LAGU : PUTERI SANTUBONG PUTERI SEJINJANG
Sejarah/ Asal Usul
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan 2 puteri dari Kayangan. Ayahandanya Raja Kayangan telah menurunkan titah agar kedua-dua puteri tersebut turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara dua buah kampung. Namun, sebelum mereka turun ke bumi, ayahandanya berpesan sekiranya terjadi pertelingkahan di antara kedua-dua puteri, maka mereka akan terkena sumpahan kayangan dan tinggallah mereka di bumi.
Puteri Santubong menetap di sebuah kampung yang bernama Kampung Pantai Biru dan mengajar menenun kain kepada penduduk tersebut manakala Puteri Sejinjang pula berada di Kampung Pasir Kuning. Puteri Sejinjang mengajar mengasing sekam padi dengan aluk. Dengan kemahiran ini, kedua-dua kampung tersebut menjadi aman tanpa pertelingkahan. Kemudian, Putera Serapi datang berkunjung untuk melihat kehebatan dan kejelitaan kedua-dua puteri. Kedua-dua puteri bersiap-siap untuk mengadap Putera Serapi. Kedua-dua Puteri berasa sangat kagum dan tertawan dengan kekacakan Putera Serapi.
Saban hari selepas pertemuan itu, Puteri Santubong dan Sejinjang bertemu dan menyatakan hasrat hati masing-masing. Namun hasrat yang dinyatakan adalah sama iaitu, kedua-duanya mencintai Putera Serapi. Sejak itu mereka bermusuhan dan bercemburuan antara satu sama lain. Dengan kesaktian kedua-dua puteri mereka bergaduh berhari-hari tanpa henti. Sejinjang mengatakan bahawa dia lebih cantik, manakala Santubong menyatakan dia lebih jelita. Dengan marahnya Sejinjang lalu mencapai aluk, lalu di hayun di pipi Puteri Santubong yang kini kita dapat lihat lengkuk di gunung. Hanya kekuatan terakhir Santubong lalu menikam belida di kepala Sejinjang. Akhirnya kedua-dua puteri tersungkur kesakitan.
Kemudian kilat sambung menyambung serta guruh berdentuman, lalu cahaya terang dari langit mengangkat kedua-dua puteri. Sumpahan kayangan terus menjadikan Puteri Santubong menjadi gunung manakala Sejinjang menjadi Pulau Kera yang berteraburan. Putera Serapi pulang kesedihan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.
Berikut merupakan lirik lagu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang berasal dari Sarawak.
Lirik Lagu
Ooo……ooo
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manisnya sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manisnya sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Ooo……ooo
Santubong puteri, bertenun kain malam,
Ooo……ooo
Sejinjang puteri, menumbuk padi siang,
Satu hari nya dua kelaie,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik kalah walau sampai kemati.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manisnya sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Ooo……ooo
Puteri Santubong, Sejinjang sayang,
Udah bermusuh berpanjang-panjang sayang,
Udah lejuk nya duak kelaie,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampe gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Hingga terkenak Sejinjang kepalak,
Lalu bertabor jadi Pulo Kerak.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manisnya sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pake ingatan sepanjang zaman.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manisnya sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Puteri Santubong (Puteri Santubong),
Puteri Sejinjang (Puteri Sejinjang),
Puteri Santubong (Puteri Santubong),
Puteri Sejinjang (Puteri Sejinjang),
Puteri Santubong (Puteri Santubong),
Puteri Sejinjang (Puteri Sejinjang),
Lagu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang ini mempunyai nilai murni, pengajaran dan kiasan. Antaranya ialah;
Nilai
- Jangan iri hati.
Pengajaran
-Jangan sesekali memutuskan tali persaudaraan antara ahli keluarga.
-Tidak bertelingkah dan cemburu antara satu sama lain.
-Janganlah kita bermusuhan atau berperang kerana tidak akan membawa keuntungan kepada mana-mana pihak.
Kiasan
-Lirik ‘ Santubong puteri bertenun kain malam’ ( bertenun kain maksudnya kerja yang teliti dan malam bermaksud menabur kebaikan secara senyapsenyap/tidak menunjuk).
Video di sebelah ini merupakan video lagu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.