02 | siratan makanan

HASIL PEMBELAJARAN

DI AKHIR PEMBELAJARAN, PELAJAR DAPAT:

1. MENERANGKAN BAGAIMANA SIRATAN MAKANAN DAPAT MEMBANTU DALAM MENGEKALKAN KESEIMBANGAN ALAM

2. MENERANGKAN DENGAN CONTOH KESAN BENCANA ALAM TERHADAP KESEIMBANGAN ALAM

3. MENCADANGKAN CARA-CARA UNTUK MENGEKALKAN KESEIMBANGAN ALAM

SIRATAN MAKANAN

Rajah 1: Siratan Makanan

PERANAN SIRATAN MAKANAN DALAM MENGEKALKAN KESEIMBANGAN ALAM

Siratan makan terbentuk daripada beberapa rantai makanan yang saling berkait. Rajah 1 di sebelah menunjukkan satu siratan makanan dalam satu ekosistem. Cuba anda kenal pasti berapakah rantai makanan yang terdapat dalam siratan makanan tersebut?

Berdasarkan kefahaman anda tentang keseimbangan alam dan siratan makanan, dapatkah anda terang siratan makanan yang memainkan peranannya dalam mengekalkan keseimbangan alam?

Organisma memerlukan tenaga untuk melakukan pelbagai fungsi badan. Siratan makanan menunjukkan bagaimana tenaga matahari diserap oleh pengeluar iaitu tumbuhan dan ditukarkan kepada tenaga kimia yang tersimpan di dalam makanan dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna. Pemindahan tenaga ini membolehkan semua organisma dalam sesuatu ekosistem memperoleh tenaga yang diperlukan untuk pelbagai fungsi badan.

Siratan makanan dapat menunjukkan hubungan dan saling bergantungan antara organisma dan ekosistem. Sekiranya populasi sesuatu organisma terganggu disebabkan oleh bencanan atau penyakit dan faktor-faktor lain, pengaliran tenaga dalam siratan makanan turut terjejas mengakibatkan keseimbangan alam terganggu. Kita dapat mengetahui bagaimana keseimbangan alam dalam sesuatu ekosistem diganggu dengan mengkaji populasi organisma dalam sesuatu ekosistem.

KESAN BENCANA ALAM TERHADAP KESEIMBANGAN ALAM

Bumi sering dilanda bencana alam. Bagaimana bencana alam seperti rajah dibawah ini memberikan kesan terhadap keseimbangan alam?

Kemarau

Banjir

Letusan Gunung Berapi

Tsunami

Gempa Bumi

Kebakaran Hutan

Taufan

Ribut Salji

Bencana alam bukan sahaja meragut nyawa hidupan di bumi ini, tetapi juga memusnahkan habitat. Kemusnahan tumbuhan akibat bencana alam menyebabkan masalah kekurangan makanan dan menjejaskan bilangan populasi dalam sesuatu ekosistem.

Selain itu, kemusnahan tumbuhan akan mengganggu kitar semulajadi sumber. Sekiranya gas karbon dioksida di dalam atmosfera tidak diserap oleh tumbuhan untuk proses fotosintesis, gas karbon dioksida di udara akan semakin bertambah manakala kandungan karbon di dalam sebatian organik pula semakin berkurangan seterusnya hal ini akan menjejaskan kitar karbon.

Jika bumi kita kekurangan tumbuhan untuk menyerap nutrien nitrat di dalam tanah, bukan haiwan dan manusia sahaja akan mengalami masalah kekurangan makanan, bahkan kitar nitrogen akan turut terganggu.

Kemusnahan tumbuhan akibat bencana alam juga mengganggu kitar air. Hutan merupakan kawasan tadahan air. Tanpa tumbuhan, air hujan yang turun ke tanah akan terus mengalir ke kawasan perairan. Oleh sebab air hujan tidak diserap oleh tumbuhan dan ditranspirasikan, kandungan wap air di dalam atmosfera akan berkurangan. Hal ini seterusnya mengurangkan kejadian hujan menyebabkan masalah kekurangan air tawar.

Bencana alam membawa banyak kesan buruk terhadap keseimbangan alam. Bencana alam mengganggu keseimbangan alam dari segi perubahan populasi organisma, suhu global, kitar nitrogen, kitar karbon, kitar air dan kemusnahan habitat.


CARA MENGEKALKAN KESEIMBANGAN ALAM

Bencana alam tidak dapat dikawal oleh manusia. Namun, manusia masih dapat memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan keseimbangan alam. Aktiviti manusia seperti pembangunan dan perindustrian yang pesat banyak menggunakan bahan mentah yang mendatangkan kesan buruk terhadap kesimbangan alam. Keseimbangan alam tidak akan terganggu sekiranya kitar semulajadi sumber-sumber alam dan siratan makanan tidak diganggu.

Antara usaha yang boleh dilaksanakan oleh manusia untuk mengekalkan keseimbangan alam termasuklah:

  • mengawal masalah pencemaran
  • memelihara dan memulihara alam
  • menggunakan sumber alam secara aktif
  • mengurangkan pemusnahan hutan dan kerosakan habitat.