Pada minggu pertama, saya telah melapor diri ke pejabat Armani Entertainment buat pertama kalinya. Setiap hari isnin, pihak syarikat akan memberikan sarapan percuma kepada semua staf dan pekerja. Oleh itu, saya mengambil kesempatan tersebut untuk memperkenalkan diri saya kepada staf-staf yang lain sambil bersarapan bersama mereka. Saya juga disambut baik oleh penyelia industri saya, puan Jessie Yoo. Selepas sarapan, saya menjalani sesi orientasi secara kecil-kecilan serta mendapat taklimat tentang bidang kerja yang akan saya lakukan. Saya diletakkan di bawah bimbingan encik Emeer Bakri dan Amsyar Sabri sebagai pembantu dalam bahagian penulisan lagu dan penerbitan muzik. Pada masa yang sama, saya juga menjadi pembantu kepada puan Nabila dalam bahagian pemasaran kerana pada itu ketika itu pihak syarikat Armani Entertainment kekurangan staf.
Sepanjang minggu pertama, saya terlibat dalam penulisan lirik lagu Isteri nyanyian Emeer Bakri, salah seorang artis dan juga produser di bawah syarikat ini. Proses penulisan lirik berlaku di dalam studio rakaman syarikat di mana kami bersama-sama menyumbang idea dan mencari inspirasi untuk menulis lagu tersebut.
Secara keseluruhannya, suasana minggu pertama saya berada di syarikat ini agak sibuk kerana persiapan untuk majlis MIYE Awards 2022 (Most Influential Young Entrepreneurs Awards 2022), iaitu majlis makan malam anjuran Armani Media dan Property Insight. Saya juga diberi kepercayaan untuk membuat teks ucapan perasmian Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Dato’ KK Chua bagi majlis yang bakal berlangsung Jumaat itu. Saya menerima tugasan yang diberi dan menyiapkan teks ucapan pada hari Khamis.
Pada hari Jumaat petang (sekitar pukul dua petang sehingga dua belas tengah malam), majlis makan malam MIYE Awards 2022 telah berjaya dijalankan dengan lancar dan saya telah bertugas sebagai pembantu kepada pengurus artis, encik Amirul untuk membantu mengiringi artis-artis jemputan serta menjadi penunjuk arah kepada mereka sepanjang majlis tersebut berjalan.
Pada minggu kedua pula, saya lebih banyak bekerja di studio rakaman bersama dengan produser encik Emeer Bakri dan encik Amsyar Sabri. Dalam minggu ini juga, saya terlibat dalam pembikinan lagu yang bertajuk "I.M KU", iaitu lagu bergenre pop yang dibuat untuk mempromosikan bandar Indera Mahkota yang terletak di Kuantan, Pahang. Saya telah bekerjasama dengan pihak produser dalam proses menulis lirik di mana kami membuat sedikit kajian terhadap nilai sejarah, budaya masyarakat setempat, serta tempat-tempat yang menarik sekitar Indera Mahkota untuk dimasukkan ke dalam lirik lagu. Selain menulis lirik, saya juga terlibat dalam proses pembuatan melodi dan instrumental lagu. Saya telah memberi sumbangan dari segi melodi, perkembangan kord (chord progression) dan juga penyusunan instrumental lagu.
Secara peribadi, saya berasa amat bertuah kerana pihak syarikat Armani Entertainment juga menggunakan perisian rakaman muzik FL Studio, iaitu perisian rakaman muzik yang saya gunakan selama lebih tiga tahun. Oleh hal yang demikian, pengalaman menggunakan perisian rakaman FL Studio telah memudahkan proses untuk saya bekerjasama dengan pihak produser dan pada masa yang sama mempelajari benda baharu yang berkaitan dengan penggunaan perisian tersebut. Proses pembikinan lagu I.M KU memakan masa lebih kurang seminggu.
Pada minggu ini, saya bersama staf-staf yang terlibat telah bergerak ke Kuantan, Pahang untuk melakukan aktiviti penggambaran bagi muzik video lagu “IM KU” yang bertujuan untuk mempromosikan bandar Indera Mahkota. Saya bersama rakan "intern" yang lain telah menaiki kereta syarikat dan bergerak dari pejabat kami pada waktu tengahari selepas sahaja solat zohor. Setibanya di Kuantan, kami menuju ke tempat penginapan yang telah ditempah khas oleh pihak syarikat untuk meletakkan barang-barang peribadi. Tempat penginapan adalah homestay yang juga terletak di bandar Indera Mahkota.
Sepanjang minggu ini, saya banyak terlibat dalam aktiviti penggambaran dengan bertugas sebagai kru, pembantu jurukamera dan menjadi pengiring kepada artis-artis dan pelakon yang terbabit. Sebagai kru penggambaran muzik video lagu IM KU, kami banyak bergerak ke lokasi-lokasi menarik yang telah disebut di dalam lirik seperti Pantai Cherating, Restoran Jaman Tory, Taman Bandar dan banyak lagi.
Pada masa yang sama, saya juga diarahkan oleh pihak syarikat untuk menulis beberapa artikel bagi mempromosikan lagi keunikan tempat-tempat yang menarik di sekitar Indera Mahkota. Oleh itu, saya telah membahagikan masa di antara sesi penggambaran dengan masa untuk menulis artikel-artikel yang dikehendaki. Saya telah berjaya menghasilkan beberapa artikel dan telah berjaya diterbitkan; antaranya artikel tersebut termasuklah Top 3 places to visit in Indah Mahkota, Top 8 Restaurants in Indera Mahkota dan Towns with the Lowest Crime Rates in Malaysia.
Minggu keempat adalah minggu persiapan untuk dua program besar di bawah anjuran Armani Entertainment iaitu Pesta Pandai Extravaganza yang bertempat di Seabad Seafood, Pantai Batu Hitam dan juga Pesta Monsun Extravaganza yang bertempat di Pusat Rekreasi Balok, Kuantan. Sepanjang minggu ini, saya bersama rakan "intern" yang lain ditugaskan untuk menguruskan goodies yang akan diberikan secara percuma kepada orang ramai semasa program tersebut berjalan. Antara skop tugasan saya pada ketika itu termasuklah membungkus barang-barang yang terdiri daripada topeng muka, pencuci muka, sanitizer dan baju t-shirt putih ke dalam beg-beg kecil; mengeluarkan dan menyusun atur kotak-kotak yang mengandungi stok barangan; serta membantu mengalihkan goodies yang telah siap dibungkus ke dalam lori untuk dibawa ke lokasi kejadian.
Pesta Monsun Extravaganza telah pun berjaya dijalankan dengan lancar pada hari Sabtu, 5 November manakala Pesta Monsun Extravaganza juga telah berjaya diadakan pada hari Sabtu hadapannya, iaitu 12 November. Keseluruhan program ini bermula pada pukul dua petang sehingga pukul sebelas malam. Semasa kedua-dua program ini berlangsung, saya telah ditugaskan di meja pendaftaran bersama rakan intern yang lain, Ameena dan Hafiz di mana kami bertiga telah menguruskan pendaftaran bagi pertandingan karaoke dan juga cabutan bertuah untuk orang ramai yang hadir. Menariknya, kedua-dua program ini dimeriahkan lagi dengan mini concert yang menyaksikan persembahan daripada barisan selebriti yang terkenal seperti Ziana Zain, Wany Hasrita, MK K-Clique, Noki K-Clique, Hasif Upin, Bil Musa, COEX, Ajak Shiro, Shuib dan banyak lagi!
Aktiviti pada minggu ini tidak begitu banyak kerana semua kru yang terlibat sedang membuat persiapan untuk bergerak balik dari Kuantan, Pahang setelah berada di sana selama dua minggu lebih. Oleh hal yang demikian, saya bersama kru-kru yang lain telah mengambil tanggungjawab dengan mengemas rumah homestay yang didiami serta membantu mengangkat dan mengalihkan lebihan barangan semasa program Pesta Pandai Extravaganza dan Pesta Monsun Extravaganza ke dalam lori syarikat untuk dibawa pulang ke pejabat syarikat Armani Entertainment. Pada hari Khamis, 17 November, kami akhirnya bertolak daripada Kuantan ke Kota Damansara. Suasana pada minggu ini juga agak sibuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Secara keseluruhannya, sepanjang lima minggu berada di sini, saya secara tidak langsung terdedah dengan suasana bekerja di pejabat dan juga gerak kerja di syarikat industri hiburan secara spesifiknya. Saya mempelajari cara untuk berkomunikasi bersama rakan sekerja dengan lebih efektif dalam menyiapkan sesebuah projek dan juga cara untuk mengendalikan kemudahan I.T yang disediakan oleh pihak syarikat seperti MacBook, kamera rakaman dan juga FL Studio. Di samping itu, pengalaman saya dalam bekerjasama membuat assignment dengan rakan sekelas semasa di UiTM juga turut memberikan saya pendedahan awal untuk bekerja dengan orang lain dan saling berkongsi buah fikiran bersama mereka. Walaupun tidak dinafikan terdapat banyak tekanan dan skop kerja yang tidak menentu sama ada di pejabat mahu pun di luar pejabat, saya berasa amat bertuah kerana dikelilingi oleh rakan sekerja yang sangat peramah, saling membantu dan yang paling penting bersikap profesional dalam melaksanakan sesuatu tugasan.