Menjelang minggu ke-11, saya menyambung kerja susulan bagi projek lagu Muzika Gadis Violet iaitu proses penyuntingan audio dari segi mixing dan mastering. Saya diberi deadline sehingga hujung minggu ini untuk menyiapkan mixing dan mastering kerana mengejar persiapan untuk sesi penggambaran muzik video dan juga cuti raya yang bakal tiba. Oleh kerana saya sudah menguasai ilmu asas mixing dan mastering, saya hanya perlu menyiapkan lagu tersebut kemudian mendengarkannya kepada encik Shafiqal dan juga encik Baitisan.
Sepanjang proses mixing dan mastering lagu ini, terdapat beberapa isu yang saya hadapi. Antaranya isu dari segi penyusunan layering di mana saya mengalami sedikit kekeliruan tentang jumlah layering vokal yang perlu saya tambah pada bahagian chorus lagu. Jika saya bermain selamat dan hanya meletakkan sedikit harmony, bahagian chorus terdengar sedikit tenggelam kerana instrumental yang agak berat. Sebaliknya pula, jika saya meletakkan terlalu banyak harmony, vokal utama chorus juga akan tenggelam dengan melodi harmony yang lain dan tona vokal yang berlainan berkemungkinan akan berlanggar antara satu sama lain. Meletakkan terlalu banyak layering juga mengambil banyak masa dan tenaga serta menjadikan proses penyusunan lagu menjadi lebih kompleks. Solusi yang saya jumpa untuk isu ini adalah tidak bergantung kepada bilangan harmony, tetapi melihat kepada ketebalan vokal yang saya rakam. Apabila saya menggunakan suara yang tebal dalam harmony; ditambah lagi suara yang lembut sebagai tekstur tambahan, terdapat keseimbangan dalam vokal chorus yang bersifat kontras tetapi saling melengkapi antara satu sama lain.
Minggu ini adalah minggu "cool down" kerana saya tidak diberikan banyak tugasan dan encik Shafiqal bersama dengan staf-staf yang lain juga sedang sibuk membuat persiapan untuk cuti raya. Saya hanya melakukan beberapa final touch-up untuk mixing dan mastering lagu Muzika Gadis Violet.
Disebabkan minggu ini adalah cuti raya, saya tidak mendaftar diri di studio. Saya juga tidak pulang ke kampung halaman di Sabah kerana tiket penerbangan yang terlalu mahal. Saya cuma beraya bersama adik-beradik saya yang juga berada di perantauan.
Pada 28 April, ketika beraya bersama dengan encik Shafiqal kami sempat singgah ke Anjung Floria, Putrajaya untuk melakukan aktiviti photoshoot dan sesi penggambaran untuk teaser lagu Muzika Gadis Violet yang bakal dimuat naik ke media sosial dengan tujuan menghebahkan jalan cerita lagu ini kepada orang ramai.
Minggu ke-14 adalah minggu saya kembali bekerja setelah cuti raya selama seminggu. Sepanjang minggu ini, saya kembali fokus kepada proses final mastering untuk lagu Muzika Gadis Violet. Sebagai konteks, mastering adalah sebuah proses akhir dalam penyuntingan audio di mana producer akan cuba untuk menyeimbangkan setiap elemen komposisi yang terdapat dalam lagu seperti instrumental, drum dan juga vokal. Objektif utama mastering adalah untuk menggabung kesemua elemen ini dan mempersembahkannya menjadi satu produk lagu yang kohesif.
Sementara itu, pada 6 Mei pula saya bersama team penggambaran Nuewave Music Entertainment kembali ke Anjung Floria, Putrajaya untuk melakukan penggambaran muzik video lagu Muzika Gadis Violet. Tujuan kami memilih lokasi yang sama untuk melakukan penggambaran adalah kerana Anjung Floria merupakan kawasan rekreasi yang agak indah dan estetik; bersesuaian dengan konsep dan jalan cerita yang cuba untuk kami sampaikan dalam muzik video berkenaan.
Minggu ini sejujurnya antara minggu yang tersibuk bagi saya. Bermula dengan sambungan sesi penggambaran muzik video pada 9 Mei sehingga kembali ke studio untuk proses penyuntingan muzik video pula. Saya terpaksa berada di studio sehingga lewat malam selama beberapa hari dengan usaha menyiapkan muzik video sebelum hari pelancaran muzik video iaitu pada 15 Mei, 8:30 malam.
Pada 11 Mei pula, saya menghadiri sesi pembentangan dalam Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan Kali ke-8. Kertas kerja saya sewaktu berada di semester empat dahulu telah lulus prosiding dan berpotensi untuk diterbitkan sebagai jurnal berdaftar. Berkat bimbingan dan rekomendasi daripada penyelia saya, Puan Zubaidah, saya berjaya menghabiskan sesi pembentangan dan juga mendapat anugerah "Best Presenter"!
Pada hari Isnin 8:30 malam, muzik video lagu Muzika Gadis Violet telah berjaya dilancarkan di channel Youtube rasmi Rozarchy. Alhamdulillah, sambutan pada hari pertama agak memberangsangkan terutamanya daripada rakan-rakan dan juga pengikut saya. Saya juga menerima banyak maklum balas dan komen yang positif tentang lagu ini.
Sepanjang minggu ini saya lebih banyak melakukan aktiviti susulan untuk memasarkan lagu tersebut terutamanya di aplikasi TikTok dan Instagram. Antara jenis content yang saya lakukan adalah paid promotion video dan video tutorial cara-cara untuk merakam vokal dengan menggunakan lagu Muzika Gadis Violet sebagai rujukan. Selain itu, saya juga menggunakan beberapa template daripada TikTok dan memasukkan lagu saya sendiri dengan tujuan promosi yang bersifat lebih santai dan menghiburkan.
Tuntasnya, beberapa minggu ini skop kerja saya lebih banyak berfokus kepada proses menyiapkan lagu Muzika Gadis Violet. Oleh kerana syarikat ini masih lagi kecil dan membangun, isu kekurangan staf menyebabkan saya terpaksa mengambil alih banyak bahagian seperti mixing, mastering dan juga penyuntingan muzik video sendiri. Walau bagaimanapun, pengalaman saya menjadi independent artist selama beberapa tahun mengajar saya untuk membuat kesemua kerja-kerja ini sendiri. Meskipun memenatkan, saya menganggap semua ini adalah cabaran untuk saya sebagai seorang pelajar latihan industri dan juga sebagai seorang pemuzik yang ikhlas untuk mempelajari benda baharu.