Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, analisis kesalahan bahasa bermaksud penghuraian atau pengupasan sesuatu perkara untuk mengetahui selok-beloknya, buruk dan baiknya atau mengkaji suatu perbuatan yang salah atau apa-apa yang salah dalam suatu  kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan. Corder (1990:62) menguatkan pernyataan tersebut dengan mengatakan bahawa semua orang yang belajar bahasa pasti tidak luput daripada berbuat kesalahan.

Dewasa ini, kesalahan ejaan dalam bahasa semakin berleluasa. Kita dapat melihat kesalahan ejaan dalam bahasa ini baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Namun, bagi tugasan ini kami hanya membincangkan kesalahan ejaan dalam e-novel bagi aspek tulisan. Antara kesalahan ejaan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Malaysia adalah penggunaan huruf kecil dan huruf besar untuk mengeja nama am dan nama khas, pengejaan kata nama majmuk, kata ganda, kata ambilan dan morfem prakata.

Di samping itu, penggunaan singkatan ialah sesuatu yang disingkatkan atau dipendekkan. Apabila dikaitkan dengan perkataan akan membawa maksud perkataan tertentu yang disingkatkan atau dipendekkan sewaktu menulisnya. Dalam budaya Melayu dan masyarakat Malaysia, singkatan perkataan ini lebih mudah untuk digunakan dan lebih mudah untuk difahami. Adakalanya, penggunaan singkatan perkataan ini digunakan dalam keadaan biasa, singkatan juga banyak digunakan dalam bidang teknik untuk menggantikan keterangan yang panjang untuk lebih mudah difahami. 

E-novel ialah sejenis medium pembukuan seperti novel-novel yang lain tetapi ianya hanya boleh dilayari didalam medium elektronik seperti laptop, telefon pintar dan tablet. Terbitan ini dapat memudahkan para pembaca novel untuk membaca tanpa mengeluarkan modal. Dalam e-novel ini terdapat banyak penggunaan singkatan perkataan kerana ia dapat memudahkan penulis untuk menyampaikan maklumat kepada para pembaca. Dengan penggunaan singkatan perkataan ini ia dapat mempengaruhi kehidupan seharian masyrakat untuk berkomunikasi menggunakan singkatan perkataan.