Team Nuewave Music Entertainment bergerak ke Anjung Floria, Putrajaya untuk melakukan aktiviti penggambaran bagi promosi content di aplikasi TikTok. Pada masa yang sama, kami juga mencari spot-spot yang strategik dan sesuai untuk menjalankan penggambaran lagu yang bakal dikeluarkan pada bulan Mei akan datang.
Oleh kerana konsep penggambaran kali ini bukanlah bertemakan muzik video tetapi lebih kepada short form content, kami hanya melakukan penggambaran yang ringkas dan santai serta hanya menggunakan camera iPhone sahaja.
Untuk video saya, saya mengemukakan konsep Golden Cage Syndrome, sebuah fenomena psikologi di mana seseorang insan merasa dirinya terperangkap di dalam dunia pekerjaan dan tidak lagi bebas tetapi tidak juga mampu keluar daripada situasi tersebut. Metafora golden cage adalah merujuk kepada keselesaan yang dirasainya meskipun terperangkap. Konsep ini dalam konteks pekerjaan boleh dikaitkan dengan jumlah gaji ataupun jawatan yang agak selesa dalam bidang pekerjaan yang diceburi.
Saya menggunakan nama pena Bulanmuda, iaitu nama director saya ketika mengarahkan sesebuah projek visual.
Pada hari isnin, kami telah melakukan aktiviti renovate studio dengan memasang panel suara pada bahagian dinding. Oleh kerana Nuewave Music Entertainment adalah sebuah syarikat baru dan sebelum ini hanya berfokus kepada bisnes songwriting, distribution dan publishing sahaja, ruang studio yang disediakan agak kecil. Oleh itu, tujuan panel suara dipasang adalah untuk menyerap bunyi-bunyian yang melantun dalam ruang yang kecil ketika memainkan lagu melalui speaker dan juga bagi mengelakkan suara yang bergema ketika proses rakaman.
Pada minggu ini juga, kami telah memulakan sesi songwriting dan rakaman demo untuk lagu rasmi Persatuan Kebudayaan Kunak Sabah. Kami mencadangkan tajuk "Citra Bayu", yang membawa maksud impian atau cita-cita orang Sabah. Dengan bimbingan encik Shafiqal, saya telah terlibat dalam proses penulisan lirik lagu dan juga komposisi melodi lagu. Kami menggunakan perisian muzik FL Studio untuk merakam demo lagu tersebut.
Saya tidak banyak bekerja pada minggu ini dan mengambil cuti selama beberapa hari kerana telah jatuh sakit. Walau bagaimanapun, pada hari isnin, saya sempat untuk menghadiri sesi pembuatan semula instrumental lagu Citra Bayu bersama encik Baitisan melalui aplikasi Discord. Beliau menggunakan sample daripada alat muzik tradisional seperti sapeh dan kompang untuk menyampaikan vibe ala-ala tradisional dalam lagu ini.
Pada minggu ke-9, saya telah diarahkan oleh encik Shafiqal untuk mencari trend-trend terbaru di TikTok yang boleh menaikkan views. Saya terlihat satu trend #poeticrizzmelayu yang telah tular pada ketika itu. Trend ini merupakan sebuah trend di mana pengguna TikTok memuat naik gambar atau video mereka berserta dengan caption yang puitis. Beliau mencadangkan agar saya menggunakan klip-klip muzik video Kaefina, 3 a.m. dan memikirkan caption-caption yang puitis untuk diletakkan pada video tersebut.
Pada minggu ini juga, saya telah terlibat dalam penulisan lirik lagu Muzika Gadis Violet, sebuah lagu romantik bergenrekan pop RnB yang menceritakan tentang pertemuan seorang lelaki popular dengan perempuan jelita yang misteri dan suka mendiamkan diri. Lagu ini merupakan antara projek yang sedang dalam pertimbangan untuk dikeluarkan pada bulan Mei. Saya mengambil masa dalam seminggu ini untuk menyiapkan lirik lagu dan merakam demo secara kasar sebelum beralih kepada sesi rakaman dan suntingan yang lebih mendalam pada minggu hadapan.
Pada minggu ini, kami telah menyambung aktiviti renovate studio dengan pemasangan acoustic foam yang telah siap ditempah. Pada minggu ini juga, saya telah menyambung sesi rakaman lagu Muzika Gadis Violet dengan menambah layering, harmony dan juga adlib pada bahagian vokal dengan tujuan memberikan kesan tambahan dan perincian yang lebih mendalam terhadap struktur vokal dalam lagu tersebut. Dengan bimbingan daripada encik Shafiqal, saya telah berjaya menyiapkan lagu ini secara keseluruhannya pada minggu ini juga.
Ringkasan untuk minggu keenam sehingga kesepuluh saya berada di syarikat Nuewave Music Entertainment merupakan minggu bekerja yang agak normal, tidak seperti minggu-minggu pertama yang agak sibuk dan mengejut dengan kerja-kerja yang berat. Minggu-minggu ini saya menghabiskan lebih banyak masa di dalam studio; menulis lirik, merakam demo lagu, dan juga mempelajari benda baharu berkaitan dengan proses pembuatan lagu dari semasa ke semasa.