LAGU : BADAUP
Sejarah/ Asal Usul
Badaup ialah lagu rakyat yang menjadi amalan masyarakat Bisaya pada suatu masa dahulu dan merupakan lagu rakyat yang kedengaran semasa musim menuai padi, bergotong-royong menyediakan persiapan untuk majlis perkahwinan atau dalam perjalanan ke kebun. Badaup dinyanyikan secara berseorangan, beramai-ramai atau berbalas-balas. Sebagai contoh, seorang ahli kumpulan yang sedang menuai padi mula melagukan Badaup, kemudian dibalas oleh penuai padi yang lain. Ahli kumpulan akan bersorak keriangan kerana berjaya membalas nyanyian daripada kumpulan lain. Badaup diadakan semata-mata untuk menghilangkan rasa bosan, jemu dan penat semasa menuai padi. Dengan mendengar nyanyian puisi, kemudian bersorak beramai-ramai membantu meringankan penat untuk meneruskan kerja menuai padi.
Lirik Lagu
Talam biskum salam tembaga
Kajuntunan daun lumait
Assalamualaikum kami mangaga
Itu tanda dundunan baik
Ngiri-ngiri basarang kampar
Aru kampar dari Burini
Sendiri-sendiri bertanya abar
Nunu abar orang di sini
Nokuro ko do sodopno
Nosusot ikau ontong ku
Nunu eri pikironnu
Nunu eri kosugulannu
Adai nayoh ka susa’ai
Adai nayoh padulio oku
Nunu nunu oni pikiran ku
Isada guna ikau mangintutun
Natai babalik nasuwat racun
Uwa caramai uwa rumbio
Tokou inobit mipantun-pantun
Sangkulayan basuka ria.
Uwa caramai uwa rumbio
Kayu iyau inalan dapoi
Sangkulayan basuka ria
Lakat niyau salagi natai.
Terjemahan
Kata arkaik, makna tidak diketahui
Ditimpa daun lumait/pokok lumait
Assalamualaikum kami melawat
itu tanda kunjungan yang baik
Kayu lama dipenuhi kaparan
Ada kaparan dari Burini
Sendiri-sendiri bertanya khabar
Apa khabar orang disini
Kenapa kamu petang ini
Tidak bercelaru kamu fikirkan
Apa yang kamu fikirkan
Apa yang kamu risaukan
Janganlah kamu susahkan
Janganlah kamu pedulikan aku
Apa-apa saja di fikiranku
Tiada guna kamu mengambil tahu
Mati rumput terkena racun
Buah cermai buah rumbia
Kita dipelawa berpantun-pantun
Sekeluarga bersuka ria
Buah cermai buah rumbia
kayu hidup dijadikan api
sekeuarga bersuka ria
masih hidup belum mati
Lagu Badaup ini mempunyai nilai murni dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Antaranya ialah;
Nilai Murni
-semangat kerjasama
-permuafakatan
-luahan perasaan seperti kecewa
-marah dan sedih
-bersyukur dengan rezeki anugerah Tuhan,
Pengajaran
-Mengutamakan budi bahasa supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
-Sentiasa bersabar menghadapi segala masalah.
-Jangan lalai dengan perintah Tuhan khususnya solat 5 waktu sehari semalam