Sungai Buloh, 28 Februari 2026 -
Festival Sentuhan Kasih Ramadan (FESKARA) 3.0 anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dengan kerjasama Alliance of Insaniah (ALIS) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Perubatan, telah berjaya melabuhkan tirainya menerusi Majlis Perasmian Penutupan dan Iftar Perdana 2026 di Lobi Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sungai Buloh. Majlis yang disempurnakan oleh Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, ini merupakan kemuncak festival yang bermula sejak 11 Februari lalu bagi memupuk nilai kerohanian dan kepimpinan mahasiswa.
FESKARA 3.0 menjadi wadah mengasah bakat melalui Pertandingan Kesenian Islam dan Karya Kreatif. Festival ini turut dimeriahkan dengan program pengisian jiwa seperti Ceramah "Rahsia Kejayaan Menurut Al-Quran" sempena Simfoni Al-Quran serta program Ketuk-Ketuk Sahur dan Qiamullail bagi menyemarakkan suasana Ramadan di kediaman pelajar. Selain itu, aspek kebajikan ditekankan menerusi kolaborasi bersama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia bagi menyalurkan sumbangan kepada pelajar asnaf dan anak yatim. Semangat filantropi juga diterjemahkan melalui inisiatif Munchy Bites & Co. yang menyumbangkan keseluruhan keuntungan jualan kepada rumah kebajikan.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan keupayaan mahasiswa UiTM bertindak secara profesional dan berempati. Beliau berharap agar legasi FESKARA dikekalkan sebagai identiti positif kampus yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan transformasi sahsiah. Majlis berakhir dengan suasana harmoni melalui jamuan Iftar Perdana dan solat Maghrib berjemaah yang disertai oleh barisan pengurusan, staf, serta para pelajar
QUICK LINKS
E-Aduan Kecemasan