “Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara.” Kedua-dua visi dan misi ini sejajar dengan usaha sekolah untuk membentuk murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Selain itu, sekolah ini juga mendukung sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu usaha berterusan untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. SMK Jitra turut menekankan budaya sekolah yang positif, nilai murni serta disiplin yang tinggi bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
ORGANISASI DAN PENGURUSAN SEKOLAH
Sepanjang pemerhatian saya di SMK Jitra, saya mendapati organisasi sekolah tersusun dengan baik dan setiap bahagian mempunyai peranan yang jelas. Antara yang saya teliti ialah Panitia Pendidikan Islam. Panitia ini sangat penting kerana menjadi nadi utama dalam merancang dan memastikan proses pengajaran serta pembelajaran berjalan lancar. Setiap program dirancang dengan teliti, sama ada melalui mesyuarat, perkongsian idea atau bengkel, agar guru sentiasa bersedia memberi yang terbaik kepada murid. Bagi saya, kekuatan panitia ini ialah semangat kerjasama yang wujud antara guru dan pentadbir, selain peranan mereka sebagai penghubung dengan komuniti sekolah untuk menyemai nilai Islam.
Ketua Panitia Pendidikan Islam pula memainkan tanggungjawab besar dalam memastikan perjalanan panitia sentiasa teratur. Beliau bukan sahaja memimpin mesyuarat, malah menyelaras pembahagian tugas, mengurus fail serta memantau aktiviti yang dijalankan. Apa yang saya kagumi ialah cara ketua panitia membimbing guru baharu, agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Sementara itu, guru-guru panitia juga berperanan penting dalam menyediakan RPH, bahan bantu mengajar, soalan peperiksaan, malah turut terlibat dalam program kerohanian sekolah. Dari sini, jelas bahawa setiap guru tidak hanya berfungsi dalam kelas, tetapi juga menjadi penggerak kepada pembangunan sahsiah murid.
Selain panitia, budaya sekolah di SMK Jitra juga menyerlahkan nilai disiplin, ilmu dan perpaduan. Saya dapat melihat bahawa kecemerlangan sekolah ini lahir daripada budaya kerja berkualiti serta inovasi yang diamalkan dengan status sekolah sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, ia membuktikan komitmen warga sekolah terhadap misi untuk melahirkan murid yang seimbang. Di samping itu, hubungan rapat organisasi sekolah dengan PPD dan JPN turut memastikan segala dasar pendidikan dapat dilaksanakan dengan baik. Kesimpulannya, pengurusan yang teratur dan budaya sekolah yang positif memberi sumbangan besar kepada keberkesanan pengajaran serta pembentukan murid yang cemerlang.
TUGASAN ROS: BAHAGIAN PERTAMA
Sepanjang tugasan ROS, saya berpeluang mengumpul data tentang suasana pengajaran dan pembelajaran di SMK Jitra. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah kluster yang terletak di kawasan bandar dengan jumlah murid seramai 823 orang dan guru seramai 82 orang. Jumlah kelas pula ada 30 buah, dengan purata 25 hingga 35 murid bagi setiap kelas. Melalui pemerhatian ini, saya dapat melihat suasana pembelajaran yang tersusun dan pelbagai pendekatan digunakan oleh guru mengikut kesesuaian kelas. Saya meneliti dua buah kelas iaitu 2 Amethyst dan 2 Pearl. Di kelas 2 Amethyst, murid lebih banyak terlibat dengan aktiviti berkumpulan seperti pembentangan dan tugasan secara kolaboratif. Saya rasa pendekatan ini menarik kerana ia membuat murid lebih aktif, berkomunikasi dengan rakan dan berani berkongsi pendapat. Di kelas 2 Pearl pula, murid lebih terlibat dengan aktiviti soal jawab bersama guru. Kaedah ini memberi peluang kepada murid berfikir dengan lebih kritis dan menyelesaikan masalah, sesuai dengan teori pembelajaran kognitivisme.
Selain itu, saya juga mendapati pihak sekolah amat menekankan aspek disiplin. Murid diberi buku peraturan sekolah sebagai panduan, dan guru sentiasa memberi peringatan semasa perhimpunan atau dalam kelas. Saya perasan bahawa usaha untuk mengawal disiplin dibuat dengan sistematik, contohnya melalui rekod kesalahan, pemantauan guru disiplin, serta ganjaran seperti sijil sifar ponteng. Usaha sebegini bukan sahaja membentuk murid lebih berdisiplin, tetapi juga mendorong mereka hadir ke sekolah dengan konsisten. Secara keseluruhan, pengalaman mengumpul data ini membuka mata saya tentang bagaimana suasana pembelajaran yang baik dapat dibentuk melalui kerjasama guru, pengurusan sekolah dan sikap murid itu sendiri.
TUGASAN ROS: BAHAGIAN KEDUA
Saya berpeluang memerhati dua sesi pengajaran iaitu Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam. Dalam kelas Bahasa Melayu, murid memberi tumpuan ketika guru menerangkan dan mencatat isi penting. Namun apabila aktiviti berlangsung lama, ada murid mula hilang fokus dan hanya menjadi pemerhati. Walaupun begitu, guru berjaya menarik semula perhatian mereka dengan arahan yang jelas, menggunakan papan putih, memberi contoh tugasan dan menetapkan masa untuk siapkan kerja. Saya nampak murid lebih terlibat bila aktiviti kumpulan dijalankan walaupun tidak semua memberi idea.
Dalam kelas Pendidikan Islam pula, murid memberi tumpuan pada penerangan guru dan lebih banyak terlibat melalui soal jawab ringkas. Guru menekankan isi penting dengan mengulangi penerangan serta memberi contoh sesuai. Arahan yang diberi juga jelas, malah guru membimbing murid dalam kerja berkumpulan. Namun ada juga murid yang kurang berdisiplin dan tidak menyiapkan tugasan. Guru menasihati mereka dengan baik dan mengambil tindakan sewajarnya.
Secara keseluruhannya, saya belajar bahawa kedua-dua guru menggunakan strategi yang berkesan dalam menyampaikan isi pelajaran. Mereka jelas dalam memberi arahan, menggunakan intonasi suara yang menarik serta menutup pengajaran dengan rumusan. Cuma, kelemahannya ialah ada murid yang hilang tumpuan apabila aktiviti terlalu lama, dan ada juga masalah disiplin. Daripada pengalaman ini, saya sedar bahawa guru perlu menyesuaikan strategi PdP mengikut keadaan murid, mengawal masa aktiviti, dan seimbangkan antara penerangan, perbincangan serta tugasan supaya semua murid dapat terlibat dengan lebih aktif.
TUGASAN ROS: BAHAGIAN KETIGA
Sepanjang saya ROS di SMK Jitra, saya berpeluang melihat dengan lebih dekat bagaimana kurikulum dan kokurikulum berjalan di sekolah ini. Jadual PdP diatur dengan baik bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.30 tengah hari, dan setiap pagi dimulakan dengan bacaan surah pilihan serta perhimpunan ringkas. Jadual relief juga disediakan dengan teratur melalui Telegram rasmi sekolah supaya proses pembelajaran sentiasa berjalan lancar. Antara subjek yang ditawarkan termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Sains, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan dan beberapa lagi. Saya dapati pihak sekolah memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik melalui pelbagai program seperti Majlis Anugerah Gemilang serta Genius Akademik yang dilaksanakan sepanjang tahun. Program seperti bengkel, perkampungan ilmu dan aktiviti tambahan memberi peluang murid menambah pengetahuan serta bersedia menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.
Selain itu, saya juga sempat melihat pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum. SMK Jitra banyak menyertai pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Antaranya ialah pertandingan koir, tarian, STEM, sukan dan NILAM. Malah, sekolah ini pernah mendapat tempat pertama dalam Karnival STEM serta Johan Tokoh NILAM Kebangsaan. Saya rasa kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan bakat murid, tetapi juga usaha gigih guru pembimbing yang sentiasa memberi bimbingan dan sokongan. Saya dapat lihat murid di sini bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dan berani mencuba dalam pelbagai bidang. Hal ini membuatkan saya sedar bahawa keseimbangan antara akademik dan kokurikulum sangat penting untuk membentuk murid yang menyeluruh.
Secara keseluruhannya, pengalaman saya di SMK Jitra membuka mata tentang kepentingan peranan guru dan pihak sekolah dalam memastikan pengurusan kurikulum dan kokurikulum berjalan dengan baik. Saya dapat lihat bagaimana usaha berterusan yang dilakukan berjaya melahirkan murid yang lebih berdisiplin, berilmu dan berkeyakinan. Pengalaman ini memberi inspirasi kepada saya sebagai bakal guru untuk mencontohi cara pengurusan yang baik serta melibatkan murid dalam pelbagai aktiviti yang dapat membantu perkembangan diri mereka.
TUGASAN ROS: BAHAGIAN KEEMPAT
Semasa ROS di SMK Jitra, saya mendapati sekolah ini mempunyai kemudahan yang baik untuk menyokong PdP. Bilik darjah selesa, perpustakaan lengkap dengan bahan rujukan, serta makmal komputer dan makmal sains membantu murid belajar dengan lebih praktikal. Sekolah juga mempunyai dewan serbaguna, padang, serta peralatan seperti projektor dan papan putih interaktif yang menjadikan pengajaran lebih menarik. Namun begitu, ada beberapa kekurangan seperti komputer yang masih terhad dengan capaian internet yang kurang stabil. Jika perkara ini dapat ditambah baik, suasana pembelajaran akan menjadi lebih interaktif dan sesuai dengan keperluan abad ke-21. Secara keseluruhan, kemudahan yang ada sudah banyak membantu guru dan murid, sekali gus mewujudkan suasana belajar yang kondusif.