Pada minggu ini, saya membantu mengendalikan proses mixing dan mastering untuk salah seorang daripada artis di bawah naungan Nuewave Music Entertainment, Fixfeez. Beliau yang juga merupakan kenalan saya di dalam industri telah merakam lagu cover daripada penyanyi Indonesia, Afgan yang berjudul Jodoh Pasti Bertemu. Walaupun cover ini sudah lama siap dirakam, hanya sekitar minggu ini beliau mula menghubungi saya untuk menyiapkan projek cover tersebut untuk dimuat naik ke aplikasi TikTok. Sebaik sahaja menyiapkan projek cover ini, saya terus menghantar fail audio melalui Telegram beliau.
Pada minggu ini, saya memulakan proses rakaman untuk projek seterusnya yang berjudul "White Maria". Saya bermain dengan konsep "Black Maria" yang merupakan gelaran untuk kereta polis yang berwarna hitam. Oleh kerana organisasi polis adalah sebuah autoriti yang diiktiraf, saya bermain dengan soalan: Apakah yang terjadi apabila yang ditindas menjadi penguasa? Apakah yang terjadi apabila yang diburu menjadi pemburu? Teknik paradoks ini saya lihat bersesuaian dengan perlambangan "black and white" dan gelaran Black Maria itu sendiri. Ironinya, hitam selalu dikaitkan dengan simbol kegelapan dan kejahatan, manakala putih pula dicanangkan sebagai lambang kesucian dan kebaikan. Oleh itu, konsep paradoks black and white; baik dan jahat; autoriti dan orang bawahan membawa saya kepada tajuk "White Maria".
Saya terlibat dalam proses penulisan lirik, komposisi melodi dan juga pemilihan instrumental. Bagi lagu ini, pendekatan muzik yang kami pilih agak unik berbanding genre muzik yang kami buat sebelum ini. Lagu White Maria ini bergenrekan reggaeton dan mempunyai komponen muzikal ala-ala arabic. Lagu ini juga merupakan sebuah cabaran buat saya kerana buat pertama kalinya saya ditugaskan untuk menulis lagu yang mempunyai vibe sedemikian.
Kami mendapat khabar baik sekitar minggu ini apabila syarikat Tunetouch mula menghubungi kami untuk membuat kolaborasi. Tunetouch merupakan sebuah syarikat yang membuat custom lagu berdasarkan permintaan daripada klien mereka. Kebanyakan custom lagu mereka adalah lagu-lagu romantik, lagu confession, lagu proposal dan banyak lagi. Saya berasa terkejut dan berbesar hati kerana syarikat mereka menjumpai kami melalui lagu Muzika Gadis Violet yang saya promosikan di aplikasi TikTok. Setelah melakukan perbincangan bersama dengan wakil syarikat mereka, encik Bryan, kami bersetuju untuk berkolaborasi.
Pada minggu ini juga, saya juga terlibat dalam proses rakaman lagu Ariba, sebuah lagu bergenre reggaeton. Ariba merupakan sebuah frasa dalam bahasa Sepanyol yang bertujuan untuk menunjukkan semangat (seperti "here we go!"). Oleh kerana encik Shafiqal yang menulis lagu ini, saya hanya membantu dalam mengendalikan proses rakaman beliau dari segi mixing dan mastering sahaja.
Saya mula menerima tugasan daripada syarikat Tunetouch untuk membuat satu lagu berdasarkan informasi yang diberikan oleh klien mereka. Saya diberikan masa selama lebih kurang tujuh hari untuk menyiapkan lagu tersebut dan hantarkan kepada mereka. Berdasarkan informasi yang diberi, mereka menginginkan saya membuat sebuah lagu RnB yang romantik dan mempunyai jalan cerita seperti mana yang klien pinta (saya tidak boleh hurai dengan lebih mendalam atas dasar etika kerahsiaan pelanggan).
Walaupun deadline diberi adalah sebanyak tujuh hari, saya hanya mengambil masa selama dua hari untuk menulis lirik, merakam lagu, mixing dan mastering dan menghantar produk akhir kepada mereka. Saya berasa amat gembira kerana pihak mereka menyukai lagu yang saya buat berjudul "Taman Rerama"; tajuk yang diinspirasikan dari jalan cerita klien dan juga peribahasa bahasa Inggeris, "Butterflies in My Stomach".
Pada minggu ini juga, saya terlibat dalam proses rakaman cover lagu oleh encik Shafiqal yang berjudul "Dusk till Dawn". Beliau ingin menyanyikan lagu ini sebagai content untuk dimuat naik ke aplikasi Tiktok.
Menjelang minggu-minggu terakhir ini, saya kembali catch-up dengan projek White Maria. Bagi projek ini khususnya, saya belajar mengendalikan plugin atau efek vokal baharu iaitu Vocal Bender, Renaissance Vox dan juga Air VST. Kesemua plugin ini adalah third party plugin yang pihak kami beli secara atas talian untuk dimasukkan ke dalam perisian muzik kami, FL Studio. Tujuan kami menggunakan third party plugin adalah untuk menghasilkan bunyian yang seiring dengan visi yang kami letakkan untuk lagu ini, di mana saya ingin membuat versi pitched-down untuk bahagian vokal saya; memberikan kesan suara yang lebih deep, besar dan agresif sekali gus menambah elemen karakter yang spesifik untuk lagu ini.
Selain itu, saya turut membantu dalam mengendalikan audio untuk Persatuan Penari Kebudayaan Kunak di bawah Persatuan kebudayaan Kunak Sabah. Oleh kerana kumpulan tarian daripada persatuan ini datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan, mereka memerlukan audio engineer untuk mengendalikan lagu-lagu yang dibawa oleh mereka. Disebabkan hubungan rapat syarikat kami bersama dengan persatuan mereka, saya telah ditugaskan oleh encik Shafiqal untuk menyusun atur bilangan lagu yang dibawa oleh mereka, dan juga bertanggungjawab dalam mengekstrak audio daripada video persembahan mereka.
Minggu terakhir saya melakukan latihan industri di bawah Nuewave Music Entertainment diisi dengan kerja-kerja susulan yang perlu saya siapkan sebelum menamatkan latihan. Pertama kali, fokus saya untuk minggu ini adalah menyusun fail audio untuk projek White Maria dan menghubungi beberapa orang artis untuk tujuan kolaborasi. Saya berjaya menghubungi puan Azirah, seorang mahasiswi daripada Universiti Malaya yang juga merupakan rakan penyanyi serta Grizzlee daripada syarikat Foresight Musik. Kedua-dua mereka bersetuju untuk berkolaborasi dan tugas saya sepanjang minggu ini adalah menyusun fail audio dan menghantar lagu ini dalam bentuk demo kasar kepada mereka untuk dijadikan rujukan.
Pada minggu ini juga, saya sedang menjalani penilaian terakhir daripada penyelia saya, encik Shafiqal. Oleh hal yang demikian, saya menjadi lebih fokus dan komited dalam menyiapkan tugasan saya.
Terdapat perkara yang mengejutkan terjadi dalam minggu ini, di mana syarikat Tunetouch meminta saya untuk menyiapkan lagu dalam masa sehari atas alasan mereka memerlukan lagu tersebut dengan kadar yang segera. Setelah berbincang mengenai jumlah bayaran yang berpatutan dengan masa yang singkat, saya akhirnya bersetuju untuk menyiapkan lagu tersebut. Berdasarkan informasi yang diberi oleh klien, saya akhirnya berjaya menyiapkan lagu ini dalam masa hanya sehari walaupun terpaksa overtime di studio. Saya memilih tajuk Sekalung Daisy Buatmu, kerana kekasih klien yang sangat menyukai bunga Daisy.
Sebagai kesimpulannya, lengkaplah tempoh 22 minggu saya menjalani latihan industri di bawah syarikat Nuewave Music Entertainment. Sepanjang minggu ini, saya mempelajari banyak benda - baik dari segi muzik mahupun tentang kehidupan. Saya mula menyedari bahawa ketika berada di alam pekerjaan, kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hidup kita. Mungkin agak tidak matang untuk saya mengatakan hal yang sedemikian, tetapi transisi sebagai seorang pelajar yang baru berumur 22 tahun menuju ke alam dewasa bukanlah suatu perkara yang mudah. Serasa semuanya berlalu begitu cepat bagi pelajar yang berada di era PKP seperti saya. Sejujurnya, saya mempunyai keyakinan terhadap bakat dan kemahiran saya dalam bidang yang saya ceburi, namun apabila berbicara tentang hala tuju kehidupan - rasa resah, ketidakpastian itu akan sering menghantui anak muda yang berimpian tinggi. Namun begitu, saya tetap percaya pada rezeki tuhan dan terus melakukan apa yang perlu saya lakukan. Sebagai seorang pelajar, dan sebagai seorang pemuzik.
Ketika menyiapkan laporan ini, saya masih meneruskan kerja saya di Nuewave Music Entertainment sebagai seorang freelancer singer-songwriter dan producer.